Berita

Takziah buat keluarga Noramfaizul, sisatan perlu dedah kelemahan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT – DAP mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama yang terkorban semasa bertugas di Mogadishu, Somalia, yang dilanda kemarau dan peperangan.

Berita pemergian Allahyarham di kala keluarganya menyambut Syawal menyedihkan seluruh rakyat Malaysia.

Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata semangat Allahyarham dan pasukan media yang bertugas mengiringi lawatan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI tersebut amat disanjungi kerana keberanian mengharungi cabaran atas amanat sebagai anggota media.

Namun, katanya, DAP menegaskan bahawa pihak penganjur misi ke zon merbahaya seperti Somalia perlu mengambil serius segala protokol keselamatan terhadap anggota rombongan.

“DAP juga menggesa agar satu siasatan dijalankan ke atas kejadian ini termasuk mengenal pasti jika wujud jurang dalam pelaksanaan aspek keselamatan,” ujarnya.

Allahyarham Noramfaizul berada di Somalia sebagai salah seorang daripada anggota pasukan media yang membuat liputan lawatan kemanusiaan itu telah terkorban terkena tembakan apabila kenderaan yang dinaiki diserang tentera pemberontak.

Dalam kejadian tersebut, seorang lagi jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan turut mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

Menurut NGO media antarabangsa “Reporters Without Borders”, Somalia merupakan negara Afrika yang paling merbahaya kepada anggota media dengan 23 kematian anggota media sejak 2007. – Roketkini.com