Berita

Segera atasi masalah banjir Perlis

KANGAR, 4 OKT – Keadaan banjir di Perlis semakin teruk sejak wujudnya Empangan Timah Tasoh (ETT) berikutan ketiadaan sistem saliran keluar lebihan stok air yang  sempurna, kata  Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perlis Atasi Masalah Banjir.

Pengerusi jawatankuasa itu Mohammad Faisol Abdul Rahman berkata ETT juga hanya menggunakan sungai semula jadi yang sedia ada manakala pengurusan penyelenggaraan sungai itu pula kurang memuaskan.

Katanya, longkang dan perparitan yang tidak selari dengan pembangungan juga menimbulkan masalah besar apabila hujan lebat.

“Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mendesak kerajaan negeri supaya lebih prihatin dan peka serta meletakkan masalah ini sebagai suatu keutamaan demi menjaga keharmonian dan kemajuan negeri Perlis yang sedang berusaha untuk mencapai Perlis Maju 2015,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jawatankuasa itu yang ditubuhkan di sini pada Sabtu lalu mendapati kekerapan banjir besar di Perlis menyebabkan kerosakan harta benda, tanaman dan ternakan membabitkan nilai jutaan ringgit.

“Kami bimbang syarikat insurans berkemungkinan akan mengenakan caj premium yang tinggi kepada aset rumah dan kelengkapan rakyat Perlis.

“Di samping itu, ianya juga oleh menyebabkan ketidakyakinan para pelabur untuk datang melabur di negeri ini serta keresahan para peniaga tempatan yang sering terdedah kepada banjir,” tambahnya.

Menurut Mohammad Faisol, sebahagian besar penduduk Perlis merasakan ETT sebagai “bom jangka” yang berbahaya dan boleh menyebabkan sebahagian negeri tenggelam sekiranya sesuatu yang  tidak diingini berlaku kepada empangan itu.

Katanya, jawatankuasa bertindak itu akan meneliti perkembangan isu banjir untuk membawa mesej keresahan dan penderitaan banjir rakyat kepada kerajaan negeri dan Pusat serta Jabatan Pengaliran dan Saliran, dan Majlis Perbandaran Kangar.

“Jawatankuasa bertindak juga akan mengadakan pertemuan dengan pakar alam sekitar, perancangan perbandaran, NGO-NGO berkaitan bagi mengolah idea terbaik untuk diajukan kepada pihak berwajib supaya isu permasalahan  banjir di Perlis akan dapat diatasi segera demi manfaat Rakyat Perlis,” katanya. – Roketkini.com