Berita

Anwar, Najib dicadang debat Belanjawan 2012

KUALA LUMPUR, 22 OKT – Badan kebebasan bersuara, Akademi Pak Sako, menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada perbahasan mengenai Belanjawan 2012 di antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada 3 November depan.

Pihak penganjur telah pun menghantar surat undangan kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang semalam untuk mendapatkan persetujuan mereka berdebat tentang Belanjawan masing-masing yang dijadual diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini pada jam 9 malam.

Jurucakap penganjur Hilman Idham berkata pihak akademi berpendirian bahawa perdebatan berkaitan Belanjawan sewajarnya berlangsung dalam keadaan yang sihat, terbuka dan kondusif.

“Perdebatan seperti ini akan memberi ruang yang adil kepada rakyat untuk menilai secara rasional dasar-dasar yang digarap demi kepentingan mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa menjadi satu perkembangan sihat apabila Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menghasilkan Belanjawan 2012 masing-masing kerana rakyat berpeluang menilai belanjawan mana yang lebih bermanfaat dan berupaya untuk melonjak kembali ekonomi negara yang kini semakin suram. – Roketkini.com