Rencana

Tangan-tangan hitam mencabul Hutan Belum – Oleh V. Sivakumar

19 SEPTEMBER – Baru-baru ini masalah mendogolkan hutan simpanan menjadi satu isu yang besar di negeri Perak. Siapakah di antara tangan-tangan hitam yang terlibat dalam pembalakan haram dan pembersihan hutan ini?

Sungguh pelik kalau pihak kerajaan negeri Barisan Nasional tidak mengetahui aktiviti-aktiviti haram yang berlaku dengan begitu berleluasa.

Adakah pemimpin-pemimpin kerajaan negeri itu buta? Atau pura-pura menjadi pekak apabila isu ini dibangkitkan? Adalah mustahil untuk aktiviti-aktiviti haram ini dilakukan tanpa pengetahuan dan restu daripada kerajaan negeri.

Isu membersihkan hutan seluas 74 hektar di Belum-Temenggor Forest Complex (BTFC)  menjadi hangat apabila perkara ini didedahkan oleh sebuah media tempatan. Besar sekali kawasan hutan itu, luasnya kira-kira 120 buah padang bola.

Menteri Besar tak tahu apa-apa?

Sungguh menakjubkan apabila Menteri Besar Perak Datuk Seri  Zambry Abdul Kadir membuat kenyataan akhbar seolah-olah beliau tidak mengetahui tentang perkara itu. Beliau memberi arahan untuk menyiasat sedalam-dalamnya mengenai aktiviti membersihkan hutan tersebut.

Zambry menyatakan beliau tidak akan bertolak ansur sebarang penyalahgunaan, malah beliau komited untuk melindungi alam semulajadi terutamanya Hutan Belum. Beliau juga dalam kenyataanya mengatakan bahawa Hutan Belum adalah kawasan yang dilindungi dan merupakan tanah yang telah digazetkan sebagai hutan.

Hebat bunyi kenyataan beliau. Tapi kenyataan beliau yang bagai udang dalam tanggung itu sudah pasti tidak dapat diterima mudah oleh orang-orang yang rasional.

Zambry sebagai Menteri Besar Perak harus berasa malu jika benar perkara ini berlaku di luar pengetahuan beliau.

Siapakah yang berani  ceroboh memasuki dan membersihkan hutan simpanan yang dilindungi oleh kerajaan? Siapa berani buat sesuka hati di kawasan yang amat luas itu?

Zambry cuba memperbodohkan rakyat Perak setelah isu ini dibongkarkan.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku tanpa pengetahuan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Grik, Majlis Daerah Grik, Jabatan Perhutanan dan agensi-agensi kerajaan yang lain?

Kerajaan negeri sudah terjebak dan harus mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan masalah yang timbul. Ini adalah kerana hutan-hutan khazanah negeri ini dimusnahkan oleh tangan-tangan hitam yang sudah tentu mereka tahu identitinya.

Tanah milik kerajaan negeri, Menteri Besar masih tak sedar?

Tanah ini sebelumnya dimiliki oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Tetapi ia telah dipindah milik semula kepada kerajaan negeri beberapa bulan yang lalu.

Adakah Zambry mahu menafikan bahawa beliau tidak megetahui tentang perkara ini? Aktiviti-aktiviti membersihkan hutan ini hanya bermula sejak dua minggu yang lalu setelah tanah kawasan itu dipindah milik semula kepada kerajaan negeri.

Bukankah ini membuktikan bahawa ada unsur-unsur yang ‘tidak kena’ dalam transaksi ini? Bagaimana kerajaan negeri hendak menjelaskan jika mereka mendakwa mereka tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di sana?

Sudah tentu perkara ini telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Tetapi Zambry cuba  menutup cerita ini dengan  adegan sandiwara berpura-pura.

Jika benar pihak kerajaan negeri tidak tahu tentang perkara ini, orang-orang yang bersalah itu harus ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan dengan serta-merta.

Sudah tentu kerajaan negeri tahu siapa yang terlibat secara terus dalam menjalankan aktiviti-aktiviti ini. Tindakan ini adalah penting untuk membersihkan nama kerajaan negeri dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jika mereka benar-benar tidak terlibat dalam skandal ini.

Dipercayai hutan itu dibersihkan untuk membuka jalan ke kawasan pendalamam yang akan diusahakan dengan penanaman kelapa sawit.

Adakah aktiviti penanaman kelapa sawit juga  dilakukan secara haram atau tanah itu telah diluluskan kepada pihak-pihak tertentu oleh kerajaan negeri?

Walau bagaimana pun pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah ‘mencuci tangan’ dengan mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui apa-apa tentang projek penanaman kelapa sawit di kawasan pendalaman itu. – Roketkini.com

Penulis adalah Adun Tronoh merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak