Budaya

Rebung persahabatan I – Oleh Sabari Rumi

Cerpen

 

Semuanya bermula di kelas Tingkatan Satu. Segalanya agak baru, semangat menjadi remaja masih basah dan merah. Setiap hari hati terasa kembang tak kuncup-kuncup. Gelaran budak sekolah rendah sudah terlucut. Ketika ini, pergi sekolah sudah teringin nak bergaya, hingga jika kasut kotor pun aku sanggup dan beri bermacam alasan pada ibu untuk ponteng sekolah. Perangai ini memang betul-betul buruk.

Ketika di sekolah rendah, kami hanya diberi pilihan untuk bermain muzik lagu-lagu tradisional dan klasik yang kami gelar lagu budak skema. Jika dalam kelas muzik, hanya ada instrumen gendang, drum, rekoder, semua ini alat-alat budak sekolah tadika.

Bila masuk sekolah menengah, hati berkobar-kobar ingin masuk kumpulan brassband. Tapi terus hampa kerana kumpulan itu masih belum ditubuhkan. Terasa diri kami tertipu.

Aku, Boey dan Izam

Tapi malang tidak berterusan, aku mengenali beberapa orang teman yang berkongsi minat yang sama. Antaranya Boey, kami terus tubuhkan satu kumpulan muzik. Semuanya kaki rock. Telinga sudah tersumbat dengan lagu-lagu bising, itulah gelaran ibu apabila kami bermain muzik itu.

Pada usia ini aku mula mengenal Metallica, Deep Purple, Led Zeppelin, Queen, Guns ‘n’ Roses dan banyak lagi. Masa itu belum ada lagi Rock Kapak, hanya ada Sweet Charity, Black Dog Bone dan kumpulan yang sedang menjadi kegilaan ramai Search.

Ketika sedang khayal dengan muzik remaja, ketika inilah aku mengenal Izam. Dia budak baru yang berpindah ke sekolah dan kelas kami. Aku mula mengenali dan bertegur sapa dengannya kerana dia pendengar setia muzik kami. Dia akan selalu duduk mendengar dan memerhatikan kami jamming muzik ketika lepas waktu sekolah.

Di dalam kelas, dia sering dapat markah paling corot dan antara watak murid yang paling baik dan pendiam. Jika ada beberapa kelompok murid yang amat ligat di dalam kelas, Izam hanya diam pasif saja. Aku pula selalu memerhatikan perwatakan Izam kerana dia sangat kontra dengan perangai kami-kami ini.

Masih ingat, selesai keputusan peperiksaan awal tahun. Cikgu mengarahkan aku dan Boey duduk di belakang mengambil tempat duduk Izam. Dan, Izam pula mengambil tempat duduk aku di baris kedua dihadapan, dekat dengan papan hijau dan meja cikgu.

Aku dan Boey tertanya-tanya mengapa kami dipindahkan ke barisan paling belakang sekali. Bukankah kedudukan di dalam kelas bergantung kepada pencapaian peperiksaan? Bukankah keputusan peperiksaan aku dan Boey semuanya ‘biru’?

Cikgu tidak memberi apa-apa jawapan dan alasan tentang perubahan itu. Kami pun menurut sajalah.

Boey seorang pelajar berketurunan India dari sebelah ibunya dan Cina di sebelah bapanya. Dia rakan akrab aku, bila bersukan, kelas, aktiviti kurikulum pasti kami akan bersama. Hinggakan, kenduri bacaan Yassin setiap minggu di kampung kami juga beliau tidak kekok untuk bersama.

Pada kami ketika itu, soal ia sebuah majlis keagamaan atau bukan, tidaklah menjadi hal. Kegiatan di kampung semuanya berlandaskan budaya kampung. Maka dia tidak akan segan ke rumah kenduri yang menerima giliran untuk jemaah baca Yassin, dia akan menunggu di tepi tangga atau diberanda rumah hingga selesai acara tersebut dan selepas itu kami makan akan bersama-sama.

Rutin kami di sekolah berjalan seperti biasa. Jika tidak jamming, bersukan sudah menjadi aktiviti riadah yang melegakan tekanan belajar.

Gendang pun gendanglah

Beberapa bulan selepas itu, sekolah kami telah menubuhkan satu kumpulan gendang ala brassband. Kami dimaklumkan, sekolah tidak cukup dana mahu membeli dan mengupah guru muzik untuk kumpulan brassband.

Maka pihak sekolah mengambil inisiatif membeli dan mengguna pakai gendang-gendang lama seperti kompang, rebana, dabbuka, conga, gedombak, jidor dan drum sebagai ganti kepada kehendak pelajar-pelajar sekolah.

Aku juga dapat tahu bahawa inisiatif ini lahir dari guru penolong kanan yang mahu agar kami terutamanya pelajar lelaki mengambil bahagian dalam kumpulan gendang ini demi mengelakkan kami dari bermain muzik ‘bising’ atau rock.

Aku dan kawan-kawan kugiran yang lain mulalah mendaftar. Gendang pun gendanglah kata kami sepakat.

Semasa sesi latihan berjalan, biasanya akan diadakan pada sebelah petang selepas habis waktu persekolahan. Sekitar jam 5.30 hingga 6.45 petang. Latihan ini dijalankan sekejap di padang dan sekejap di dewan sekolah. Tiada bilik tetap dan khusus untuk kami berlatih.

Guru yang mengajar muzik gendang ini pula adalah guru wanita, namanya Cikgu Zabariah. Kami memanggilnya Cikgu Zabar. Orangnya tegas, badannya gempal, memakai cermin mata berbingkai hitam dan tebal.

Ketika latihan, suaranya boleh mengatasi bunyi paluan gendang-gendang kami. Bayangkanlah betapa kuat dan nyaringnya vokal Cikgu Zabar. Ketika dia marah, dia hanya perlu menjentik telinga kami, terus akan berbekas merah. Entah bagaimana agaknya jika beliau menampar muka kami, tentu lebam biru.

Pelajar-pelajar yang kaki rock seperti kami akan menjadi skema dalam kelas gendang Cikgu Zabar, ketika itu kami ini pijak semut pun tak mati.

Ketika menyertai kumpulan gendang ini, pemain dan instrumen ditentukan menerusi prestasi pelajar di dalam kelas. Jika rekod prestasi buruk dalam pelajaran, maka pelajar tersebut akan bermain dengan intrumen paling hodoh, leceh, berat dan menyakitkan tangan. Instrumen yang sangat kami hindarkan adalah Gendang Bugis dan Jawa.

Ada beberapa jenis saiz bagi kedua-dua gendang ini, kami semua menggelarnya gendang ‘penampar’. Sudahlah saiznya seperti tempayan, berat dan kulitnya pula tebal. Memukulnya sahaja akan menebal dan melebamkan tapak tangan.

Jadi, gendang ‘penampar’ inilah yang kami semua elakkan.

Muzik, ujian dan menjadi runner

Bagi pelajar yang mengekalkan prestasi pelajaran, mereka akan diberi instrumen mudah seperti Gong. Bagi kami, pemuzik yang bermain gong adalah pemuzik yang pemalas walau pun dia seorang pelajar yang baik rekodnya di dalam kelas. Maka ini menjadi dilemma kami.

Namun, aku dan beberapa orang kawan-kawan telah sepakat untuk terus menjaga prestasi pelajaran dan bermain dengan instrumen pilihan seperti jidor, drum, kompang atau rebana. Ini lebih macho menurut kepercayaan kami pada masa itu.

Dalam ramai-ramai ahli kami, hanya aku yang masih kekal bermain satu intrumen, Boey dan yang lain-lain sudah merasa gendang ‘penampar’. Paling tidak sekali, untuk tempoh sekali itu, mereka harus bermain dan menunggu selama dua hingga tiga minggu sebelum dapat bertukar kepada instrumen yang lebih macho.

Ini bermakna di dalam kelas, setiap bulan kami akan menjalani ujian bulanan, maka di situlah peluangnya untuk Boey dan rakan-rakan mengubah nasib mereka dalam kumpulan gendang. Ada yang sanggup meniru dan guna ‘toyol’ untuk mendapat markah ujian yang tinggi. Keadaan ini kadang kala amat melucukan.

Dalam kesibukan kami belajar dan berlatih gendang, aku menyedari satu perkara iaitu Izam akan selalu duduk menonton dan mendengar kumpulan kami berlatih gendang. Boey pula sangat suka melayan Izam dan menggunakannya sebagai runner untuk membeli putu piring dan air cincau buat kami ketika berlatih.

“Zam, kalau lu pecut pergi beli putu piring, tentu lu dah balik sini..kesian la sama kita penat-penat hiburkan lu”. Begitulah modal Boey bila nak menyuruh Izam pergi membeli makan petang kami.

Izam pula jenis manusia yang tidak banyak membantah. Apa saja yang kami minta dia lakukan, maka dia akan diturutkan, kadang kala Boey akan minta berlebihan, seolah-olah membulinya.

Bagi kami, Izam tidak punya minat dalam apa jua aktiviti di sekolah. Kami semua menyangka, kami sudah mengenalinya. – Roketkini.com

Bahagian kedua dan terakhir: Ada apa dengan Izam dan Boey