Berita

Belanjawan PR adalah reformasi pentadbiran

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Belanjawan Pakatan Rakyat bertemakan ‘Kesejahteraan Untuk Semua’ bukan gula-gula politik kerana ia lebih realistik dan berdaya dilaksanakan tanpa kerajaan perlu berhutang berbilion ringgit.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara Belanjawan Pakatan dan Bajet Barisan Nasional.

“Tidak seperti pemberian duit oleh BN yang hanya untuk jangka masa pendek, kami sebaliknya telah mengambil pendekatan cermat dan teliti bagi memastikan bantuan wang sampai secara logik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberi contoh masalah yang akan timbul apabila BN memberikan RM500 kepada keluarga berpendapatan rendah, sebagai tambahan kepada RM100 bagi setiap seorang kanak-kanak untuk belanja sekolah dan RM200 bagi pelajar-pelajar pengajian tinggi.

“Untuk langkah sementara, Bajet BN yang mahu memancing undi pilihan raya umum akan datang dapat membantu meringankan beban yang dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup, terutamanya bagi kumpulan-kumpulan yang disasarkan.

“Manakala pendekatan kami, yang memberikan elaun suri rumah RM1,000 dan RM700 kepada setiap kanak-kanak bagi penjagaan kanak-kanak mempunyai niat yang lebih bernuansa yang mana dapat menggalakkan penyertaan wanita dalam sektor tenaga kerja, sekaligus memberi kuasa kepada kumpulan yang disasarkan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan isi rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan oleh Presiden Institut Demokrasi dan hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tunku Zain Al-Abidin Muhriz tentang belanjawan PR dan BN.

Dalam tulisan yang bertajuk “BN, Pakatan budgets awash with election goodies” itu, Tunku Zain berkata, perdebatan bajet antara Pakatan dan BN “…tidak berasaskan perbezaan ideologi sebenar yang mana salah satu pihak perlu mengambil kira kebebasan individu yang tidak berpusat berbanding kawalan berpusat.”

Justeru, Zairil menjelaskan bahawa jika Tunku Abidin memperhalusi lebih mendalam dokumen belanjawan Pakatan, beliau akan berbesar hati mencari logik asas atau falsafah yang memperjelaskan mengenai proses pembuatan dasar kami,” katanya.

Beliau turut menekankan, antara perbezaan penting belanjawan Pakatan dan bajet BN ialah Pakatan komited untuk mengurangkan kebergantungan kepada Petronas.

“Kami bercadang untuk menghadkan dividen Petronas kepada kira-kira 40 peratus daripada keuntungan bersih yang diunjurkan, berbanding 74 peratus yag diamalkan pentadbiran Najib.

“Tiada mana-mana syarikat minyak dalam dunia, termasuk syarikat yang dimiliknegarakan, membayar sejumlah amaun yang melampau daripada keuntungan bersih yang diperoleh sebagai dividen.

“Oleh itu, bajet BN bukan sahaja tidak realistik dan mempunyai fiskal yang tidak mapan, bajet itu juga tidak menunjukkan sebarang usaha untuk menangani kelemahan utama dan amalan tidak bertanggungjawab,” katanya. – Roketkini.com