Berita

Jalur Gemilang: Manoharan minta maaf, UMNO-BN masih menggila

SHAH ALAM, 20 SEPT –  Isu Jalur Gemilang telah selesai selepas Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Kota Alam Shah, M Manoharan meminta maaf secara terbuka atas pandangannya berhubung bendera Malaysia.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok berkata UMNO dan Barisan Nasional sepatutnya tidak memainkan lagi isu itu, sebaliknya menumpukan perhatian kepada segala ‘transformasi’ yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak untuk kepentingan rakyat Malaysia.

“Sepatutnya, mereka (pemimpin-pemimpin BN) menumpukan lebih perhatian kepada isu yang jauh lebih penting, iaitu berkenaan penggubalan dua undang-undang baru yang dikatakan akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Tambah Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh, BN juga perlu membuktikan keikhlasan mereka untuk menjadi “negara demokrasi terbaik di dunia” dengan meminda atau lebih baik lagi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta akta-akta lain dengan segera seperti yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu.

Dalam isu Jalur Gemilang, Manoharan melalui laman Facebook telah pun menyatakan permohonan maaf beliau secara terbuka, yang perihatin untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.

Melalui Facebook, Manoharan dipetik sebagai berkata, “Saya anak Malaysia yang patriotik. Saya memohon maaf berhubung komen saya mengenai bendera Malaysia yang telah menimbulkan perasaan tidak selesa kepada anda semua.”

Jelas Teresa yang juga Adun Kinrara, pandangan Manoharan sebenarnya bukanlah melambangkan pendirian DAP atau Pakatan Rakyat.

“Kita tidak pernah mempersoalkan kedudukan Jalur Gemilang sebagai sebagai bendera kebangsaan, jauh lagi dari berhasrat untuk mengubahnya. Ianya bukan isu Pakatan,” jelasnya.

Bagaimana pun, jelas Teresa, beliau dan beberapa pimpinan DAP telah pun menasihatkan Manoharan agar lebih berhati-hati bila mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sementara itu, menurut Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub telah pun menegaskan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat tidak menggantikan bendera Jalur Gemilang jika berjaya membentuk kerajaan.

Salahuddin berkata, apa yang ingin digantikan Pakatan Rakyat ialah kerajaan BN, bukannya Jalur Gemilang.

“Tak ada salah dan dosa bendera Malaysia. Yang Pakatan Rakyat nak tukar ialah BN bukannya bendera,” katanya. – Roketkini.com