Berita

Masalah monorel Melaka: Nyawa atau ego yang penting

KUALA LUMPUR, 9 NOV –  Melaka memang hebat di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam kerana mampu memiliki sistem monorel sejak setahun lalu. Malangnya ia sentiasa bermasalah dan kerap rosak.

Sistem monorel itu yang bernilai RM15.5 juta untuk  laluan 1.6 kilometer di sekitar bandaraya Melaka telah dihentikan beberapa kali sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Kali ini lebih teruk kesannya. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengarahkan perkhidmatan monorel Melaka itu menghentikan operasi selama sebulan atas sebab-sebab keselamatan.

Menurut laporan Bernama, pada 1 November lalu, dua pelancong Britain terpaksa dibawa turun melalui tangga lima meter selepas terperangkap 20 minit di dalam gerabak apabila monorel terhenti secara tiba-tiba pada jam 1.09 tengah hari.

Monorel itu dikatakan terhenti hanya 20 meter selepas meninggalkan Stesen Hang Jebat di bandaraya Melaka.

Dalam respon awalnya terhadap keputusan SPAD, Ali Rustam menyatakan rasa tidak puas hati kerana yakin ciri-ciri keselamatan monorel Melaka telah pun dipenuhi.

Kenyataanya itu mengundang reaksi Ahli Parlimen DAP Kota Melaka Sim Tong Sim yang menyifatkan Ali berlagak seperti seorang jurutera tanpa mempedulikan keselamatan pengguna pengangkutan awam itu.

Menurutnya, Ali perlu lebih bertanggungjawab dengan memberikan jawapan munasabah kerana ianya membabitkan perkara serius, iaitu keselamatan rakyat dan pelancong.

“Sepatutnya kerajaan negeri dan syarikat pengendali monorel Taming Sari Sdn Bhd membuat siasatan yang terbuka, dan setelah mengenal pasti punca masalah, buat sidang media untuk berikan jawapan yang lebih logik.

“Perhaluskan semua perkara dan terangkan secara telus agar orang ramai dapat menilai dan mungkin dapat memberikan cadangan,” katanya kepada Roketkini.

Sim berkata, ia bukan kali pertama monorel Melaka tergendala, malah pada hari pelancarannya 20 Oktober tahun lalu, telah berlaku kerosakan yang menyebabkan 20 orang terkandas.

“Bermula kejadian itu sehingga sekarang, sudah banyak kali masalah dan notis telah dikeluarkan oleh pihak pengendali monorel itu.

“Alasan mereka macam-macam, skru patahlah, sensor pintu rosaklah…Alasan-alasan ini tidak dapat diterima sama sekali, kerana dalam apa-apa hal ketika membeli monorel itu, faktor keselamatan patut diutamakan,” katanya.

Sepanjang monorel itu beroperasi, hanya 16,000 orang yang menggunakan perkhidmatan tersebut, iaitu pada kadar anggaran purata kira-kira 40 pengguna sahaja sehari.

Jelas Sim, alasan Ali berhubung pembelian monorel dari China itu semata-mata kerana ia lebih murah berbanding produk buatan Eropah adalah satu kenyataan yang tidak mementingkan nyawa manusia.

“Ini sangat membelakangi rakyat dan juga memberi beban kepada kerajaan yang terpaksa menggunakan wang rakyat untuk membaik pulih.

“Kerana nak terlalu murah kononnya, akhirnya membazir lagi wang rakyat untuk membaik pulih. Memang kita nak yang murah tapi biarlah yang bermutu dan selamat, bukan murah tapi membahayakan nyawa kita,” katanya. – Roketkini.com