Berita

PPSMI: Beri pilihan kepada sekolah, ibu bapa

PETALING JAYA, 31 OKT – DAP meminta Kementerian Pelajaran supaya mengkaji semula keputusannya untuk memansuhkan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, sebaliknya perlu memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang mahu meneruskan PPSMI dengan syarat-syarat tertentu.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, sekolah-sekolah yang mahu meneruskan PPSMI perlu memenuhi syarat-syarat seperti ada sokongan dan kebenaran ibu bapa, serta prestasi pelajar yang baik.

“DAP ingin menegaskan bahawa pendirian kami adalah menyokong PPSMI di sekolah-sekolah di mana majoriti ibu bapa bersetuju dengan pelaksanaannya.

“Ini adalah khusus untuk sekolah-sekolah di kawasan bandar di mana tahap kebolehan Bahasa Inggeris adalah lebih tinggi sedikit berbanding di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Justeru, beliau berkata, prinsip penting yang perlu dipegang oleh Kementerian Pelajaran adalah memastikan pelajar yang tinggi kebolehan akademik tidak disekat kemajuan mereka semata-mata kerana ada pelajar lain yang terkebelakang dalam pelajaran.

Tambahnya, jika ibu bapa mahu Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar di mana-mana sekolah dan para pelajarnya berkemampuan untuk menerimanya, usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan sekolah-sekolah berkenaan dapat meneruskan PPSMI.

Justeru, katanya, pemansuhan PPSMI yang telah dilaksanakan selama 10 tahun tidak perlu dilakukan sepenuhnya tetapi perlu mengambil kira kelebihan dan kekurangan yang berlaku sejak dua dekad lalu.

“Sebarang dasar yang baru perlu memastikan adanya keanjalan di mana PPSMI kekal sebagai pilihan untuk mana-mana sekolah yang disokong penerusan pelaksanaannya oleh ibu bapa yang terlibat.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata alasan-alasan utama yang diberikan oleh kerajaan BN untuk menarik balik PPSMI adalah kerana tidak cukup guru serta kelemahan pelajar khususnya mereka di luar bandar yang tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris.

“Hujah kononnya akan berlaku gangguan pentadbiran jika pilihan diberi kepada ibu bapa dan pelajar, tidak dapat diterima sama sekali kerana apa yang penting ialah mutu pendidikan yang diberikan kepada pelajar-pelajar kita,” katanya.

Menurutnya, DAP menolak alasan yang diberikan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, kononnya memberi pilihan kepada  sekolah, ibu bapa dan pelajar mengenai PPSMI akan menimbulkan ‘kacau-bilau’ kepada sistem pendidikan negara.

Pua menjelaskan sekolah-sekolah mahu meneruskan PPSMI telah melaksanakannya sejak 10 tahun lalu, dan dengan itu tidak memerlukan usaha tambahan untuk mengekalkannya.

“Sebaliknya, jika sekolah-sekolah ini dipaksa memansuhkan PPSMI, usaha baru perlu diperkenal dan dilaksanakan,” tambahnya.

Menurut beliau, setiap usaha perlu ditumpukan untuk memastikan semua sekolah akan berjaya menghasilkan modal insan yang terbaik kepada negara dalam usaha mewujudkan ekonomi berilmu dan negara berpendapatan tinggi. – Roketkini.com