Berita

Bernama fitnah Guan Eng, Utusan sebarkannya

KUALA LUMPUR, 26 SEPT –Selain lidah rasmi UMNO seperti Utusan Malaysia dan TV3, agensi berita nasional Bernama turut menyertai serangan terhadap Pakatan Rakyat dengan menyiarkan berita palsu dengan niat memfitnah terhadap Lim Guan Eng.

Bernama dalam laporan berita pada 23 September telah menyebut:

“Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam satu temuramah sebuah stesen radio di Australia dilaporkan, berkata Johor bukanlah negeri yang selamat kerana penuh dengan jenayah dan peluang untuk diculik sangat mudah berbanding di Pulau Pinang. Kenyataan Lim itu dibuat sebagai cubaan untuk mengalihkan pelaburan Australia dari Johor ke Pulau Pinang.”

Justeru, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang telah menuntut supaya Bernama menarik balik laporannya yang mendakwa kononnya Guan Eng telah memburukkan negeri Johor menerusi satu wawancara dengan Radio Australia minggu lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan bercadangan untuk mengambil tindakan undang-undang jika Bernama enggan meminta maaf atas pembohongannya.

Setiausaha Akhbar (II) Ketua Menteri, Wong Kim Fei, yang telah menghantar surat kepada Bernama tentang perkara itu, telah menjelaskan bahawa perkataan “Johor” tidak disebutkan sama sekali dalam wawancara dengan Radio Australia itu.

Sebaliknya, wawancara itu menyentuh mengenai pandangan Guan Eng tentang pengumuman Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, usaha pertukaran pendatang dan pencari hak suaka serta kemajuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Berikutan berita palsu itu, para pemimpin UMNO telah membidas Guan Eng sedangkan Setiausaha Agung DAP itu tidak pernah membuat kenyataan sedemikian rupa sebagaimana yang disiarkan oleh Bernama.

Malah, Utusan Malaysia melalui pengarang kanannya dalam kolum Bisik-Bisik Mngguan Awang Selamat semalam turut menyebarkan fitnah daripada berita palsu itu, mengaitkan Guan Eng dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dahulu  mengenai Johor sebagai “negeri yang tidak selamat kerana banyak berlaku jenayah”.

Menurut Wong, Guan Eng tidak pernah menyebut satu patah perkataan pun mengenai Johor atau merujuk kepada keadaan di negeri-negeri lain di Malaysia sewaktu wawancara dengan Radio Australia itu.

“Oleh kerana laporan (Benama) tentang Lim dengan Radio Australia adalah tidak benar, palsu dan penuh dengan pembohongan, Bernama harus menarik balik dan memohon maaf tanpa syarat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dengan segera dan menyiarkan (kandungan surat) ini dalam Bernama.

“Jika gagal Ketua Menteri Pulau Pinang akan mengambil tindakan perundangan ke atas Bernama,” ujarnya. – Roketkini.com