Berita

Pulau Pinang terus tingkatkan syiar Islam

Gambar-gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

GEORGETOWN, 1 NOV – Usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang memartabatkan syiar Islam semakin terserlah, termasuk dengan bertambahnya jumlah para huffaz yang diberi penghormatan.

Tahun ini, 260 orang telah diiktiraf sebagai huffaz berbanding 180 pada tahun lalu. Mereka menerima cendera hati, sijil dan wang tunai di antara RM1,000 dan RM1,500 seorang.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas telah meluangkan masa untuk menyampaikan anugerah itu di majlis pengiktirafan al-Hafiz dan Ijtimak al-Huffaz Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini pada Sabtu lalu.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Abdul Halim Hussain, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Kasim dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang Datuk Saleh Man.

Kerajaan negeri juga buat kali pertama menjemput tetamu khas, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara itu, Guan Eng dalam cadangan Bajet Pulau Pinang 2012 minggu lalu mengumumkan usaha kerajaan negeri memartabatkan masyarakat Islam dengan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64.03 juta.

Bagi tahun 2012, katanya, kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM22.8 juta untuk tujuan pengambilan balik tanah bagi pembesaran tapak perkuburan Islam berhampiran Masjid Jelutong, untuk Khariah Masjid Cherok Tok Kun Atas dan Kariah Masjid Tuan Abdullah, Tanah Liat dan RM2 juta untuk pengambilan balik tanah bagi pembangunan Sekolah Agama Rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri Pakatan juga menyediakan peruntukan 2012 untuk:

* Jabatan Hal Ehwal Agama berjumlah RM27.32 juta merangkumi pembangunan RM8.59 juta, pengurusan RM14.49 juta dan lain-lain RM4.24 juta (untuk elaun pegawai masjid dan guru kelas KAFA, pemberian para huffaz, sumbangan Ehya’ Ramadhan dan program-program sambutan kebesaran Islam);

* Jabatan Mufti sebanyak RM2.18 juta untuk perbelanjaan mengurus; dan

* Jabatan Kehakiman Syariah berjumlah RM9.73 juta melibatkan perbelanjaan mengurus RM4.73 juta dan pembangunan RM5.0 juta. – Roketkini.com