Berita

DAP-PAS: Setuju untuk berbeza pendapat

KUALA LUMPUR, 13 OKT – DAP dan PAS telah bersetuju untuk tidak bersetuju mengenai pelaksanaan undang-undang hudud, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, sementara keputusan itu dicapai, semua parti komponen Pakatan Rakyat akan terus memberi komitmen penuh kepada pembangunan dan kepentingan rakyat.

Katanya, pendirian itu akan memastikan Pakatan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, seperti mana yang terkandung di dalam Dasar Bersama Pakatan dan Buku Jingga.

“Hudud bukan agenda Pakatan, dan agenda Pakatan yang mana juga akan menjadi dasar asas Pakatan selepas pilihan raya umum akan datang.

“Sebarang dasar yang akan diubah hanya akan dipersetujui bersama secara konsensus dari ketiga-tiga parti Pakatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Adun Air Puteh berkata demikian sebagai menjelaskan mengenai mesyuarat tertutup oleh DAP, PAS dan PKR berhubung isu hudud di ibu pejabat DAP di sini Isnin lalu.

Menurutnya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Kelantan telah dibincangkan di mana DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud telah menjelaskan bahawa undang-undang jenayah Islam itu tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh kerana undang-undang hudud tidak disebut dalam Dasar Bersama Pakatan atau pun Buku Jingga, maka ianya bukan dasar Pakatan Rakyat,” katanya.

Antara yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pengerusi DAP Karpal Singh, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Exco-Exco PAS dari Kelantan.

Wakil dari PKR yang turut hadir ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty.

Semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui laman Facebooknya mengucapkan terima kasih atas “kefahaman” Pakatan Rakyat terhadap hudud.

“Rakaman terima kasih dan penghargaan kepada pimpinan Pakatan Rakyat kerana memahami hasrat rakyat dan kerajaan Kelantan berkaitan kewujudan dan usaha memartabatkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (1993)” kata Menteri Besar Kelantan itu. – Roketkini.com