Berita

DAP galakkan kaum bukan Islam derma untuk surau, sekolah agama

PUCHONG, 10 NOV – Satu majlis makan malam anjuran DAP telah berjaya megumpul dana lebih RM20,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama untuk didermakan kepada surau dan sekolah agama rakyat di Puchong, Selangor.

Kutipan derma melalui program anjuran DAP Puchong yang diadakan di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong Indah malam tadi  akan diagihkan kepada Surau As-Siddiq, Surau Ar-Rahman, dan Sekolah Agama Rakyat Batu 13 Puchong untuk membaiki dan mengemaskini kemudahan asas seperti membaiki kerosakan bumbung dan sebagainya.

Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok berkata, program memungut derma untuk surau dan sekolah agama yang diadakan julung kali diadakan itu bersama rakan-rakan dari PAS dan PKR menandakan tembok pemisahan kaum dan perbezaan antara agama sudah berjaya dipecahkan oleh rakyat sendiri.

“Hubungan yang mesra antara penganut agama yang berlainan ini menunjukkan bahawa orang bukan Islam juga sokong bila kita (DAP) meminta derma bagi surau dan sekolah agama rakyat,” katanya kepada Roketkini.

Beliau yang juga Adun Kinrara berkata, kaum Cina dan India membeli 15 meja daripada sejumlah 40 meja majlis makan malam itu sebagai tanda sokongan.

“Ini menunjukkan di kawasan Puchong, memang tiada konflik agama. Inilah yang kita perlukan, iaitu sebuah masyarakat yang majmuk yang tidak berprasangka buruk antara satu sama lain,” katanya.

Antara yang hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad dan Adun PKR Batu Caves Amirudin Shari.

Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo berkata, majlis itu adalah mesej jelas kepada UMNO-Barisan Nasional bahawa rakyat Malaysia di Puchong khususnya tidak ada masalah perkauman.

“Sebelum 2008, UMNO mungkin tidak percaya pemimpin DAP dan PAS akan duduk semeja. Saya rasa kalau kita bawa (Ketua Pembangkang Selangor) Datuk Satim Diman datang, dia mungkin pengsan dengan suasana meriah dan harmoni di majlis ini.

“Sekarang nampaknya, kita rakyat Malaysia sudah bersedia bersama-sama untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia milik kita bersama,” katanya disambut tepukan gemuruh orang ramai.

Idea untuk mengadakan program itu timbul apabila Teresa dan Gobind berbincang untuk menyelesaikan masalah sekolah agama dan surau tersebut yang telah mengilhamkan satu majlis muhibah yang dapat mengeratkan hubungan antara kaum. – Roketkini.com