Berita

Fitnah terhadap anak Guan Eng: Lagi pekung blogger UMNO didedah

Gambar ehsan www.chessbase.com

 

KUALA LUMPUR, 21 OKT – “Saya tidak pernah melawat Malaysia sejak tujuh tahun lalu…saya tidak penah menjadi mangsa kepada kanak-kanak lelaki ini”.

Demikian kata Anya Corke, juara catur wanita dari Hong Kong yang mewakili England, yang mana gambarnya digunakan oleh blogger UMNO untuk mengaitkan dengan fitnah terhadap anak lelaki Lim Guan Eng yang berusia 16 tahun  yang ditubuh mencabul seorang pelajar perempuan.

Dalam kenyataan akhbarnya, Corke menjelaskan bahawa gambarnya telah disalahgunakan tanpa pengetahuannya serta tanpa kebenarannya.

Menurutnya, beliau tidak pernah dicabul atau menjadi mangsa kepada anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang atau keluarga beliau, walau pun ditohmah sebegitu rupa oleh sekumpulan blogger dan pemimpin UMNO.

“Saya ingin menyampaikan rasa terkejut dan marah terhadap insiden ini, dan berharap ia tidak berulang lagi. Saya tidak pernah melawat Malaysia sejak tujuh tahun lalu.

“Saya tidak pernah berjumpa atau mengetahui tentang orang yang dikatakan terlibat itu. Saya tidak pernah diserang secara fizikal dalam apa-apa keadaan sekali pun.

“Satu-satunya keadaan di mana ‘kehormatan saya dicabuli” adalah apabila gambar saya disiarkan untuk dikaitkan dengan khabar angin yang keji dan tidak berasas itu. Sememangnya saya tergamam dengan bagaimana perkara ini boleh berlaku.”

Corke juga melahirkan rasa simpati terhadap anak Guan Eng yang telah difitnah dengan tuduhan yang palsu dan tidak berasas itu.

Beliau juga berharap pihak media dan orang awam di Malaysia menghormati hak peribadinya serta menahan diri daripada cuba menghubungi beliau serta keluarganya, kolejnya, persekutuan caturnya dan apa-apa yang ada kaitan dengan dirinya.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Heng Ee, Goon Boon Poh telah menjelaskan tuduhan blogger dan pemimpin UMNO terhadap anak Guan Eng adalah tidak benar sama sekali kerana ia tidak pernah berlaku.

Beliau yang terkejut dengan laporan media tentang fitnah itu berkata, Jabatan Pendidikan Negeri yang menyiasat perkara itu telah berpuas hati dengan penjelasannya.

“Tidak ada seorang pelajar pun yang membuat aduan atau laporan tentang perkara yang didakwa berlaku itu,” ujarnya. – Roketkini.com