Budaya

Enchik: LLN, lampu minyak tanah dan rumah terbakar – Oleh Mazir Ibrahim

Bahagian Kedua

Sebuah kereta dan sebuah van menghampiri laman rumah Enchik. Di tepi van itu jelas tertera tulisan Lembaga Letrik Negara (LLN).

Dari dalam kereta keluar dua orang lelaki, seorang berpakaian kemas, gayanya seperti seorang pegawai dan seorang lagi berpakaian lusuh seperti orang kampung. Dari dalam van pula keluar dua orang lelaki, mereka terus duduk panggung di tepi sungai yang menghadap ke rumah Enchik.

Enchik turun ke beranda rumah setelah menjawab salam. Usop Labu dengan ramah memperkenalkan pegawai LLN yang ditemaninya tadi kepada Enchik. Sambil minum kopi susu yang dihidang, pegawai LLN itu meneruskan perbualan. Dia begitu ramah.

“ Kenapa lama sangat? Kawan dah berunding dengan DO tahun lepas lagi,” tanya Enchik.

“ Maaf Enchik, kita baru mesyuarat dan dapat order tu bulan dulu, ” jawab pegawai LLN itu.

“ Dah, ya lah, awak buatlah apa yang patut. ”

“ Kita buat rumah Enchik dulu, kemudian terus kita sambung masuk kampung ya?”

Enchik menolak untuk rumahnya didahulukan. Dia mahu surau dan sekolah diberi keutamaan untuk ‘masuk api’. Pegawai LLN itu hanya menurut saja.

Menurut Usop Labu yang ada sama pada hari itu, hampir tujuh bulan selepas kunjungan pegawai LLN itu, hanya tiang kayu sahaja yang tertegak. Kabel lektrik belum lagi dipasang lagi, begitulah sudahnya.

Maka begitu juga anggapa orang kerajaan terhadap orang kampung, termasuk di Johor. Asal mereka duduk diam, tidak bising, biarlah hidup tanpa elektrik, walau masalah itu berlaku sekitar tahun-tahun di mana Perdana Menteri pada masa itu datangnya dari Johor.

Enchik tidak pernah mengadu. Dia sabar dan pasrah. Rumah agamnya yang mesra insan menjadi keindahan walau tak segarang villa orang berada.

Rumah agam

Musim hujan telah sampai, hampir setiap hari air kolam di rumah Enchik melimpah. Tempayan besar yang dipanggil ‘kalbet’ dan semua tempayan yang ada di sekeliling rumahnya juga turut penuh dengan air hujan.

Tempayan-tempayan ini Enchik kumpul sejak dia mula menjadi penghulu lagi. Kesemua kolah-kolah ini diletakkan disekeliling rumah agam tradisionalnya. Di setiap sendi sambungan rumah, pada hujung atapnya diletakkan setiap satu, sebuah tempayan.

Tempayan-tempayan ini berjumlah tujuh buah, mengelilingi seluruh kawasan rumah Enchik. Ia digunakan untuk sumber air bagi menyiram pokok bunga atau apa saja.

Di tengah-tengah laman rumah Enchik, ada satu ruang tetapi kedudukannya terkedalam sedikit yang berbentuk U. Di sini, Enchik letakkan kalbet sebagai kolah besar untuk menadah air hujan. Kolah besar ini digunakan oleh tetamu yang datang untuk mencuci kaki dan mengambil wudhuk.

Kolam dan laman

Rumah Enchik memiliki dua buah kolam, paling besar terletak di belakang rumah, saiznya sekitar dua puluh meter persegi, kedalamannya tidak diketahui.

Di keliling kolam ini, merimbun pohon buluh yang berbatang kuning. Jika ada babi hutan yang mahu menyondol, pasti tidak akan dapat melepasinya.

Hanya Enchik seorang saja yang boleh menggunakan kolam ini. Dia tak pernah pula memberikan sebab-sebabnya, Atok bilang jangan dekat dengan kolam Enchik, itu saja.

Di penjuru depan rumah, sebuah lagi kolam yang lebih kecil saiznya. Ia digunakan untuk keluarga Enchik mandi dan mencuci pakaian.

Sebelah kiri rumah Enchik ada sebatang tali air yang menjadi pemisah antara tanah jiran sebelah dengan tanahnya. Ikan sepat dan puyu amat banyak bermain di tali air ini.

Sebelah kanan rumah agam ini, ada sedikit tanah untuk Enchik berkebun. Ada jambu air, jambu batu, ubi kayu, keledek, pokok asam, pokok belimbing, pokok pisang, rambai, maggis dan pokok kapas.

Halaman rumah Enchik bersaiz seluas padang bola. Rumputnya menghijau, pokok pinang dan pokok rambai memagari laman ini. Jauh di hujung laman, mengalir air sungai yang berwarna gelap kemerah-merahan. Rasanya amat kelat sekali. Tapi sungguh jernih.

Tanah di sini ada dua jenis, gambut dan laterit.

Antara jalan besar bertanah merah dengan laman rumah Enchik, dihubungkan dengan sebuah titi kayu dan buluh yang sederhana saiznya.

Antara titi itu dan beranda rumah Enchik, jaraknya sekita seratus lima puluh meter. Jalan kecil ini apabila bulan Syawal, akan dihiasi dengan pelita yang berbaris panjang. Jika berjalan di antaranya, seolah-olah sedang berjalan menuju ke istana hinggap.

Keluasan rumah Enchik ini pada zaman itu tidak pula kelihatan seperti rumah banglo, villa atau estet persendirian yang mewah dan garang rupanya.

Rumah agam itu hanya terhias dengan kekisi atap dan ‘tunjuk langit’ di bumbung. Ruang persekitarannya memang luas tetapi mampu mengundang keinginan dan keselesaan orang ramai mahu datang bertandang.

Semiskin mana pun anak-anak buah Enchik, mereka pasti tidak akan segan untuk singgah melepas peluh sambil bertemu Enchik.

Mengajar Quran dan Bahasa Inggeris

Pada waktu malam selepas senja, sekitar dua puluh hingga tiga puluh anak-anak orang kampung akan memenuhi bangsal rumah untuk mengaji Quran dan Muqaddam dengan Atok.

Namun sekali-sekala, Enchik akan melaung jauh dari bangsal jika dia terdengar kesalahan tajwid dari bacaan budak-budak.

Sebelum itu, budak suruhannya akan sibuk mengepam lampu-lampu gas. Ada yang mengisi minyak tanah, ada yang menukar bulp lampu gas dan yang lain sibuk menyusun kerusi dan meja.

Sesetengah anak-anak yang mengaji ini akan turut membawa kuih-muih untuk dimakan bersama yang lain ketika mengaji. Budak suruhan Enchik akan menyediakan minuman air mati (air kosong) dan kadang kala air sirap merah.

Ada yang berumur enam tahun, dua belas tahun hinggalah ke tujuh belas tahun. Riuh-rendah rumah agam ini pada setiap malam.

Hingga santak Isyak, kelas mengaji tamat dan kelas Bahasa Inggeris pun bermula. Enchik akan mengajar tatabahasa. Dari dua puluh, tiga puluh orang yang mengaji, hanya akan tinggal sekitar lima belas orang yang terus mengikuti kelas ini.

Enchik garang ketika mengajar. Cucu Enchik dan beberapa orang budak suruhannya akan membantu. Kerana, kadangkala Enchik akan semput ketika mengajar, jadi pembantunya perlu ada.

Semua kelas-kelas ini Enchik jalankan secara percuma. Memang tidak ada seorang pun dibenarkan membayar pada Enchik, jika ada yang degil ingin bermurah hati, akan dijerkahnya kembali.

Kerusi, meja, bangku, kapur tulis dan papan hijau Enchik beli dan sebahagiannya adalah pemberian pihak sekolah. Barangkali, ini sahaja barang yang Enchik terima sebagai satu pemberian.

Selepas habis kelas Bahasa Inggeris lebih kurang jam 11 malam. Dua tiga orang anak-anak muridnya akan membantu mengemas bangsal.

Jika pada hari Khamis, selepas kelas Bahasa Inggeris, budak-budak yang belajar ini hanya akan pulang setelah mendengar cerita larut malam dari Enchik.

Memang dia pandai bercerita dengan kisah-kisah Hikayat 1,001 malam, kisah penjajah British dan kisah-kisah raja dan sultan yang menjadi kegilaan budak-budak zaman itu. Maklumlah zaman 1960-an tak ramai orang kampung ada TV.

Rumah terbakar

Dapur rumah Enchik sangat besar, kedudukannya agak tinggi dan luas. Setakat untuk menanak nasi bagi kenduri-kendara, memang tidak perlu menanak di luar dengan tungku dapur yang baru. Yang ada sudah lebih memadai.

Ruang tamu adalah bahagian yang paling tinggi dan luas berbanding ruang-ruang yang lain. Almari dan perhiasan tembikar dan gangsa berjenis-jenis.

Berandanya lebih rendah sepertimana bahagian dapur. Di ruang ini, Enchek sediakan kerusi kayu dan rotan buat tetamu yang bertandang.

Bagi memenuhi keperluan ruang-ruang dalam rumah ini, Enchik menggunakan sekitar 12 biji lampu gas. Untuk ruang yang lebih kecil seperti bilik tidur, hanya  menggunakan lampu cemeni dan lampu pelita.

Satu kejadian tak diingini berlaku pada tahun 1971. Rumah Enchik terbakar. Separuh dari rumah ini hangus. Ini semua gara-gara lampu pelita minyak tanah.

Enchik tahu, keadaan ini tidak dapat dielakkan. Rumahnya besar dan sentiasa dikunjungi orang siang dan malam. Dengan begitu banyak lampu gas dan pelita, keselamatan harta benda tidak begitu terjamin. Maka Enchik sekeluarga pasrah.

Sejak lebih dari empat puluh tahun rumah itu di diaminya, kebakaran yang pernah berlaku sudah masuk lapan kali.

Kali terakhir pada 1979, tujuh bulan selepas pegawai LLN datang melawat dengan janji untuk melaksanakan segera pemasangan elektrik ke kampung dan rumah Enchik, berlakulah satu lagi kebakaran. Kebakaran yang tak ada kena-mengena dengan bekalan elektrik yang tak sampai-sampai dinanti.

Kebakaran yang terakhir inilah yang menyebabkan kaki Enchik terbakar hangus dan menjadi tepok. Kakinya cacat kekal buat selama-lamanya. – Roketkini.com

Akan datang: Hancur pusaka buku dek banjir

Perkataan yang biasa dituturkan oleh orang Johor.

Kolah – bekas tadahan air yg besar.

‘kalbet’ – gelung simen untuk buat longkang yang biasanya diletakkan bawah jambatan, bersaiz besar. Digunakan sebagai tempayan besar untuk menadah air hujan.