Rencana

Ada apa dengan politik perkauman? Oleh Abdul Manan Abdul Razak

13 SEPTEMBER – Pemerintahan Barisan Nasional selama 54 tahun telah menyebabkan rakyat Malaysia dipecahbelahkan mengikut kaum masing-masing.

Oleh itu BN menerusi parti-parti komponennya telah mempropagandakan perjuangan terhadap sesuatu kaum yang seolah-olah dilihat hanya UMNO berjuang untuk orang Melayu, MCA untuk orang Cina dan MIC untuk kaum India serta lain-lain komponen yang secara dasarnya adalah sama.

Setelah sekian lama di bawah pentadbiran BN, kini rakyat sudah sedar akan politik berasaskan perkauman yang dibawa oleh BN tidak membawa kepada perpaduan.

Tsunami politik 2008 telah membuktikan kebenaran rasa tidak puas hati rakyat yang ditafsirkan dalam bentuk kertas undi.

Rakyat pelbagai kaum bersatu secara sendirinya tanpa diadakan apa-apa program khusus. Semuanya berlaku atas kesedaran peribadi serta secara bermasyarakat.

Parti PAS, PKR dan DAP telah mendapat habuan besar dengan 82 kerusi Parlimen dan 5 kerajaan negeri. Setelah terkesan dengan keputusan itu, BN pula kelihatan saling mencakar sesama sendiri sehinggalah Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi didesak beralah oleh kepimpinan partinya sendiri.

Inilah buktinya Malaysia yang kita cintai telah menolak perjuangan sempit berasaskan perkauman. Walau pun tidak ada salahnya membantu golongan kurang bernasib baik di kalangan kaum sendiri, niat murni itu telah disalahgunakan oleh UMNO dan BN untuk menyenangkan kroni-kroni mereka sahaja.

Apalah digembar-gemburkan dengan identiti kaum jika majoriti terbuang di pinggiran? Apalah gunanya mendabik dada menjadi juara kaum jika hanya yang kaya bertambah kaya, yang miskin makin terhimpit?

Kini rakyat semakin bersatu dengan sendirinya tanpa mengira bangsa dan agama. Ini telah menjadi cabaran kepada parti-parti yang berasaskan kaum. Pemimpin BN kelihatan begitu cemburu dengan perubahan yang sedang berlaku.

Perdana Menteri sendiri sanggup meniupkan api perkauman. Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan UMNO adalah Melayu dan Melayu adalah UMNO di hadapan masyarakat Melayu.

Di hadapan masyarakat Cina dan India serta di Sabah dan Sarawak, beliau melaungkan pula slogan 1Malaysia. Jelas ini adalah percubaan untuk mengelirukan rakyat pelbagai kaum.

Keangkuhan Perkasa pula dibiarkan begitu saja sebagai tanda ugutan pasif kepada kaum bukan Melayu.

Sikap hipokrit pemimpin BN ini ternyata memakan diri sendiri apabila sebahagian besar kaum Cina dan India telah menyebelahi Pakatan Rakyat manakala kaum Melayu dan Bumiputera lainnya yang telah sedar dengan politik kotor BN mula beralih kepada Pakatan.

Harapan suci PR untuk membela rakyat Malaysia secara keseluruhannya melalui usaha menawan Putrajaya telah tidak lagi dapat dihalang oleh BN.

Rakyat sudah bosan dengan janji-janji kosong BN yang selama ini terbukti pecah  tembelang.

Peningkatan kos hidup, korupsi, kronisme, pembaziran sumber, penggangguran, kezaliman dan banyak lagi kelemahan dalam pemerintahan BN tidak dapat lagi ditutup dengan pembohongan dan propaganda perkauman.

BN perlu menerima padah yang bakal menimpa kerana perjuangan berasaskan kaum yang hanya memecahbelahkan perpaduan rakyat tidak lagi relevan.

Laluan untuk peralihan kuasa kepada PR perlu ditepati sekiranya PRU 13 menyebelahi PR berdasarkan sistem demokrasi raja berpelembagaan. Jangan ada sesiapa yang mahu ketepikan hak rakyat sepertimana berlaku di Perak.

BN boleh menipu sekali-sekala tetapi kali ini rakyat tidak akan membenarkan penipuan berlaku lagi. – Roketkini.com

Penulis adalah Naib Pengerusi DAP Perlis