Berita

10,000 peluang pekerjaan baru di Selangor

SHAH ALAM, 10 SEPT – Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor menawarkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan kemasukan pelaburan bernilai RM5.2 bilion.

Kejayaan besar ini adalah hasil pentadbiran negeri yang telus, bertanggungjawab dan cekap yang telah meluluskan 135 projek, jauh lebih tinggi dari negeri-negeri lain dalam tempoh yang sama tahun ini.

Negeri-negeri lain hanya mencatatkan di antara 2 dan  93 projek sahaja dalam tempoh yang sama.

Dalam tempoh ini, Selangor menerima pelaburan asing RM3.1 bilion dan pelaburan tempatan RM2.1 bilion. Daripada 135 projek yang diluluskan pula,  89 adalah pelaburan baru manakala 46 adalah mengembangkan pelaburan sedia ada.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah itu menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi pelabur asing dan tempatan terhadap kerajaan negeri.

“Kerajaan Selangor  bekerja keras untuk menyakinkan pelabur dan kita amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut pecahan sektor, industri pembuatan elekronik mencatatkan pelaburan tertinggi dengan RM1.3 bilion daripada 18 projek yang diluluskan membabitkan RM110 juta pelaburan tempatan dan RM1.149 bilion pelaburan asing.

Jepun menjadi pelabur terbesar di Selangor dengan 13 projek membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM1.136 bilion, diikuti Korea Selatan sebanyak RM652 juta ( tiga projek) dan Singapura dengan RM510 juta (8 projek). – Roketkini.com