Berita

PPSMI: Pendekatan fleksibel diperlukan

KUALA LUMPUR, 8 NOV – Formula yang lebih fleksibel sangat diperlukan bagi menyelesaikan kemelut dan ‘usaha’ Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar kerajaan dengan memberi peluang kepada ibu bapa untuk memilih cara pengajaran dan pembelajaran bagi anak mereka.

“Ini termasuklah mewujudkan kelas atau sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium utama untuk mata pelajaran sains dan matematik,” katanya dalam satu kenyatataan.

Menurut Kit Siang, jika dilaksanakan dengan formula yang lebih rasional dan liberal, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai sebuah kuasa global bagi menghadapi cabaran di peringkat antarangsa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, selama 31 bulan Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran telah gagal mengetengahkan formula baru meyakinkan rakyat Malaysia berhubung kegagalan PPSMI.

“Malah, masih jelas dalam ingatan rakyat Malaysia mengenai pengakuan beliau sebaik menjadi Menteri Pelajaran yang beliau tidak tahu bahawa Bahasa Inggeris bukan mata pelajaran wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia.

“Beliau merupakan salah seorang penyokong kuat dalam UMNO yang mahu melaksanakan PPSMI pada 2002, malah turut menggunakan hujah separuh masak bahawa negara-negara seperti China, Jepun, Korea dan Perancis telah beralih menggunakan Bahasa Inggeris kerana ia boleh membantu mereka untuk maju,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan diri untuk melakukan tranformasi pendidikan dan pelajaran bagi meningkatkan kemahiran pelajar di Malaysia dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Tambahnya, kerugian terbesar Muhyiddin terhadap sistem pendidikan dan daya saing antarabangsa Malaysia adalah kerana keputusannya menghapuskan PPSMI. – Roketkini.com