Berita

Reformasi sebenar yang mandatangkan hasil untuk setiap rakyat

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

GEORGETOWN, 1 NOV – Reformasi kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang yang mengamalkan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) telah berjaya membuahkan hasil untuk semua tanpa mengira kaum.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, reformasi itu telah membolehkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dihidupkan kembali walau pun telah bankrap kerana pembaziran dan penyelewengan RM230 juta dalam tujuh tahun sebelumnya di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

“Sebaik saja PR memerintah, MPSP telah mencapai lebihan setiap tahun daripada keadaan defisit sebelum ini.

“Kita bangga bahawa Bajet Kerajaan Negeri PR mencapai lebihan setiap tahun. Kita juga bangga bahawa kita dapat kurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM630.13 juta pada Mac 2008 kepada RM29.66 juta.

“Kita bangga rizab aset telah naik ke RM1.13 bilion pada 2010. Lebihan yang diperolehi ini digunakan untuk memberikan bantuan kebajikan, bayaran ehsan dan penghargaan kepada warga emas, waris warga emas, OKU, ibu tunggal, mahasiswa-mahasiswi, anak emas dan juga pelajar-pelajar sekolah,” katanya dalam pembentangan Bajet Pulau Pinang 2012 di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng yang juga Adun Air Puteh, kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan lebihan Bajet yang berpunca daripada sumber halal, iaitu dividen anti-rasuah (wang rakyat yang diselamatkan daripada pembaziran, ketirisan dan salah guna kuasa) untuk diagihkan kepada kepada rakyat.

“Kerajaan negeri tidak pinjam wang untuk bayar kepada rakyat kerana akhirnya yang pinjam adalah hutang dan harus dibayar balik oleh rakyat juga. Pembayaran ini juga dibuat tiap-tiap tahun dan bukannya lima tahun sekali.

“Ini adalah di antara usaha ‘institutional building’ atau membina institusi supaya sebarang dasar dan program rakyat adalah tanpa syarat dan tidak dikaitkan dengan pilihan raya tetapi sebaliknya diberikan semata-mata untuk kebajikan rakyat. Barulah ini boleh dikira sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang menjaga rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, pencapaian dan kejayaan Pulau Pinang dalam tiga tahun yang singkat itu tidak boleh dinafikan apabila ia diperakui dan dipuji oleh majalah ekonomi antarabangsa terkemuka ‘The Economist’ keluaran Ogos 2011 dan baru-baru ini oleh perkhidmatan berita ekonomi dunia Bloomberg.

“Kedua-duanya ini menganggap Pulau Pinang sebagai model yang boleh dicontohi oleh Malaysia di mana urus tadbir baik dan kepimpinan yang bersih serta amalan tender terbuka boleh membawa perubahan dari segi kebersihan, keselamatan awam (pengurangan jenayah) dan kemajuan dengan jumlah pelaburan yang paling tinggi di Malaysia pada tahun 2010,” tambahnya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kejayaan yang telah dikecapi oleh Pulau Pinang di bawah kerajaan Pakatan Rakyat bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya  penuh dengan dugaan dan rintangan.

Katanya, berkat usaha yang gigih, ketabahan dan kecekalan diperingkat kepimpinan, tahap kecekapan, akauntabiliti, ketelusan yang tinggi dan pengurusan nilai yang diamalkan oleh pentadbiran negeri serta restu daripada rakyat telah berjaya membawa Pulau Pinang menjadi bertambah maju sehingga mendapat pengiktirafan di persada dunia.

Beliau menggariskan usaha mencapai kejayaan pelaksanaan program dan projek pembangunan negeri ini melalui prinsip 3M untuk Martabatkan Rakyat, Mesra Perniagaan dan Mantapkan Kedudukan Kewangan.

Menurut Guan Eng:

• Matlamat Martabatkan Rakyat adalah untuk memastikan rakyat dapat hidup secara bermaruah, khususnya golongan berpendapatan rendah dapat bantuan kebajikan atau bumbung di atas kepala mereka.

Demi mengecapi hasil ekonomi negeri, semua warga Pulau Pinang mestilah berusaha dan berpeluang untuk mencari nafkah serta menikmati hasil sebuah kerajaan yang ditadbir dengan bersih dan baik dalam bentuk dividen anti-rasuah.

• Matlamat Mesra Perniagaan bertujuan memastikan iklim perniagaan adalah sihat tanpa campur tangan sektor kerajaan dan awam dan berpandukan kepada rule of law atau kedaulatan undang-undang dan bersih daripada rasuah, serta bebas daripada karenah birokrasi.

Demi melonjakkan ekonomi Pulau Pinang kepada yang berpendapatan tinggi, adalah perlu kerjasama penglibatan dan kolaborasi dijalankan dengan sektor swasta agar hasil yang optimal, efisien dan berkesan dapat ditemui.

Pembinaan modal insan, memupuk daya kreativiti dan inovasi adalah kritikal, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

• Matlamat Mantapkan Kedudukan Kewangan adalah penting agar perbelanjaan bajet dibuat secara berhemah, bersih tanpa penyelewengan dan kemungkaran serta teratur dengan mematuhi prosedur dan peraturan.

Ini semuanya dapat melahirkan bajet seimbang atau lebihan yang berterusan, mengurangkan beban hutang, memantapkan pulangan pendapatan dan rizab aset-aset negeri. – Roketkini.com