Rencana

Mengapa SPR enggan bersikap adil – Oleh Daing Yahya

9 SEPTEMBER – Sudah berulang kali pendedahan demi pendedahan telah dibuat, aduan dan pelbagai laporan, baik dari NGO mahu pun parti politik terutamanya Pakatan Rakyat, mengenai kesilapan dan kecatatan daftar pemilih pilihan raya Malaysia.

Pertindihan alamat, pengundi yang telah mati, kesilapan jantina dan pelbagai lagi kesilapan terus berlaku. Seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima semua ini sebagai lumrah dan tradisi.

Ia menjadi satu kitaran kejam. Berulang kali aduan dibuat, berulang kali pula SPR meminta pihak yang mendakwa mengemukakan bukti.

Tetapi apabila bukti dikemukakan, SPR pula bersilat lidah menyalahkan orang lain termasuk penolong pendaftar yang kononnya silap mengisi borang. Jarang didengar SPR menyiasat; malah tidak pernah didengar SPR mengakui kesalahan.

Kerana itulah tidak ada salahnya untuk rakyat menggelar SPR sebagai tokoh ‘pemberi alasan rasmi’ bagi pihak kerajaan UMNO-BN.

UMNO-BN selesa dengan masalah daftar pemilih

Dalam sibuk-sibuk SPR menepis semua dakwaan, terdapat satu keadaan yang amat menarik perhatian umum. UMNO-BN seperti selesa dengan masalah yang timbul, seolah-olah kecatatan daftar pemilih adalah satu rahmat.

Parti komponen BN, sama ada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB, dan pelbagai lagi, tidak pernah pula mengeluh, mendakwa atau mengemukakan sebarang pendedahan mengenai kepincangan daftar pemilih SPR.

Adalah menjadi suatu hal yang amat pelik bila mana hanya satu pihak sahaja yang menemui kesilapan daftar pemilih tersebut sedangkan satu pihak lagi seolah-olah menyemak daftar pemilih yang berlainan versi dan sumbernya.

Memang boleh dituduh SPR adalah alat UMNO-BN. Tapi katakanlah segala kepincangan itu adalah kelemahan dalaman SPR sendiri. Mengapa UMNO-BN tidak peduli dengan kacatatan yang mencemar imej kerajaan semasa?

Adakah di sebelah pihak iaitu Pakatan Rakyat begitu cuai, jahat dan sengaja mencari salah SPR  dengan mengemukakan kesilapan ( bukti ) palsu bagi memburukkan imej SPR?.

Jika begitu niat dan tindakan pihak PR yang seburuk dan sejahat ini, mengapa SPR tidak menyaman PR atas semua dakwaan palsu itu?

Jika dakwaan ini berasas, bermakna satu penyiasatan menyeluruh perlu digerakkan. Semua pihak termasuk semua parti politik harus mengambil bahagian.

Soalan mudahnya ialah, mengapa dalam situasi yang amat penting ini pihak BN tidak pro-aktif dalam bekerjasama untuk mendesak SPR bagi melaksanakan reformasi? Bukankah BN mendakwa, kerajaan mereka memang mahukan pilihanraya bersih dan adil?

Katakanlah, pihak BN tidak berminat untuk mendedahkan kecatatan daftar pemilih ini, maka sudah nyata bahawa kecatatan ini memberi kelebihan kepada pihak BN.

Jika ‘kelebihan’ ini wujud kepada pihak BN, SPR seharusnya bertindak sebagai pengadil yang adil. Bukankah SPR mahu dilihat adil? Jadi mengapa berkuntau mempertahankan kecatatan ini?

Semua ini sudah teramat jelas menunjukkan bahawa SPR tidak punya kredibiliti lagi. BN telah menang dengan segala kecatatan ini sebelumnya. Jika BN menang lagi pada pilihan raya akan datang, kerajaan itu tidak layak diiktiraf kerana ia melalui proses yang salah dan tidak sah.

Mampukah PR atasi masalah?

Jika PR pula berjaya mengambil alih pemerintahan negara, bukan bermakna SPR sudah bersih dan adil, sebaliknya itu menunjukkan hampir 100 peratus rakyat telah mengundi PR. Maksudnya, kecatatan dan sikap berat sebelah SPR sudah tidak mampu lagi untuk menjadi pembelit dan pemanipulasi sistem pilihan raya bagi pihak UMNO-BN.

Dalam bahasa bolasepak, jika pengadil berat sebelah, dia mungkin boleh membatalkan dua tiga gol jaringan pasukan yang tidak disukainya. Tetapi jika 10 gol disumbatkan, pengadil hanya mampu gigit jari.

Namun, adakah mungkin rakyat akan meyokong PR 100 peratus? Jika kita berfikir secara realistik, itu adalah suatu hal yang amat mustahil sekali. PR amat sedar dan mengakuinya. Atas sebab itulah PR terus mendedahkan kepincangan dan kelemahan SPR supaya semua pengundi sedar apa yang sedang berlaku.

Atas sebab yang sama, Bersih dan Bersih 2.0 diadakan, untuk memastikan setiap pengundi sedar dan tahu tentang hak mereka.

Jika pengundi tidak peduli, maka pengundi sendiri akan terus dilanda masalah kerajaan yang menang secara tidak sah dan merasakan diri tidak perlu bertanggungjawab kepada pengundi yang sentiasa boleh diperkotakkatikkannya. – Roketkini.com