Rencana

Media bebas mampu hindar politik kotor – Oleh Daing Yahya

20 OKTOBER – Pada Selasa malam yang lalu, Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis di ibu kota telah menyatakan bahawa media memainkan peranan penting untuk Malaysia menuju ke arah negara bangsa yang lebih moden, liberal dan progresif.

Ucapannya di majlis Malam Media Perdana 2011, yang buat kali pertama dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kementerian-kementerian lain, turut melahirkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat media menjadi bebas.

Beliau mengulangi hasratnya menimbang untuk memansuhkan pembaharuan lesen penerbitan setiap tahun di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang telah diperkenalkan oleh Tun Mahathir Muhamad untuk memperkasakan kuasa Perdana Menteri hampir 30 tahun lalu.

Nyawa media di tangan menteri, kerajaan BN

Baru sekarang kerajaan bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Itu pun sekadar mahu meminda satu peruntukan, dan bukannya memansuhkan sama sekali PPPA yang menjadi penghalang kepada kebebasan media di Malaysia.

Sekadar memansuhkan syarat pembaharuan lesen tahunan tidak akan membebaskan media. Akta itu tetap mengekang kebebasan.

Sebagai contoh undang-undang mencengkam hak dan kebebasan, Seksyen 3(1) PPPA menyatakan: “Tiada seorangpun boleh menyimpan untuk digunakan atau mengguna mesin cetak melainkan jika dia telah diberi lesen di bawah subseksyen (3).

Subseksyen (3) pula menjelaskan: “Menteri boleh menurut budi bicaranya memberi kepada mana-mana orang suatu lesen bagi menyimpan untuk digunakan atau mengguna mesin cetak selama suatu tempoh sebagaimana dinyatakan dalam lesen itu dan dia boleh menurut budi bicaranya menolak mana-mana permohonan untuk mendapatkan lesen atau boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung lesen itu selama sesuatu tempoh yang difikirkannya wajar”.

Begitu juga Seksyen 5(1) menyatakan: “Tiada seorang pun boleh mencetak, mengimport, menerbit, menjual, mengelilingi atau mengedar atau menawar untuk menerbitkan, menjual, mengelilingi atau mengedar apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau Singapura melainkan jika permit…telah diberi oleh Menteri berkenaan dengan akhbar itu”.

Dalam bahasa yang lebih muda, kuasa mutlak menentukan apa-apa penerbitan boleh beroperasi atau tidak terletak di tangan Menteri. Apa sebenarnya kebebasan media yang Najib katakan itu?

Kesedaran dan kejujuran

Secara umumnya, pengamal-pengamal media mahu bergerak secara independen dan bebas, dari segi sumber, bahan-bahan dan berita itu sendiri tanpa perlu tunduk dengan kehendak segelintir tokoh-tokoh politik yang memasang agenda politik peribadi atau kelompoknya.

Hal jenayah atau rasuah adalah berpunca dari sikap manusia, sikap ini adalah lumrah dan fitrah. Tiada undang-undang yang boleh menghapuskan masalah ini, undang-undang hanya menghukum dan mengharap dari hukuman itu akan timbul kesedaran, itu sahaja.

Tetapi berbeza dengan media. Dengan adanya media yang bebas untuk melapor, menulis atau menerbit, maka segala apa yang berlaku membabitkan hal-hal sepertinya akan terus dilapor dan didedahkan kepada umum.

Di Barat serta dalam mana-mana masyarakat demokrasi matang, rasuah dan salah guna kuasa tetap berlaku. Tetapi di sana bangkai gagah tidak boleh ditutup dengan nyiru kerana media yang dinamik sentiasa mencium bau busuk pemimpin kerajaan, korporat dan sesiapa sahaja yang diamanahkan menjaga wang rakyat.

Oleh itu media sering mendedahkan segala kepincangan dan keburukan yang berlaku. Dan kerana itu juga kepimpinan negara kuku besi akan sentiasa mengawal media kerana takut perbuatan keji mereka akan didedahkan kepada umum.

Contohnya, kesan langsung kebebasan media bagi mana-mana perasuah atau penjenayah, pasti mereka akan berfikir banyak kali sebelum melakukannya. Bukan sahaja kerana takut dihukum, tetapi maruah diri. Ego dan perasaan malu juga adalah sifat manusia.

Ibarat kata, media yang bebas akan memain peranan seperti malaikat Rakib dan Atid. Mereka hanya menulis tentang apa yang terjadi, kelak apabila dibuka kembali buku amalan kita di depan Tuhan, maka pertahankanlah diri masing-masing.

Justru, bagi media yang bebas, mereka juga akan bertindak melapor tanpa ada rasa bimbang terhadap mana-mana akta yang menjadi ancaman terhadap liputan mereka.

Jika berlaku pun kesalahan dalam membuat laporan, orang atau kumpulan yang dilaporkan itu berhak menyaman media. Mahkamah yang bersih dan saksama sudah tentu dapat membuat keputusan yang adil.

Dalam hal sebegini, media sekadar melapor dari segenap aspek sebagai berita yang adil dan saksama. Dan terpulang kepada pihak berkuasa dan rakyat untuk bertindak dan mengadili sesuatu keadaan itu.

Dalam dimensi demokrasi yang membuka ruang dan persaingan bebas. Sudah tentu semua media ingin melaporkan berita yang betul, menyeluruh dan menarik. Ini sudah menjadi etika yang ingin dilakukan oleh mana-mana media.

Nilai dan etika

Maka, etika ini akhirnya akan kembali kepada kehendak pembaca (rakyat). Mereka mahukan liputan yang adil, tidak berat sebelah. Begitu juga dengan mana-mana kelompok termasuk parti politik. Hanya dengan ruang, liputan dan laporan yang adil sahaja maka demokrasi akan subur dan hak masing-masing tertunai.

Walau pun media di Malaysia dikongkong teruk, kerajaan BN masih gagal mencari cara mengawal alam internet.

Alam internet menang mudah dimanipulasi tetapi ia juga ruang menyampaikan kebenaran. Sebagai contoh, fitnah terhadap anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berusia 16 tahun telah dibuat oleh beberapa blogger pro-UMNO yang mengunakan media internet dengan niat mendedahkan skandal kononnya.

Jika tiada portal berita internet yang percaya kepada kebebasan media, tentu pembohongan itu akan menjadi bahan berita utama media kawalan BN seperti akhbar, radio dan TV. Namun demikian, dengan dokongan media bebas internet, akhirnya pembohongan blogger UMNO berjaya didedahkan.

Media bebas untungkan rakyat, bahaya kepada pemerintah kuku besi

Hakikatnya, tidak akan ada mana-mana pihak akan terabai dalam hal ini. Jika ada akhbar atau media yang gagal bersaing, ia bukan disebabkan oleh monopoli atau sekatan dari mana-mana pihak atau akta dan undang-undang, sebaliknya kegagalan akhbar tersebut adalah kerana ia tidak mampu memenuhi kritirea nilai pemberitaan dan kehendak pembaca.

Dalam gelanggang ini, hanya mereka yang jujur dan berdaya saing sahaja yang akan berjaya. Jika gagal, kembalilah kepada rakyat. Kerana dalam dunia demokrasi yang sebenar, hanya kuasa rakyat mampu membantu mengubah keadaan. Tuhan akan meletakkan takdirnya.

Sungguh pun kita rakyat biasa, yang rutinnya dipenuhi dengan memburuh dan membanting tulang mencari sesuap nasi, peranan kita besar dalam ruang demokrasi ini. Bukan hanya mengundi setiap empat atau lima tahun sekali.

Misalnya, penduduk di beberapa kawasan di Felda di Pahang dan Terengganu yang masih berdepan dengan masalah air bersih. Juga masalah penduduk pribumi seperti kaum Penan di beberapa kawasan di Sarawak menghadapi masalah kepupusan ekologi akibat pembalakan haram.

Kesemua ini sudah pasti akan mendapat liputan yang luas, adil dan menyeluruh bagi membela nasib mereka. Sayangnya, kerana kongkongan media hari ini, rakyat Malaysia yang prihatin tidak sedar masalah “jiran-jiran” mereka kerana ditutup rapat daripada siaran oleh kerajaan BN yang mengawal media.

Bagi kerajaan yang benar-benar prihatin dengan rakyat dan negara, sudah tentu kebebasan media  akan membantu mereka menilai kembali perancangan dan keberkesanan agensi-agensi mereka dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Malah, para pemimpin yang korup akan dapat didedahkan melalui media yang berani dan adil. Sudah tentu kerajaan yang jujur tidak takut menghadapi kenyataan. Malah ia akan dihormati rakyat, dan tentunya akan mengekalkan kuasa apabila rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan yang adil, bersih, cekap, telus dan bertanggungjawab. – Roketkini.com