Rencana

Kes UKM4 – Siapa Kerajaan? BN atau Jabatan Peguam Negara? – Oleh Lau Weng San

5 NOVEMBER – Jikalau kerajaan Barisan Nasional membuat rayuan terhadap Mahkamah Rayuan berhubung keputusannya bahawa Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka ini menunjuk bahawa kerajaan BN memandang remeh terhadap prinsip pengasingan kuasa dan prinsip kebebasan kehakiman.

Sekiranya kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Razak menganggap dirinya sebagai kerajaan transformasi yang ikhlas untuk memansuhkan atau meminda sebarang akta yang mencengkam hak-hak asasi manusia, maka ianya perlu tegas dalam tindakannya dan tidak akan membuat rayuan lagi.

Malangnya, BN hanya bertolak-dalih dan menyerah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan seolah-olah BN ingin menolak sebarang tanggungjawab untuk bertindak tegas dalam kes ini.

Tindakan BN ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan menimbulkan tanda soal: Siapakah yang menjadi kerajaan pusat? BN atau Jabatan Peguam Negara?

Jikalau BN boleh melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan prinsip pengasingan kuasa seperti apa yang berlaku pada Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar pada tahun 2009 sehingga beliau dikasari dan diheret keluar daripada DUN, adalah amat melucukan kita semua apabila BN pula ingin membuat rayuan dalam kes UKM4 atas alasan keputusan hakim bercanggahan dengan prinsip pengasingan kuasa.

Pengasingan kuasa

Kita harus ingat bahawa semangat prinsip pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman yang diwarisi daripada British turut menekankan peranan hakim dalam membuat takrifan terhadap undang-undang yang sedia ada untuk memastikan keputusan yang dibuat bukan sahaja selaras dengan peredaran zaman tetapi turut mematuhi semngat asal Perlembagaan Persekutuan serta berlaku adil terhadap rakyat dan kerajaan.

Harus juga diingati bahawa keputusan salah seorang hakim dalam kes UKM4 ini, iaitu Yang Arif Mohd Hishamudin Mohd Yunus dalam keputusannya telah menetapkan bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU mencengkam kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi dan ianya tidak membantu untuk melahirkan golongan berfikiran kritikal yang boleh membantu pembangunan negara.

Justeru itu, mesej yang ingin disampaikan oleh Hakim kepada Parlimen yang dikuasai BN ialah Seksyen 15 (5) (a) ini tidak sesuai dengan zaman moden dan sudah sampai masanya untuk memansuhkan klausa-klausa yang menekan kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi.

Malangnya, pada pandangan BN, undang-undang hanya merupakan alat kegunaan BN sahaja untuk menekan perbezaan pandangan. Seruan dan mesej daripada keputusan ini langsung tidak dihirau.

Apa yang menyedihkan ialah walau pun keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak berasaskan sebarang kepentingan politik, Kabinet memilih untuk mendiamkan diri dan menyerah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan.

Ini menunjukkan bahawa BN langsung tidak ikhlas untuk melaksanakan sebarang pembaharuan.

Dolak-dalik BN

Sebelum ini terdapat ahli-ahli politik BN yang menyeru Kabinet agar tidak membuat rayuan. Mereka ini ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu serta Pengerusi Pemuda BN BN Khairy Jamaluddin.

Sekarang saya ingin bertanya mereka, apakah penjelasan mereka terhadap sikap Kabinet yang bertolak-dalih ini?

Ini bukan pun kali pertama Kabinet membuat keputusan yang bertolak-dalih seperti ini. Dalam perbicaraan terhadap 21 individu yang ditahan kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan tanpa permit pada tahun 2008 sempena ulangtahun pertama Bersih di Petaling Jaya, Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz juga berkata bahawa keputusan untuk melepaskan dakwaan terhadap kesemua 21 individu itu terletak di tangan Jabatan Peguam Negara.

Janganlah BN menghina kebebasan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa dengan tolak dalih seperti ini.

Ketepikan rayuan itu dengan tegas, jangan mempertahankan undang-undang lapuk yang mecengkam hak-hak asasi manusia dan biarkan kebebasan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa antara kehakiman, ekesekutif dan perundangan bertumbuh subur di bumi Malaysia ini.

Penulis adalah ADUN DAP Kampung Tunku