Budaya

Lurah Berhantu: Kitab al-Azif – Oleh Muhammad Latiff

(Bahagian Kedua)

Cerpen

PADA 1926, Nikola Tesla dalam satu temu ramah dipetik sebagai berkata, “Sebuah dunia jantina yang baru akan muncul – peranan wanita akan lebih terkehadapan. Anda akan dapat berkomunikasi dengan cepat dengan bantuan peralatan yang boleh disimpan di dalam poket. Pesawat akan terbang merentas langit tanpa manusia, didorong dan dipandu oleh radio. Sebuah tenaga yang besar mampu dihantar untuk jarak yang jauh tanpa wayar. Gempa bumi akan berlaku lebih kerap. Zon beriklim sederhana akan berubah sama ada dingin atau terik. Dan beberapa perkembangan yang menakjubkan ini”.

Pencipta, jurutera dan pakar elektromagnet Tesla yang terkenal dengan gelaran Saintis Gila yakin ramalannya “akan berlaku tidak berapa lama lagi.”

Lahirnya Kuntum

Sebelas bulan kemudian, pada Disember, di sebuah kampung terpencil di utara semenanjung Tanah Melayu, lahir seorang bayi perempuan yang diberi nama Kuntum binti Ali, nenek kepada Joe.

Kelahirannya disambut meriah penduduk Kampung Sungai Ketam. Tangisan pertamanya kuat. Nyaring menghalau burung-burung pipit dan merpati yang sedang berterbangan mencari rezeki. Kenduri kecil-kecilan diadakan selama 40 hari 40 malam.

Penduduk bergotong-royong bersama Ali. Kuntum, satu-satunya bayi yang lahir pada tahun itu di kampung tersebut. Sedihnya, ibunya telah meninggal dunia sebaik melahirkan Kuntum.

Bagaimana pun, Ali – seorang penjual daging lembu dan mempunyai tauliah dalam ilmu agama – tidaklah terkesan dengan kematian isterinya berbanding kelahiran Kuntum, penyeri kampung itu.

Justeru, Kuntum ditatang bagai minyak yang penuh, membesar dengan didikan agama dan dalam masa sama juga diajar akan ilmu-ilmu asas seperti mengira, membaca tulisan jawi dan menulis. Mungkin genetik dari Ali – yang ayahnya merupakan penasihat agama kepada Sultan dan ahli nujum rakyat – yang menjadikan Kuntum cepat cerdas akal fikirannya.

Walau pun dididik dengan latar pendidikan yang pelbagai, Kuntum dilarang dari keluar dari rumah. Jadi, kehidupan sehariannya selain belajar dan memasak, hanyalah membantu ayahnya – membasuh baju, menyediakan hidangan kepada tetamu yang kerap datang meminta nasihat agama dan ubat.

Dalam masa lapangnya, Kuntum akan menghabiskan masanya membaca kitab-kitab ayahnya.

Pada suatu hari, ketika ayahnya keluar mengubati seorang penduduk kampung yang dirasuk makhluk halus, Kuntum secara tidak sengaja ketika menyapu sampah di bilik ayahnya, terlanggar deretan kitab-kitab yang tersusun di atas meja ayahnya itu. Habis berselerak jatuh.

Jadi, diambilnya satu persatu kitab-kitab itu dan diletakkan kembali di atas meja ayahnya. Dalam pada itu juga dia, secara sepintas lalu, ternampak sebuah kitab yang reka bentuknya lain dari kitab-kitab biasa ayahnya.

Terjumpa kitab

Kitab berbalut kulit lembu yang kotor, buruk dan berhabuk itu berwarna merah yang lusuh dan terdapat kesan-kesan koyak pada permukaan kulitnya. Kitab itu diikat kuat oleh tali, seperti tali pinggang lelaki.

Tertera dikulit buku itu “al-Azif karya Abdul Alhazred”.

Seolah terdapat satu kuasa yang menarik Kuntum untuk memegang buku itu dan membacanya. Lantas cepat-cepat dia kemaskan bilik ayahnya itu dan naik ke atas ke biliknya untuk membaca kitab yang pelik itu.

Pada helaian cetak yang pertama tertulis, dalam tulisan jawi:

“Dikarang oleh Abdul Alhazred, seorang penyair gila dari Sanaa, Yaman yang dikatakan telah berkembang karyanya ini sekitar zaman khalifah Ommiaduh, sekitar 700 selepas masihi. Alhazred telah melawat runtuhan Babylon dan berjaya menjumpai rahsia bawah tanah di Memphis dan menghabiskan masa sepuluh tahun di sebuah padang pasir yang luas di selatan Arab Saudi – bernama Roba al Khaliyah atau digelar sebagai “Ruang Kosong” zaman purba – “Dahna” atau padang pasir “Crimson” orang-orang Arab moden, yang diwujudkan untuk didiami dan dilindungi oleh roh-roh syaitan dan raksasa yang telah mati.

“Padang pasir ini tersimpan pelbagai keajaiban yang aneh dan ghaib, seperti yang selalu diceritakan oleh mereka yang kononya telah memasuki padang pasir itu. Dalam tahun-tahun terakhirnya, Alhazred telah menetap di Damsyik, di mana karya agungnya ini, al Azif telah dikarang, dan kematiannya atau kehilangannya, sekitar 738 Masihi, banyak perkara yang mengerikan dan yang bercanggah telah tersebar oleh penduduk setempat.

“Alhazred, seperti yang diwartakan oleh Ibnu Khallikan (penulis biografinya pada abad ke-12) telah diculik oleh seekor raksasa yang tidak kelihatan pada siang hari dan dibaham teruk, sebelum sebilangan besar saksi-beku ketakutan. Mengenai kegilaan Alhazred, terlampau banyak versi telah disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk.

“Alhazred, dalam kitab ini mendakwa telah melihat bandar Irem, atau Bandar Rukun, dan beliau telah ditemui di sebalik runtuhan sebuah bandar di sebuah pekan di padang pasir yang tidak diketahui asal namanya. Lebih mengejutkan, Alhazred mendakwa telah menemui satu rahsia besar mengenai satu bangsa yang lebih tua daripada manusia. Beliau merupakan seorang Muslim yang pelik, acuh tak acuh, malah beliau menurut lagenda setempat, kononnya menyembah entiti aneh yang digelar Sothoth dan Kutultu.”

Prakata yang menakutkan, fikir Kuntum, sambil menutup dan membaling kitab itu jauh dari tilamnya. Nyaris terkena al-Quran yang berada di hujung kakinya, berhadapan pintu bilik. Dia cuba untuk melupakan secepat mungkin apa yang dibacanya itu. Tetapi, tidak, bukan semudah itu.

Dibukanya tingkap untuk melihat suasana kampung Sungai Ketam. Angin bertiup kuat. Sawah padi yang mengelilingi rumahnya itu beralun mengikut kehendak kekuatan alam. Sejuk angin itu menusuk masuk ke tulang sum sum Kuntum.

Fikir Kuntum, dia sudah dewasa, umurnya sudah 14 tahun. Dalam usianya ini, dia sepatutnya sudah berkahwin bersama entah-lelaki-mana. Tetapi ayahnya agak tegas dalam memilih pasangan untuk Kuntum. Oleh itu, dirinya terasa kosong. Malah, teman sejantinanya pun dia tidak ada. Apatah lagi untuk berkongsi cerita, berhibur berjenaka, main batu seremban atau duduk di tangga mencari kutu.

Kehidupannya bukan setakat kosong, malah kontang, kering, umpama padang pasir seperti yang digambarkan oleh penulis prakata al-Azif itu.

Justeru, Kuntum mahu keluar, mahu lari dari ayahnya. Tetapi dalam masa sama, dia sayangkan ayahnya. Ayahnya sudah menjangkau usia 70-an. Sudah agak tua.

Rutin hariannya, berbasikal sekeliling kampung, ke surau menyebarkan pandangan dan ceramah serta berbincang dengan ahli-ahli surau. Di awal pagi, ayahnya akan ke Istana Negeri menghadap duli Tuanku Sultan, berbincang mengenai isu-isu agama dan permasyarakatan.

Misteri puisi dalam kitab

Selepas menyedut dan menghela udara malam yang tenang itu, Kuntum melihat satu persatu lampu di rumah-rumah penuduk di situ dipadamkan. Jarak antara setiap rumah lebih kurang sekilometer. Jika dilihat dari jauh, setiap rumah ibarat pulau yang dikelilingi sawah padi.

Kuntum kembali berbaring di tilam lantai rumah papannya. Dikutip kembali al-Azif, dan sambung membacanya.

Puisi Alhazred pertama:

Dari hamparan tikar, aku dibangunkan dari kesakitan

Tiada yang tidak ku kenali

Yang mengintai di belakangku – sebentuk makhluk

Gelap, tinggi, sasa dan seribu matanya menjegil ke tepat ke mataku.

Peristiwa – merobek kepercayaanku dari sekeping hati

Sejenak fikiran keji menundukkan aku kepadanya

Lalu aku, terfikir, akan kanak-kanak, tidak putus dari tangisan

Yang diambil oleh makhluk itu

Dijamahnya, ditelan rakus dengan seratus tangan, seribu jemari

Saat itu, ku rasakan bahwa cinta – tidak, bukanlah cinta makhluk itu

Lalu dia berbisik di telinga ku

Tentang perkara-perkara keji, kotor yang tidak pernah ku lalui

Peristiwa yang sentiasa merayap ke tetingkap akalku

di bawah katil, di dalam almari

terbangun sebentuk bayang-bayang,

merayapkan aku ke dalam, sedalam dalam mimpi.

Dahsyat, peristiwa mengerikan – ku lihat manusia menangis, darah air mata

Yang hanya tiada siapa yang mampu melihat kecuali aku dan makhluk itu

Lalu aku menangis, menjerit, tersesak nafas!

Tercekik antara nyata dan palsu!

Dimensi baru dibuka, langkahku dipersilakan makhluk itu

Dan dunia ini adalah di mana mereka membawaku

Ke alam keji itu

mengikatku

memaksa diri lemah ku!

“Semua berada di dalam minda kamu,” kata mereka serentak.

Kuntum, 14 tahun, tergamam. Inilah kali pertama dia membaca puisi yang sebegini rupa, dari seorang Muslim yang dikatakan sesat. Dari kitab lama lebih 1,000 tahun lamanya. Bulu romanya meremang. Baju kurungnya basah. Peluh mukanya cuba menghadam, memahami puisi sebegitu. Empat belas tahun, muda, dan senang terpukau dengan hal yang berlawanan dengan massa.

Keesokan pagi, sebaik ayahnya ke surau untuk mengimamkan solat Subuh, Kuntum yang tidak tidur lena malam itu, sedang bersiap sedia. Nekad. Kuntum mahu keluar dari kepompong autoritarian ayahnya.

Keluar dari rumah

Dia percaya, di luar dari kawasan rumahnya, jauh dari sawah padi yang terbentang luas Kampung Sungai Ketam, Kuntum yakin, akan ada satu dunia baru. Dunia yang lebih mencabar, menduga pemikirannya. Cabaran inilah mendorongnya.

Dia mahu menjadi wanita bebas. Tetapi, ianya tidaklah semudah yang diidamkan. Begitu juga dengan segala angan-angan dan idealisme golongan muda.

Jadi, dengan baju kurung Kedahnya itu, Kuntum keluar, untuk pertama kali dalam hidup, membuka pintu pagar rumahnya.

Walau bagaimana pun, dalam semangat jitunya yang mahu melihat dunia luar itu, dia lupa tentang apa yang dibacanya.

Ada makhluk yang memerhati tindak tanduknya. Bukan manusia, bukan haiwan, bukan syaitan atau pun jin. Makhluk inilah yang membuka pintu untuk Kuntum. Pintu asing yang sama sekali akan menukar pandangan dunianya nanti.

Akan datang: Misteri ganjil menanti Kuntum