Berita

Kerajaan BN takut dengan syarikat telekomunikasi, rakyat jadi mangsa

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Undang-undang yang membenarkan kewujudan banyak syarikat telekomunikasi bertujuan menggalakkan persaingan sihat untuk faedah pengguna, dan bukannya untuk korporat bersekongkol menekan rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, kerajaan perlu bertindak tegas memastikan Akta Persaingan 2010 digunakan bagi melindungi pengguna dari dipermainkan gergasi telekomunikasi yang berpakat mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus kepada pengguna telefon prabayar.

Beliau berkata, isu sebenarnya adalah percubaan syarikat-syarikat telekomunikasi itu yang secara terang-terangan berpakat mahu menjadi kartel dengan menaikkan cukai yang bertentangan dengan Akta Persaingan 2010.

“Sementara syarikat-syarikat ini berhak untuk menanggung cukai perkhidmatan atau mengenakannya kepada pengguna, kenyataan mereka secara bersama – Maxis, Digi, Celcom dan U-Mobile – menunjukkan mereka bersekongkol untuk menaikkan harga perkhidmatan mereka secara serentak.

“Mereka juga bersekongkol untuk menambah untung untuk diri mereka tanpa merasa bimbang bahawa saingan mereka akan menurunkan harga bagi menarik pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Akta Persaingan 2010 bertujuan  “untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dengan menggalakkan dan melindungi proses persaingan, dan dengan demikian itu melindungi kepentingan pengguna.”

“Rang undang-undang tersebut secara khusus melarang perjanjian anti-persaingan termasuk penetapan harga, kartel import, penipuan tawaran, peruntukan wilayah, mengehadkan pengeluaran, dan perkongsian pasaran,” katanya.

Pada 8 September lalu, syarikat-syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa pembelian tambah nilai prabayar dan pek pemula prabayar akan dikenakan bayaran perkhidmatan cukai 6 peratus berkuatkuasa 15 September.

Tambah Pua yang juga Timbalan Pengerusi DAP Selangor, adalah tidak syak lagi bahawa kenyataan bersama oleh Maxis, Digi, Celcom dan U-Mobile itu adalah salah di sisi undang-undang kerana mereka berpakat untuk menetapkan harga cukai bersama langsung menunjukkan usaha memonopoli (secara berkumpulan ia adalah oligopoli) industri telekomunikasi.

“Kerajaan harus bertindak membuktikan Akta Persaingan mempunyai ‘taring’ bagi melindungi pengguna biasa dan menghalang dari dipijak sesuka hati oleh gergasi korporat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com