Rencana

Seksualiti Merdeka itu hak asasi? – Oleh Muhammad Nazreen

10 NOVEMBER – Tanggal 26 Oktober yang lalu, ramai yang di antara kita terkejut dengan kenyataan Tan Sri Rahim Noor dalam ucapannya pada perhimpunan agung PERKASA yang melihat gerakan hak asasi manusia umpama satu agama baru yang memberi ancaman serius kepada keamanan di bumi Malaysia.

Mungkin, ramai akan menganggap kenyataan Rahim Noor sebagai bekas Ketua Polis Negara ini tidak ubah seperti memperbodohkan dirinya sendiri.

Tidak lama selepas itu, kita dikejutkan pula isu ‘Seksualiti Merdeka’ di mana isu ini adalah ruang publik yang dianjurkan untuk mendengar keluhan golongan LGBT  – transeksual, gay, lesbian dan biseksual – untuk menyatakan hak mereka untuk didengari.

Sering kali golongan ini mengatakan mereka sering didiskriminasi di tempat kerja, diugut majikan untuk memeras duit mereka malah lebih dahsyat lagi mereka dikasari kerana memiliki orientasi seksual yang ‘lain dari yang lain’.

Seperti mana yang kita sedia maklum, kegiatan ‘Seksualiti Merdeka’ ini bukanlah acara yang baru. Mereka sudah pun menganjurkan program ini pada tahun lepas tetapi tidaklah pula isu ini menjadi hangat seperti mana sekarang.

Natijahnya, mengapa isu ini hanya timbul dalam keadaan pilihan raya semakin menghampiri dan apa pula kaitannya dengan kenyataan Rahim Noor yang begitu benci dengan hak asasi manusia itu sebelum ini.

Hak asasi

Seperti yang kita sedia maklum, hak asasi adalah suatu idea kolektif yang membicarakan berkenaan hak dan tabie manusia di muka bumi ini. Malah, di dalam asas demokrasi sekali pun perihal hak asasi dan kebersamaan hak manusia sering menjadi kayu ukur untuk menentukan kejayaan demokrasi.

Hujah pertama saya ialah strategi untuk menghangatkan isu ‘Seksualiti Merdeka’ tidak lebih daripada memberi persepsi buruk terhadap Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu kebebasan menuntut hak mereka didengari.

Jadi, jalan mudahnya ialah meracuni jiwa rakyat bahawa tuntutan hak asasi ini tidak lebih daripada agenda jahat dengan mengaitkan isu seks yang sememangnya lazim dilihat sebagai lucah oleh kebanyakan orang, terutama mereka yang di tampuk kuasa.

Jadi, dengan menggunakan alasan ini, mereka telah mengaitkan – walau pun tanpa sebarang bukti – bahawa kelompok dalam Pakatan Rakyat tidak lebih daripada bertujuan untuk merosakkan sistem nilai dalam diri identiti masyarakat dengan menarik mereka untuk terperangkap di dalam polemik ini di mana rata-ratanya memihak kepada isu seksualiti yang intim dengan hak asasi ini tidak lebih adalah tabu dalam masyarakat.

Ambang pilihan raya

Kita sendiri sedar bahawa pilihan raya umum semakin mendekat dan kita juga sedar semakin hari ketirisan UMNO-BN menguruskan wang negara semakin ketara. Jadi, di situ, mereka terperangkap dengan keadaan yang tidak menyebelahi mereka.

Isu Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan kepincangan, salah laku, pembaziran dan kebocoran pengurusan kewangan negara dan negeri, isu National Feedlot, isu perhimpunan aman Bersih 2.0, skandal perjanjian Malaysia Airlines-Air Asia semakin hari semakin ketara memperlihatkan kelemahan pihak pemerintah.

Jadi, bagaimana pimpinan UMNO sebagai parti dominan BN yang mana komponen-komponen lain membisu terhadap caca-marba ciptaan UMNO, cuba untuk menarik rakyat  supaya tersangkut dengan isu yang lain.

Di sini, saya melihat isu ucapan ‘hak asasi’ Rahim Noor dan kaitannya dengan ‘Seksualiti Merdeka’ sebagai rasional untuk memberi kata putus bahawa hak asasi ini ada logik yang bahaya.

Memerangkap minda rakyat

Lantas, mereka menuduh Pakatan Rakyat dan masyarakat madani yang bergerak dengan landasan hak asasi ini hanyalah agenda yang menyesatkan. Lantas, rata-rata pengundi di atas pagar akan termakan dengan umpanan ini dan sekali lagi Barisan Nasional akan memenangi pilihan raya umum. Itulah hasrat tersirat mereka yang bergelar pemerintah hari ini.

Dengan langkah mudah, para strategis UMNO sekali lagi berjaya meletakkan titik rasional ‘hak asasi’ sebagai anasir asing yang menyerap ke dalam budaya masyarakat. Kaedahnya sama dengan strategi pemerintah komunis dan fasis pada abad ke-20 yang menakutkan rakyat dengan apa-apa sahaja yang ‘asing’.

Jadi, masyarakat awam rata-ratanya akan percaya dengan kekusutan berkenaan ‘hak asasi’ tanpa memikirkan subtansi dan idea kebebasan yang diperjuangkan kumpulan hak asasi ini.

Akan ada kalangan rakyat yang lupa bahawa ‘hak asasi’ itulah yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan gaji yang munasabah, hak wanita untuk bekerja dan mengundi, hak anak-anak untuk ke sekolah, hak rakyat untuk mendapat rawatan perubatan serta hak-hak bahasa, budaya dan seni.

Perang psikologi

Persoalan orientasi seksual – yang mana “Seksualiti Merdeka’ cuba menggambarkan bagaimana golongan LBGT dihina, ditekan, dipinggirkan, ditindas dan dibantai – telah  digambarkan seperti ‘pesta seks bebas’ untuk memberi persepsi bahawa kebebasan dan tuntutan hak asasi tak ubah seperti jalan mudah mencabar agama dan adat.

Bagaimana kumpulan-kumpulan yang membuat tuduhan itu boleh terfikir tentang pesta seks bebas? Apa sebenarnya yang terbenak dalam fikiran dan nafsu mereka?

Persoalannya, apakah perang psikologi ini berkesan untuk menarik rakyat keluar dari isu-isu yang lebih penting dan melibatkan setiap rakyat, tidak kira ibu bapa dan anak-anak serta cucu yang ada?

Isu penyelewengan kroni-kroni, beban hutang negara yang semakin meningkat mahu pun skandal rasuah yang tidak kunjung selesai tidak lagi diberi keutamaan.

Malah, mengapa golongan agama di Malaysia, termasuk alim ulamak Islam, tidak banyak bersuara tentang rasuah dan korupsi yang bukan sahaja boleh menghancurkan masyarakat tetapi juga memusnahkan iman dan akidah?

Ternyata setakat ini UMNO berjaya meniup isu yang baru supaya hal yang lama dilupakan. Tidak perlu terkejut jika ada pemimpin UMNO yang menafikan terlibat dalam kempen membenci hak asasi. Bukti-buktinya sebenarnya jelas di dada akhbar dan TV kawalan UMNO-BN. Saban hari fitnah dilemparkan terhadap sesiapa dan apa sahaja yang enggan tunduk dengan agenda pemerintah.

Sudut pandang

Jadi di sini, saya cuba membawa satu sudut pandang dalam menangani isu ini. Tohmahan terhadap hak asasi mungkin tidak lebih daripada teori konspirasi dan sejauh mana logik perkara ini mungkin tidak dapat dipastikan.

Dalam tempoh kurang sebulan, saya melihat ini mungkin sebagai suatu strategi politik jahat  untuk menyelamatkan UMNO. Lantas, mereka dapat membina persepsi bahawa hak asasi itu sesuatu yang buruk dan ancaman baru buat rakyat Malaysia.

Jadi, saya juga berharap supaya kita dapat bersama-sama memikirkan sesuatu yang berguna demi masa depan Malaysia. Benci-membenci dan syak-wasangka adalah petanda kehancuran sesuatu masyarakat.

Sudah ada beberapa penulis yang menggunakan kata-kata hikmat ini, jadi, izinkan saya memetik semula kata-kata pemikir terkenal Voltaire buat ingatan kita semua: “Saya tidak bersetuju dengan apa yang anda katakan tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan hak anda untuk berkata-kata begitu”. – Roketkini.com