Budaya

Himpun – Perlembagaan – Garu kepala. Oleh: Asi Dani

“ Dengar ni dengar ni…Semalam, aku tak pergi la, kawan aku yang pergi…” kata Ajai sambil merendahkan suaranya, kepalanya tertunduk-tunduk.

“ Apa ni…apa ni? Pergi mana? Cakap macam perompak,” potong Julie.

“Sabar la, I nak cerita la ni, ” dengus Ajai, kekasihnya.

“ Yelah, kot ye pun, jangan la buat suspen, cara kau semacam la,” sambung aku dalam nada bersetuju dengan Julie.

Ajai mengerling mata melihat Julie, kekasihnya itu sekadar tersengih-sengih. Tengah hari itu aku, Black, Ogy dan pasangan kekasih ini makan tengahari bersama. Perbualan ini mula rancak selepas kami selesai makan dan menunggu waktu untuk kembali memulakan seminar.

Himpun

“ Kawan aku ni, dia kontraktor, dia pergi stadium…ikut sama-sama HIMPUN,” Ajai memulakan ceritanya.

“ Ceh…kawan you ke, you sebenarnya?” celah Julie.

“ Ish…jangan la mengada-ngada, sayang” jawab Ajai.

“ Dia kata dan aku bersetujulah sangat, masalah kita sekarang ialah bila Quran tidak diletak atas dari Perlembagaan Negara kita” muka Ajai semakin serius. Masing-masing memasang telinga.

“ Sebab itulah berlaku banyak kes murtad ni…” dengan nada menekan Ajai menegaskan ceritanya.

“ Betul bro, betul sangat tu..aku setuju sangat! ” sampuk Black yang dari tadi diam memasang telinga.

“ Nanti-nanti.. aku tak faham ni. Apa kaitan HIMPUN dengan murtad? ” Julie kekasih Ajai cuba menyanggah. Masing-masing mula melirik mata kepada aku.

Ajai, “ Sebab…”

“ Cup…cup… I tak habis tanya,” Julie berkata sambil menunjukkan isyarat tangan supaya berhenti.

“ Aku faham la kau orang nak sangat orang murtad tu kena hukum kan? Tapi apa kaitan Perlembagaan dengan Quran pulak?” sanggah Julie.

“ Relax la sayang..You jangan emo,” jawab Ajai kekasihnya.

“ Mana ada I emo,” jawab Julie tenang.

Perlembagaan

“ Aku rasa, tak kena la kalau nak bandingkan Quran yang juga kitab suci yang jadinya dari wahyu Tuhan dengan Perlembagaan yang dicipta oleh manusia,” sambung aku.

Black pula menyanggah. “Kalau kau dah tahu macam tu…habis tu kau nak letak Quran tu kat mana? Ni ayat Tuhan ni bro, kau jangan main-main.”

“Dekat mana-mana yang kau rasa patut la, kalau kau Muslim, mesti kau tau nak sucikan kitab kau kan?” Tiba-tiba Ogy menyahut.

“ Tak semestinya kau letak Quran atas meja atau kau gantung ayat Quran, kau kira dah letak Quran di tempat yang betul,” Julie beri nasi tambah.

“ Alamak! Susah la nak cakap dengan perempuan ni, lain kita cerita lain pulak dia pusing,” Ajai mengeluh.

Kami semua pecah ketawa. Julie menjeling kekasihnya.

“Maksud aku letak tu ialah kedudukan Quran dan Hadis tu sebagai sumber rujukan kita untuk nak mengurus masalah negara, ada faham?” kata Ajai sambil menjegilkan biji mata kepada kekasihnya Julie.

“ Betul la tu, maksud Julie, kalau kau nak letakkan Quran di tempatnya, memang tu betul dan aku pun setuju, cumanya…nak letak cara mana? Sejak Quran ada ni pun ada orang atau kau semua sendiri faham dan ikut betul-betul ajarannya?

“Jadi tak ada makna kalau sekadar letakkan Quran di sekian-sekian tempat tapi akhirnya dia jadi simbol aje. Jauh dari kefahaman dan amalannya,” aku cuba mencelah.

Garu kepala

“Ha, iya la tu, macam sekarang ni pun, berapa banyak masjid kita ada, lawa-lawa, mahal-mahal…kalau orang luar datang tengok mesti kata Islamnya Malaysia ni. Tapi berapa juta lagi orang Islam tak pergi sembahyang. Hari Jumaat je penuh, tu pun sebab segan kalau tak pergi kan? Kan?” Tambah Ogy sambil jarinya menuding kepada Black, aku dan Ajai.

Pecah lagi ketawa kami. Julie paling riuh bila tergelak, itu pun dah menutup mulutnya. Ajai hanya mampu ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Apa ni bro, awek sendiri tak sepakat, tak bole nak kaw tim, kau settle ni dulu la sebelum sibuk nak berbahas pasal Perlembagaan hahaha…” sampuk Black kepada Ajai.

Ajai terus menggaru-garu kepalanya. – Roketkini.com