Budaya

Lurah Berhantu – Oleh Muhammad Latiff

Cerpen

(Bahagian Pertama)

Joe sedang mengikat tali kasutnya dalam bilik di sebuah hotel tak banyak bintang apabila Blackberrynya bergetar di poket kiri. Cepat-cepat diselup tangannya ke dalam poket itu untuk menjawab panggilan.

“Joe… Joe… Tok tengah nazak… Boleh tak balik?”

“Nanti, saya ada program ni, mak pun tau. Nanti lagi saya call balik.”

Disimpan kembali telefon bimbit pemberian kakaknya itu, dan kembali mengikat tali kasutnya. Fikirannya ketika itu serba serabut sebab dia sudah terlewat untuk ke dewan kursus, iaitu seminar yang bertajuk Mengaplikasikan Ilmu Hisab Dalam Kehidupan Seharian. Tajuknya sedikit ganjil.

Kelab Mahasiswa dari sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam yang menganjurkannya. Joe sertai kursus ini kerana terpaksa, lagi pun penganjur ini rakan sekolahnya dahulu yang sama-sama berjuang mempertahankan Kelab Sejarah dari diharamkan pihak sekolah.

Lagipun, kursus ini percuma dan ditampung sepenuhnya oleh sebuah NGO berhaluan Melayu Liberal. Dan makanannya juga sedap. Benda percuma, siapa tak mahu.

Joe tidak fikir pengaruh politik jenis parti itu akan mempengaruhi dirinya. Apa yang dipedulikannya ialah, tempat tidur mewah, makan percuma dan hanya tidur ketika kursus berjalan.

Sebaik mencapai fail yang terkandung di dalamnya leaflet dan nota-nota yang dicatatnya, Joe terus keluar mengunci pintu berlari-lari anak untuk turun ke tingkat 10, di mana dewan itu berada.

Di hadapan lif, dia teringat akan panggilan ibunya tadi. Terus digenggam telefon bimbitnya dan dail.

“Hsk… Hsskk… Tok… Hskk… Tok…”

“Hello… Hello… Siapa ni?” Joe ragu-ragu dengan suara itu, dengan akal pendeknya, dia tidak sedar nombor yang didail itu adalah kepunyaan ibunya.

Ibunya tidak mempedulikan soalan Joe, malah terus teresak-esak bercakap, perlahan-lahan. Selepas beberapa ketika, sedarlah Joe bahawa neneknya telah pun meninggal dunia.

Sedikit tersentak antara kematian neneknya dan suara emaknya, Joe tertekan punat lif ketika cuba menongkat tangannya. Joe termanggu seketika.

Di dalam lif, juga tanpa disedari dia tertekan pula G. Sambil menggaru kepala yang tidak gatal, dia terus berjalan longlai keluar dari hotel untuk menarik beberapa sedutan nikotin bagi simpanan doktor pakar X-ray suatu hari nanti. Sambil itu, Joe cuba untuk memperbetulkan fikirannya: Antara tidak pulang ke kampung, atau menghabiskan sahaja kursusnya.

***

Nenek meninggal petang ini. Joe tidaklah seberapa rapat dengan neneknya. Memori terakhir yang sempat dirakam di benak kepalanya itu ialah apabila neneknya berulang kali bertanya soalan yang sama dalam sela masa setiap lima minit, ketika mereka berdua menonton sebuah dokumentari Astro beberapa tahun lalu.

“Ini cerita apa ni?”

“Ini dokumentari pasal hubungan mafia dengan parti-parti politik di Itali, Tok.”

“Oh…”

“…..”

Tidak lama kemudian, neneknya bersuara lagi: “Ini cerita pasal apa ni, Joe?”

“Ini cerita pasal orang Itali buat mogok sebab tak dapat minum Milo, Tok…”

“Oh… Milo pun masalah, no?”

“Ya la Tok. Minum Milo boleh jadi kuat. Kerajaan catu.”

“Ohh…” sambil membalut tembakau Jawa, neneknya sambung, “Cerita ni cerita apa ni Joe?”

Begitulah antara sedikit memori yang tersangkut di satu bahagian dalam otak Joe berhubung hubungannya dengan neneknya, mungkin kejadian itu antara yang paling diingati Joe.

***

Terngiang dengan tangisan ibunya tadi, hati Joe tersentuh kerana itulah kali pertama dia mendengar suara ibunya sebegitu.

Bagi mengelak dari bernostalgia jauh, lantas dibuang rokoknya ke dalam bekas rokok di pintu masuk hotel itu, sebelum dia naik ke tingkat 10 untuk memberitahu kepada penganjur meminta kebenaran pulang ke kampung halamannya, melawat neneknya, dan mungkin untuk mendengar suara normal ibunya.

Caca merba fikiran dan tingkah laku Joe waktu itu. Antara mimpi dengan realiti, seakan ada garis halus yang mudah diputuskan. Garis halus itu adalah keberanian Joe, fikir Joe, begitu juga fikir penulis.

Bagaimana pun, penganjurnya bukanlah terlampau liberal sehingga berpura-pura tidak memahami adat timur. Dia faham situasi sebegini memang berlaku pada waktu yang tidak dijangka, contohnya pernah seorang anggota kursusnya yang mendapat berita kematian saudara mereka ketika di tandas, ada pula yang mengetahui kematian saudara mara sewaktu bermain snooker dan sebagainya. Cerita tentang kematian tidak akan tamat.

Jadi, pulanglah Joe ke rumah sewanya untuk mengemas barang.

Bagaimana pun, dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya, sempat Joe singgah di toko buku Kinokuniya membeli sebuah naskhah novel dari penulis kegemarannya, Michel Houellebecq.

Novel terbaru penulis kontroversi Perancis itu, menurut komen dan ulasan di seluruh alam maya oleh netizen-netizen atau oleh remaja skema 30 tahun ke atas yang masih ‘bergelandangan,’ novel terbaru Houellebecq ini adalah yang terbagus. The Map and The Territory telah memenangi Prix Goncourt 2010, satu anugerah sastera paling berprestij di Perancis.

Joe sambar naskhah itu tanpa fikir panjang, bayar, turun, nyalakan sebatag rokok sambil menuju ke tempat parkir motorsikalnya dan terus memecut balik ke rumah sewanya.

Di rumah sewanya, (sebenarnya adalah rumah kakaknya, Joe hanya menumpang sahaja) kakaknya masih sedang berbaring di atas katil menghadap komputer ribanya, bersebelahan kakaknya itu terdapat bekas abu rokok dan beberapa gajet elektronik yang nama-nama gajet itu bagaikan nama-nama makhluk asing dalam filem-filem sains fiksyen klasik.

Bagaimana pun, selepas memerhati tingkah laku kakaknya yang sekejap tersenyih sendirian di hadapan komputernya itu, masih tiada tanda-tanda kelam-kabut, sebagai seorang cucu atau kakak, untuk menunjukkan semangat untuk pulang cepat ke kampung halaman.

“Sapa lagi nak tumpang balik?” tanya Joe kepada kakaknya yang masih senyum menaip di komputer ribanya itu.

“Pakcik dengan isteri dia,” balas kakak Joe tanpa memandang langsung adiknya.

“Pukul berapa depa nak sampai sini?”

“Pukul 5. Pakcik and makcik tumpang mai sini dengan family Ila.”

“Pukul berapa Ila dengan Pakcik nak sampai sini?”

“Pukul 5, depa kata.”

Memandangkan jam yang tergantung di ruang tamu menunjuk kepada angka 3, Joe turun kembali dari apartment mencari makanan.

Lebih kurang jam 4 petang, Joe kembali ke rumah. Kakaknya telah berupaya bangun dari hubungannya dengan alam maya dan sedang sibuk mengemas, melipat pakaian untuk disumbat ke dalam begnya, sambil menyanyikan lagu What a Wonderful World. Sekejap-sekejap kakaknya berulang alik antara bilik pakaiannya dan koridor rumah.

Joe mendaratkan tubuhnya di sofa ruang tamu. Membaca novel yang dibelinya tadi.

Oleh kerana kakaknya yang terlalu bersikap santai, Joe pula yang semakin bersikap gelojoh. Joe ingin sangat bertanya bilakah Ila bersama suami dan anak-anak mereka berserta Pakcik dan isterinya akan sampai.

Bagaimana pun, melihat lenggok santai kakaknya, Joe batalkan niat untuk bertanya dan kembali baring sambil membaca novel itu kembali.

***

Di stesen minyak Petronas perhentian Rawang di Lebuhraya Utara Selatan, jam di kereta menunjukkan 8 malam apabila Joe terjaga dari tidurnya.

“Depa kat mana dah?” soal Joe, “Lambat lagi ka? Shah Alam ke Rawang bukan jauh pun. Dah berapa jam dah kita kat sini?”

“Kalau nak kira janji depa tadi, depa akan gerak dari Shah Alam pukul 5 petang. La dah pukul lapan lebih dah… Biasalah bila deal dengan OS camni…”

“OS?”

“Otak singkat.”

“Ha?” jawab Joe, dalam keadaan mamai.

“Tu la payah deal dengan orang macam ni. Terutamanya dengan orang yang mengaji tak habis,” kata kakaknya sambil menjeling tajam ke mata Joe.

Joe terasa dengan kata kakaknya itu. Dia sendiri seorang gagalist. Dua kali berhenti dari institusi awam dan swasta. Berpuluh kerja dilakukannya, yang mana sebahagian besar kerja-kerja yang diceburinya hanya mampu bertahan paling lama sebulan atau dua bulan.

***

8:45 malam, akhirnya keluarga Ila dan Pakcik sampai. Joe dan kakaknya disambut dengan tangisan kuat anak bongsu Ila. Mungkin sebab terlalu bosan si anak itu berada di dalam kereta orang tuanya yang bergerak perlahan itu, fikir Joe, dalam hati.

“Lepas ni kita berhenti dekat RnR Tapah, no? Makan dulu… Lapaq la…” kata Ila memulakan bicara selepas menampar anak bongsunya itu.

“Baguih gak, kami pun tak cukup lepak lagi ni… Eh, Tok dah meninggal kan?” sampuk kakak Joe sambil memperbetulkan susunan beg di boot keretanya.

Ila tidak dengar atau buat-buat tidak dengar dengan apa yang dikatakan kakak Joe kepadanya. Ila ini jenis perempuan yang jika dia mempunyai jambang dan biji halkum, kemungkinan akan menjadi peminat tegar Manchester United, fikir Joe, dalam hati.

Sementara Joe dan suami Ila menyalakan rokok masing-masing, Pakcik dan isterinya sedang mengangkat beg-beg mereka ke dalam kereta kakak. Manakala kakak Joe sambil menolong Pakcik mengangkat beg-begnya, berdiam diri dari apa-apa perbualan. Mungkin terfikirkan makanan apa yang akan dipilihnya di Tapah nanti. Atau mungkin sedang marah dalam hati selepas menunggu dari pukul 5 petang hingga hampir 9 malam di perhentian Rawang.

Tiada siapa yang tahu hati perasaan seseorang kecuali jika dia mempunyai kuasa ajaib seperti seorang Ustaz yang boleh melihat muka orang-orang yang berdosa bertukar menjadi kambing atau khinzir.

Sebaik semua barang sudah diangkut, rokok Joe dan suami Ila pun sudah dipijak, ditenyeh lumat di atas tar, secara serentak, kesemua kami, termasuk penunggang-penunggang motosikal yang dari tadi asyik memanaskan enjin kenderaan mereka, memulakan perjalanan.

Kakak Joe memandu laju. Sekejap 120km/j, sekejap yang lain pula 140km/j. Semacam tidak ada keyakinan pun ada. Joe disebelahnya, dan Pakcik dengan isterinya di tempat duduk belakang.

Maka, bermulalah pengembaraan pulang berkeluarga untuk melawat nenek yang sudah meninggal.

Sepanjang perjalanan, Joe tidur. Kakak sahaja yang melayan sembang dengan Pakcik. Isteri Pakcik diam sahaja.

Di Tapah, ketika semua berada di meja makan, Ila, secara tiba-tiba membuka cerita.

“Ni, ni. Hanga semua tau dak? Tok, sebelum dia meninggal, dia dok nampak macam-macam benda-benda pelik-pelik la.” Ceritanya penuh yakin. Dahinya bersilau.

“Dia nampak apa? Kipas atas kepala dia?” suami Ila menyampuk, cuba untuk melawak rasanya. Tetapi sayang, tiada siapa yang melayannya. Akibat tidak dilayan, dicucuh sebatang lagi rokok dan bergerak beberapa langkah bermain dan mengusik-usik dua anaknya itu.

Ila lantas menyambung cerita: “Bila Izah (adik Ila) pi melawat Tok dulu, Tok selalu tanya, budak kecil mana yang dok ikut Izah tu…”

Dengan bersungguh-sungguh, beserta peluh di dahinya hasil dari memakan makanan pedas, Ila dengan muka yang serius bercerita lagi, yang nenek kerap tegur ‘budak’ yang selalu ikut Izah itu.

Pakcik, selepas mendengar cerita itu, terus keluarkan naskhah Yassin yang sebelum ini tersemat disimpan di poket dada jubahnya.

“Yang Kak Men (kakak sulung Joe) waktu dia jaga Tok pula cerita kat Ila yang Tok selalu nampak arwah mak kepada Tok,” cerita Ila kepada Joe, dan kakak dan juga Pakcik walau pun Pakcik sedang membaca Yassin. Suami Ila agak berjarak dari ketaksuban bercerita isterinya. Pasangan suami isteri ini memang handal memasukkan unsur-unsur tak masuk akal dalam pemikiran dan antara hubungan mereka. Sementara isteri Pakcik sibuk menjamah nasi ayam – dia lapar.

“Tok ada bela hantu ka?” soal Joe. – Roketkini.com

Bersambung