Budaya

“Anak kecil main api” – Oleh Mazir Ibrahim

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

11 NOVEMBER – Suatu waktu dulu isu mengenai karya-karya seni termasuk lagu/muzik yang dikatakan menghina dan bersifat rasis telah menjadi kontraversi serta perbualan hangat dalam masyarakat kita.

Ada yang masih ingat bagaimana isu lagu “Negarakuku” menjadi isu politik, namun jika hendak kita bandingkan lagu tersebut dengan banyak lagi lagu lain yang lebih sinis dan politikal sifatnya ciptaan anak-anak muda tempatan, lagu rap itu tidak banyak bezanya.

Negarakuku dan senario underground Melayu

Tetapi antara banyak-banyak lagu itu, mengapa lagu “Negarakuku” menjadi perhatian masyarakat dan ahli politik? Adakah muziknya lebih hebat dari karya-karya lain? Atau kerana ada bantuan teknologi internet?

Melihat kepada semua senario ini, ia bukanlah faktor utama yang menjadikan lagu itu meletup dan menjadi perhatian, sebaliknya kerana pengkarya itu sendiri, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, anak Malaysia dari Johor yang belajar di Taiwan.

Namun dalam hal ini, bukanlah kemahiran atau idea muziknya yang menjadi ukuran kita, sebaliknya kaum dan warna kulit. Beliau adalah anak muda kaum Cina Malaysia yang belajar di negara luar yang menggunakan Bahasa Cina (Mandarin), bercakap bahasa Cina pelbagai dialek dengan gaya pakaian yang ‘barat’ hip hop.

Pengkarya muda ini cuba berpatriotik melalui kritikan seni dalam bahasa dan gayanya sendiri. Maka itu menjadi faktor pendorong bagi dia dan karyanya dilabel sebagai menghina lagu kebangsaan Negaraku dan budaya Melayu.

Itulah faktor yang menjadikan “Negarakuku” karya kontraversi berbanding karya-karya lain khususnya dari kalangan anak muda bermuzik underground yang kadangkala idea dan muzik mereka lebih baik berbanding “Negarakuku”.

Jika kita lihat, kumpulan-kumpulan underground ini rata-ratanya anak Melayu walau pun genre muzik mereka tetap “barat”, kalau pun bukan hip hop, ia sekitar extreme metal, punk dan berbagai lagi. Jadi walau kritik politik mereka itu sehancing mana pun ia tidak akan menjadi kontraversi bagi masyarakat kerana warna kulit yang sama.

Masyarakat hanya akan melabel budak-budak underground ini sebagai anak-anak muda yang marah. Itu sahaja. Idea asal kumpulan ini tidak ke mana. Maka, dalam kes seperti ini, jika kaum boleh menjadi aset untuk melariskan karya, maka mungkin inilah jawapannya.

Lagu Warisan

Jika itulah formula yang dimainkan oleh UMNO dan sekutu-sekutunya dalam isu “Negarakuku”, sudah tentu persoalan yang sama akan timbul seperti lagu “Warisan (Anak Kecil Main Api)”.

Lagu ini dicipta oleh karyawan Melayu, dinyanyikan oleh anak-anak Melayu khususnya pelajar Melayu ketika menghadiri kursus wajib Biro Tata Negara (BTN) apabila memasuki kolej dan universiti awam. Tujuannya ialah menaikkan semangat anak-anak Melayu.

Bagaimana pun, jika kita kaji pula idea pada liriknya, kita akan lihat kedutan-kedutan yang memeningkan kepala.

Namun, jika kita hendak mengukur idea muziknya, barangkali ia tidak adil kerana idea muzik begitu subjektif sekali sifatnya. Idea muzik hanyalah roh tanpa nilai yang tetap (rigid) seperti mana lirik yang lebih bersifat bahasa pertuturan yang masih boleh difahami dan dibaca oleh manusia.

Warisan (Anak Kecil Main Api)

Anak kecil main api

Terbakar hatinya yang sepi

Air mata darah bercampur keringat

Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya

Tergadai seluruh harta benda

Akibat sengketa di antara kita

Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita

Warisan berkurun lamanya

Hasil mengalir ke tangan yang lain

Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi

Majulah raih sebuah mimpi

Hapuskan sengketa

Teruskan usaha

Kita kan gagah di nusantara

Kita kan gagah di nusantara

Kita kan gagah di nusantara

Kita kan gagah di pentas dunia

 

Lirik lagu ini tidak boleh diukur sama seperti mengukur simbol lirik pada lagu “Negarakuku” yang lebih menggunakan bahasa campur dengan laras bahasa yang bersahaja.

Makna yang tersurat dan tersirat

Lagu “Warisan (Anak Kecil Main Api)” digubah dengan begitu halus dan puitis. Namun, jika dikaji simbol-simbol dan makna di sebalik lirik ini, akan kelihatan dengan jelas sifat assabiyah Melayu itu.

Rangkap 1 dapat kita jelaskan simbol atau makna bagaimana bangsa Melayu terasa hati dan rasa terpinggir di tanah airnya sendiri. Persoalannya mudah, iaitu hal “merasa terpinggir” ini dimaksudkan sebagai apa? Terpinggir dari apa? Siapa yang meminggirkan orang Melayu?

Dan kita dapat lihat bagaimana pembayang itu diolah dengan begitu halus dan indah sekali dengan makna sebenar diungkapkan di hujung ayat pada rangkap 1 iaitu, “bumi dipijak milik orang”. Gambarannya adalah tanah air ini rupa-rupanya dimiliki (diambil) oleh entiti lain. Jika merujuk pada lirik diajukan ‘milik orang’, maka entiti itu pastilah kaum atau bangsa lain.

Niat lagu ini telah terjelas bahawa bangsa Melayu kononya sedang ditindas, namun tidak pula dijelaskan entiti (kaum atau bangsa) mana yang menindas mereka. Ia ibarat teka-teki dalam gelap. Namun, ketika kita sedang menyanyikannya, mata akan mengerling-ngerling sesama sendiri tanda faham tentang kaum yang dimaksudkan dalam lagu itu.

Pada rangkap 2, secara umumnya disimbolkan sebagai kesilapan bangsa Melayu dalam mengurus kekayaan mereka hingga bergaduh sesama sendiri. Oleh itu mereka mengambil iktibar darinya, dan ia dijelaskan dalam rangkap 3 sebagai:

Indahnya bumi kita

Warisan berkurun lamanya

Hasil mengalir ke tangan yang lain

Kita kan merintih sendiri

Baris yang digelapkan itu menjadi penyudah kepada pembayang yang dihias indah dalam baris-baris lain. Jika kita membaca makna yang tersirat ini dengan mudah dapat difahami bahawa ada entiti (kaum) lain yang kononnya telah mengaut kekayaan khazanah bangsa Melayu.

Ungkapan ini menzahirkan sikap dan sifat idea yang ingin memaku persoalan ‘kaum harus diutamakan’ terutamanya dalam hal menikmati kekayaan khazanah dan sumber alam negara. Jika ini gagal difahami oleh anak-anak Melayu, maka “Kita kan merintih sendiri”.

Lagu rakyat vs lagu rasis

Amat jelas sekali bahawa lagu ini memancing niat bangsa Melayu untuk melihat kaum dan bangsa lain sebagai musuh yang harus diperhatikan dengan kata lain, bangsa yang harus dikuasai oleh Melayu.

Namun, semua ini hanyalah intepertasi aku sebagai penggiat muzik yang sedikit sebanyak memahami asas dan dimensi politik dan demokrasi. Intepertasi ini hanya akan bermakna jika ada interpertasi atau wacana lain yang dapat menguji teori ini, soal salah atau benar hanya amalan masyarakat sahaja yang dapat menentukannya. Lagu hanya akan kekal sebagai sebuah lagu, jika tidak untuk meransang minda ia hanya sekadar hiburan.

Sampai bilakah karya kita dan pemikiran masyarakat kita akan dibelenggu dengan mentaliti perkauman? Ia bukan sekadar di kalangan Melayu, sebaliknya kaum-kaum lain termasuk Cina dan India, yang sama ada dari asalnya curiga dengan Melayu atau sejak dekad-dekad kebelakangan ini, bertindak balas dengan bersifat rasis sebagai reaksi terhadap politik perkauman Melayu.

Kita adalah bangsa (nation) Malaysia, lagu-lagu rakyat kita cukup banyak dan sesuai buat semua kaum di Malaysia. Lagu-lagu ini bukan sekadar untuk persembahan formal yang tipikal, sebaliknya ia mampu menjadi insprasi buat bangsa kita membentuk satu budaya yang lebih segar.

Mungkin ada yang pedih untuk didengar tetapi ia adalah hakikat yang perlu diterima walau pahit untuk ditelan. Masyarakat global tidak akan menjadi lebih demokratik tanpa karya-karya yang menegur kelaziman yang zalim, amalan yang kejam dan politik yang kotor.

Sebaliknya karya-karya yang menonjolkan perkauman termasuk ketuanan kaum sering berakhir dengan kehancuran sesuatu masyarakat itu sendiri. – Roketkini.com