Rencana

Apa ada dengan transformasi politik Najib? – Oleh Hafiz Zainuddin

6 OKTOBER – Datuk Seri Najib Razak harus akur bahawa perjuangan Pakatan Rakyat selama ini merupakan ilham kepada agenda transformasi yang diidam-idamkan oleh Perdana Menteri. Itu sangat pasti.

Tanpa usaha pembangkang dengan komitmen yang tinggi mengetengahkan isu hak asasi manusia, demokrasi, urus tadbir yang baik, gaji minima dan sebagainya, tidak akan ada janji untuk perubahan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

Namun begitu, apa yang diumumkan Najib baru-baru ini bukanlah bersifat menyeluruh.

Usul beliau untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diperjuangkan pembangkang sejak lebih 50 tahun tidak pernah terimpikan oleh kebanyakan rakyat.

Begitu juga dengan pengumuman beliau untuk membebaskan kesemua 125 tahanan di rumah serta membatalkan 200 nama yang lainnya apabila Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri dimansuhkan.

Tetapi alasannya ialah undang-undang itu sudah lapuk dan tidak relevan; ia bukan demi kebebasan dan hak asasi rakyat. Pesalah-pesalah di bawah undang-undang yang dimansuhkan itu pula bukan pengkritik kerajaan yang ditahan tanpa bicara seperti di bawah ISA.

Tanda-tanda BN terdesak

Apa pun, ini semua merupakan sebuah tanda. Sedikit-sebanyak memperlihatkan keterdesakan Najib untuk menjadi popular.

Hanya dengan populariti sebegini, beliau dikatakan boleh mengembalikan semula sokongan rakyat kepada BN dengan menonjolkan diri sebagai pejuang yang dilihat membawa Malaysia kepada amalan demokrasi yang lebih terbuka di peringkat antarabangsa.

UMNO sebaliknya kelihatan membisu. Terpaksa akur dengan tindakan dan anjakan yang bunyinya radikal daripada Najib.

Sedang Najib dilihat berseorangan dalam mengetengahkan isu ini, persoalan terus timbul. Apakah pelan transformasi politik Najib yang bertemakan demokrasi dan hak asasi manusia ini satu tindakan yang jujur?

Mari kita berbalik kepada rasional. Bayangkan hanya setelah lebih lima dekad memerintah; setelah ribuan rakyat dinafikan hak bersuara, sebahagian yang lain menderita, didiskriminasi dan terseksa malah ada yang mati; setelah sekian lamanya rakyat terbelenggu dengan akta yang zalim; baru sekarang kerajaan BN bertindak. Persoalannya kenapa?

Sebagai rakyat mau pun parti politik yang mendokong perjuangan keserataan dan keadilan, kita harus  menerima baik pembaikan yang sedang dilakukan.

Pembaharuan samar

Malangnya, apa yang dilakukan Najib masih terlalu samar. Cuma sebuah pengumuman tanpa tindakan yang konkrit.

ISA akan digantikan dengan dua akta lagi yang kita tidak tahu arahnya. Ibarat menggali lubang dan kambus kembali.

Kita melihat keputusan radikal Najib ini bersifat taktikal. Ini kerana, cuma lebih dua bulan yang lepas sahaja sejumlah rakyat dibelasah dalam Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Sehingga sekarang Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein masih berdolak dalik walau pun telah mengaku kerajaan BN telah membelanjakan RM2 juta dan menggunakan lebih 11,000 anggota polis untuk “menangani” perhimpunan aman Bersih 2.0.

Sekarang Najib bercakap soal hak asasi pula. Tapi Bersih 2.0 masih diisytiharkan haram manakala kerajaan BN belum mengaku silap atau meminta maaf kerana telah menangkap rakyat yang memakai t-shirt kuning sebelum, sewaktu dan selepas perhimpunan aman itu.

Mampukah Najib laksanakan transformasi?

Sama ada usaha transformasi Najib ini akan berjaya mau pun tidak, soalnya bukan mengenai agenda yang dilaungkan.

Isunya berbalik kepada kemampuan BN untuk melaksanakan transformasi tersebut. Dengan segala masalah kepimpinan, integriti, ketelusan, pencabulan hak, diskriminasi, fitnah dan sebagainya yang selama ini menjadi permainan mereka, apakah mereka mampu untuk melakukan perubahan?

Pilihan raya umum ke-13 nampaknya sudah sangat hampir. Dalam beberapa hari ini kita yakin akan terus disogokkan dengan kejutan demi kejutan oleh kerajaan BN, kemungkinannya dalam bentuk tawaran-tawaran dan insentif untuk rakyat.

Itu pun bukan perkara baru kerana semua perdana menteri sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad memang cekap dan pandai dalam soal janji-janji pilihan raya. Lazimnya pula, selepas pilihan raya, janji hanya tinggal janji.

Perjuangan rakyat untuk memartabatkan demokrasi dan hak insan akan terus diperjuangkan.

Kita percaya bahawa Najib dan jenteranya akan melakukan sesuatu. Mungkin ia merupakan satu petanda baik atau sekadar retorik yang biasa kita dengar dari Putrajaya menjelang pilihan raya. – Roketkini.com