Budaya

Enchik: Tenggelamnya karya dek banjir – Oleh Mazir Ibrahim

Bahagian Ketiga

Di kampung Enchik, banjir menjadi satu pesta kemeriahan bagi orang-orang kampung, apatah lagi anak-anak kecil. Ketika inilah ikan sepat, tilapia dan puyu melimpah sampai ke bawah rumah. Tapi yang kurang enaknya, ular sawa dan biawak juga kadangkala menjemur diri di beranda rumah!

Dua buah perahu Enchik, yang sebenarnya sebuah lagi hanyalah kolek kecil, menjadi sangat penting ketika musim tengkujuh ini.

Air sungai akan melimpah hingga ke beranda rumah. Maka perahu-perahu ini akan menjadi kenderaan utama bagi anak-anak buahnya berkunjung, namun ada juga digunakan untuk budak-budak datang mengaji di bangsal.

Biasanya, banjir di kampung Enchik lajak hingga dua tiga minggu. Sungainya lebar, besar dan luas. Namun kini, sungai itu sudah menjadi parit kecil.

Bah Hari Raya

Pada awal tahun 1969, kampung ini dilanda bah yang amat besar. Ketika itu bulan Ramadhan. Kata Enchik, tahun ini menjadi hari raya yang paling ‘diingatinya’.

Lat sepuluh hari sebelum hari raya, hujan turun selama empat malam tanpa henti. Masjid dan sekolah tenggelam. Orang kampung terpencar-pencar bersembahyang terawih, ada yang di pekan Parit Mulong, Sungai Plaut, Parit Sultan dan Parit Pengeram.

Air naik hingga ke bendul pintu rumah Enchik yang setinggi kira-kira tujuh kaki dari tanah . Kata Enchik, perahu yang digunakan berlabuh betul-betul di depan pintu rumah.

Sudah menjadi resmi orang-orang kampung zaman itu, menjelang Syawal setiap rumah akan bertukar-tukar lauk dan masakan. Tradisi ‘munjung’ ini memang hebat pada zaman itu. Hingga rumah Enchik tidak memasak apa-apa pun kerana lauk munjung orang-orang kampung sudah malacak-lacak di dapur.

Malah rumah Enchik dijadikan stesen untuk mengagih-agihkan makanan yang terkumpul kepada anak-anak buahnya yang lain. Ketika bah, orang-orang munjung naik perahu. Suasana akan menjadi hiruk pikuk menjelang maghrib.

Minggu terakhir bulan Ramadhan itu, tidak kedengaran bunyi meriam buluh. Api-api pelita bergantungan tinggi kerana diikat pada dawai yang diregang dari satu pokok ke satu pokok yang lain.

Jika malam turun hujan juga, maka bergelaplah lorong-lorong kampung dan lelah saja yang dapat setelah bersusah payah memanjat untuk memasang pelita dan punjut.

Bah semakin surut ketika Syawal, orang kampung beraya dan bermarhaban dengan mengharung air separas paha.

Datang tak dijemput, pergi tak diturut

Pegawai Daerah pada masa itu sering mengunjungi rumah Enchik. Pelan-pelan pembangunan kampung dibentangkan kepada Enchik. Tapi, Enchik jarang bersetuju dengan rancangan D.O itu.

Enchik selalu mengeluh kerana orang Pejabat Daerah suka mencari penyelesaian jalan singkat. Kadangkala kata Enchik, penyelesaian mereka itu tak ada kaitan langsung dengan masalah sebenar orang kampung.

Umpamanya hal banjir dan sungai, hasrat D.O kawasan itu senang saja – dia mahu orang kampung berpindah ke kawasan lain untuk mengelak banjir.

Tujuan mereka ini Enchik fahami sebagai satu usaha untuk menghalau orang kampung.

Setelah berulang kali D.O datang melawat, Enchik tidak lagi membukakan pintu rumah untuknya. Sejak itu, DO tidak lagi datang.

Tenggelam

Hobi Enchik adalah membaca, menulis, mengajar, melukis dan mendengar muzik. Enchik tidak kuat untuk bercucuk tanam, memotong kayu, memburu, memancing atau menebas.

Hari-hari tuanya banyak dihabiskan di meja tulis. Setiap pagi dan petang, meja lama itulah yang menjadi ‘laman’ Enchik beriadah. Tabiatnya selepas membaca buku, akhbar, majalah dan kitab, adalah menulis.

Ada beberapa jenis tulisan yang Enchik rakam. Ada yang jenis catatan sejarah dan peristiwa, jenis hikayat dan nota-nota agama dan sastera.

Tapi semua tulisan ini tidak pernah diterbitkan di mana-mana pun. Bila ditanya mengapa, Enchik berkata sekadar mahu menyimpannya saja.

Enchik menulis dalam dua jenis tulisan, rumi dan jawi. Lakarannya sangat molek. Tulisannya juga dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Bentuk tulisan tangan Enchik menyamai bentuk huruf-huruf roman klasik.

Kesemua catatan-catatan ini bukan sekadar perkataan semata-mata, sebaliknya Enchik akan melakar gambar-gambar yang berkaitan dengan tulisannya.

Jika ada catatannya mengenai seseorang tokoh, selepas catatan itu akan diselitkan dengan lukisan potret tokoh tersebut, jika ada Sultan yang mangkat, maka akan dicatat semua perihal Sultan itu, dari kecilnya hinggalah dia mangkat.

Selepas catatan itu, maka dilukisnya potret Sultan itu lengkap dengan bintang-bintang kebesarannya sekali.

Jika ada catatan mengenai peristiwa pembunuhan penting, Enchik melukiskan gambar pistol selepas catatan itu. Begitu juga dengan segala peristiwa lain, kisah-kisah hikayat 1001 malam, dan nota-nota kelas bahasa dan agama.

Semua ini Enchik tulis dan lukis dengan pen. Beliau amat tekun memperinci setiap tulisan dan lukisannya.

Buku-buku yang ditulis pernah hilang dicuri orang; untuk apa dicuri tidak pula dapat diagak tujuannya.

Hobi dan tabiat ini sudah menjadi amalan yang begitu lama. Buku-bukunya sangat banyak. Enchik simpan semua khazanah tulisannya di dalam sebuah bilik, bilik ini letaknya di rumah belakang, bersebelahan dengan dapur.

Ketika bah besar pada sekitar tahun 1969 itu, bilik ini tenggelam bersama dengan buku-buku Enchik sekali. – Roketkini.com

***

Perkataan yang biasa dituturkan oleh orang Johor.

Lat – selang / menjelang

Munjung – Mengunjung / memberi

Melacak-lacak – sangat banyak