Budaya

Konsert Search di sebuah funfair – “ pergilah, buatlah…” – Oleh Subari Rumi

Cerpen

3 NOVEMBER – Sewaktu aku dan Boey dalam tingkatan dua, kami sudah menjadi ketagih dengan muzik rock. Hanya wang sahaja yang menentukan kekerapan kami jamming di studio muzik yang terletak di tengah-tengah pekan.

Jika ada wang, sesiapa yang ingin mencari kami, cari sahaja di studio Ebe Moon, jika tidak kami akan berada di padang atau di sekolah.

Curi duit ayah

Aku pernah mencuri wang dari saku baju kemeja ayah. Aku sangka ayah tak sedar tapi rupa-rupanya sangkaan aku jauh meleset. Ayah sengaja meletak wang tiga ringgit dalam saku bajunya.

Selepas beberapa tahun, ayah mendedahkan kisah itu kepada aku. Menurut ayah, dia mula menyedari wang di saku bajunya selalu hilang, dan dia turut perasan bahawa jumlah wang yang selalu hilang itu tidak pernah lebih dari tiga ringgit.

Aku yang ketika itu ketagih jamming, memang perlu berkongsi tiga ringgit setiap seorang untuk satu sesi jamming, jumlah kami empat orang dan harga sewa satu jam studio ialah dua belas ringgit. Maka agakan ayah sangat tepat tentang kecurian itu, memang dia ayah ku.

Menurut ayah lagi, dia faham aku takut dan segan mahu meminta padanya selalu, kerana itu dia sengaja membiarkan duit tiga ringgit sentiasa ada dalam saku bajunya. Dia tidak mahu aku mencari jalan lain untuk mendapatkan wang sebanyak itu.

Fikirnya, jika dia marah atau menghalang kehendak aku, mungkin aku akan mencuri di tempat lain atau membuat sesuatu perkara yang lebih buruk lagi. Jadi, secara senyap-senyap dia ‘mencuri’ hati aku dengan caranya itu.

Kebijaksanaan seorang ayah memang anak tidak terduga sama sekali.

Aku juga akhirnya menyedari, bagaimana mungkin perbuatan aku mencuri ini tidak diketahui oleh ayah? Bagaimana pula setiap kali aku mencuri, wang tiga ringgit ini mesti ada dalam poket ayah. Baik ketika ayah tengah susah atau senang. Pada masa itu aku langsung tidak dapat mengagak keadaan itu.

Setelah usia menginjak matang, aku berubah. Perasaan malu dan hormat tidak terbendung apabila memikirkan bagaimana halus cara ayah mengajar aku.

Boey dan ayahnya

Ketika zaman baru mengenal gitar dan ketagih jamming, aku dan Boey sentiasa mencari peluang untuk ‘hilang’ dari aktiviti di sekolah. Kadangkala, kami hanya akan menyertai latihan sukan sebelah pagi sahaja, selepas itu kami akan ‘tuang’ sekolah untuk jamming, jika tidak cukup wang kami akan melepak di pekan.

Boey rakan karib aku, pernah dihambat oleh bapanya kerana ‘kantoi’ tidak pergi ke kelas taekwando. Dia mengikut aku jamming bersama dua orang lagi rakan kami. Entah mana silapnya, Boey terlupa membawa baju latihan, kerana itu bapa Boey pelik mengapa baju itu tidak dibawa sedangkan Boey memberitahunya mahu ke kelas tersebut.

Selepas itu, dengan aku sekali kena leter oleh ibu apabila sampai di rumah. Boey pula, lebam betis kena sebat dengan tali pinggang ayahnya.

Selepas kejadian itu, kami semua masih tidak serik-serik lagi. Perangai masih tidak berubah. Baik hanya dua tiga hari sahaja, selepas itu menyetan semula.

Ada suatu ketika, pertengahan tahun. Cuaca amat kering ketika itu, kami pula baru selesai peperiksaan pertengahan tahun.

Funfair kembali

Ketika melepak beramai-ramai dipekan, lalu sebuah lori panggung. Mereka mengumumkan satu funfair akan diadakan di pekan kami. Seperti biasa, zaman-zaman 80an, setiap kali ada funfair, sudah semestinya akan ada konsert dari kumpulan rock.

Dulu kumpulan May, Gersang dan Wings pernah datang buat ‘gila’ di pekan kami. Kali ini begitu juga, kumpulan Search akan datang. Aku, Boey dan rakan-rakan sudah tidak sabar mahu menontonya.

Selepas pengumuman itu, mulalah kami berbual tentang acara yang kami anggap terhebat pada masa itu. Setiap kali berjumpa, tidak ada topik lain yang akan dibualkan. Sepatah kata orang tua-tua, budak tengah galak.

Masih aku ingat, konsert funfair Search hanya lagi dua minggu. Kami sudah mula mengumpul wang untuk membeli tiket. Harga tujuh ringgit seorang sudah cukup mahal bagi kami pada masa itu.

Ikat perut jadi rajin

Boey mengumpul wang dari belanja dia pergi ke kelas taekwando, biasanya dia akan mendapat seringgit dari bapanya. Jadi dari situlah dia mengumpul wang dengan mengikat perut selain dari mengumpul dari wang saku sekolah.

Dan aku pula, ada sumber yang lebih sedikit. Sudah jadi tabiat, jika aku menolong ayah mencuci motor skuternya, dia akan bagi tiga puluh sen. Jika nak dapat lebih, ketika mengaji aku harus menunggu hingga habis budak-budak mengaji, biasanya aku akan menunggu hingga jam sepuluh malam.

Selepas itu aku akan menolong Mbah Aji dengan menyusun kembali quran, rehal di gobok, menyapu sampah dan menggulung tikar. Mbah Aji seorang nenek yang tinggal berseorangan, anak-anaknya aku tidak pasti ada atau tidak. Setiap kali aku bertanya ibu, dia tidak akan menjawabnya secara berterus-terang.

Mbah Aji selalu meminta aku membantunya mengajar kanak-kanak yang baru mula masuk mengaji quran. Selepas juzu’ satu, maka urusan itu aku serahkan kepadanya kembali. Itulah rutin aku diwaktu malam ketika dalam usia empat belas tahun.

Ibu bapa yang menghantar anak-anaknya mengaji setiap minggu akan memberi sedekah kepada Mbah Aji, tidak banyak, sekitar lima hingga sepuluh ringgit. Aku pula membantunya semata-mata kerana kasihan dan ikhlas nak membantu. Jika dia memberi aku upah, memang aku menolak pada awalnya.

Tetapi lama-kelamaan, dia akan mendesak supaya aku menerima upah jika aku menolongnya lebih dari biasa. Mbah Aji cukup memahami minat aku, dia akan beri tujuh puluh sen setiap kali selesai membantunya. Katanya sambil berseloroh, kumpul duit itu buat beli gitar.

Mbah Aji tidak kisah dengan minat aku, malah dia pernah meminta aku jangan tinggal mengaji walau minat dengan muzik.

Jadi, jika dicampur simpanan duit kocek sekolah dengan upah kerja tambahan, dalam sehari aku boleh mengumpul seringgit. Menjelang funfair nanti sudah tentu wang aku mencukupi.

Masa ini, kami semua sanggup bangun awal pagi membungkus makanan untuk dibawa bekal ke sekolah. Selama dua minggu ini juga, tanpa aku sedari ibu dan ayah perasan dengan perubahan aku. Tetapi ketika itu mereka hanya diam sahaja.

Heboh sekampung

Ketika konsert itu semakin hampir, suasana di kampung kami cukup heboh tentangnya. Di sekolah, di surau dan masjid termasuk di warung-warung kopi, semuanya bercerita tentang acara funfair itu. Malah yang lebih mereka ‘bisingkan’ ialah kedatangan kumpulan rock Search ke kampong itu.

Hingga di sekolah, guru-guru kami berpesan mana-mana pelajar yang masuk ke pesta funfair tanpa ditemani ibu bapa, mereka itu akan dikenakan tindakan disiplin. Kegembiraan kami ketika itu kini bertukar menjadi takut tak tentu hala.

Mereka semua beranggapan bahawa pengunjung yang masuk ke pesta funfair itu akan berjudi (main tikam-tikam) untuk dapat hadiah yang biasanya ada dalam pesta funfair. Mereka anggap itu semua kerja haram, apatah lagi menonton konsert yang akan melalaikan orang kampung.

Apabila keadaan mulai panas, kami tidak lagi bercakap secara terbuka tentang funfair itu. Takut guru atau keluarga tahu rancangan kami. Masing-masing hanya berbisik-bisik saja. Macam ejen perisik.

Ayah, ibu beri bayangan; Mbah Aji beri buah tangan

Dalam waktu itu, ayah sempat berpesan. Jika aku dan teman-teman ingin berbuat sesuatu yang bertentangan dengan arus masyarakat, pastikan apa yang kami buat itu tidak diketahui orang. Tapi jika akhirnya orang tahu, jangan malu dan takut untuk bertanggungjawab. Kalau masih was-was, lupakan terus niat itu.

Lama juga aku termenung mendengar kata-kata ayah. Maklumlah, ketika itu aku masih terlalu muda untuk mengerti maksud kata-katanya. Tetapi, sedikit sebanyak aku masih dapat menangkap pesanan itu.

Bila aku bertanya kepada ibu tentang kata-kata ayah. Ibu hanya tersenyum sambil berkata “Kalau kau nak buat baik, mesti ada ilmu. Kalau nak buat jahat pun mesti ada ilmu, jangan buat benda yang kau tak tahu, nanti kau sesat”.

Aku masih keliru dengan kata-kata ayah dan ibu. Malah aku rasa, hal sekecil ini pun orang tua begitu payah nak merima keinginan kami. Aku cukup hairan.

Hinggalah Mbah Aji menjawab pertanyaan aku tentang hal yang sama.

“Mbah ni dah tua, tak ada apa yang Mbah nak lagi”, perlahan kata-katanya.

“Kalau tak cukup ilmu, kita buat kerja baik pun tak akan dapat hasil, tak berkat. Apatah lagi kalau kerja yang kita buat tu satu kerja yang tak baik, kita akan lebih sesat”. Kata-kata Mbah Aji tersangkut-sangkut kerana nafas yang pendek.

Kemudian dia menyambung yang mana selepas kata-katanya itu aku seakan tersedar dari tidur.

“ Kalau kau buat benda tak elok, memang ada mudaratnya, dunia ke akhirat. Tapi kalau ada ilmu, jahat mana pun kau, satu hari esok kau mesti patah balik”.

“ Sebab kau tahu..ada ilmu” sambung Mbah.

“ Bukan salah pun kau nak suka muzik, pergilah..buatlah. Tapi jangan lupa diri”. Dia menutup bicara.

Aku tetap pergi menonton Search di funfair itu. Hingga hari ini pun aku masih setia mengunjungi konsert-konsert muzik baik di kelab-kelab sekitar ibukota hinggalah ke konsert yang diadakan di stadium.

Dan hingga kini juga, aku masih kenal siapa diri aku dan aku masih tidak lupa pesan ibu, ayah dan Mbah Aji. Dunia memang penuh warna-warni, mengapa perlu kita menghitamputihkannya? – Roketkini.com