Berita

Anwar sekali lagi menjadi mangsa

KUALA LUMPUR, 11 NOV – Siasatan terbaru terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau memberikan maklumat palsu berhubung kes video seks “Datuk T” ternyata berunsurkan politik dan didalangi oleh pemimpin-pemimpin tertentu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tindakan polis itu merupakan satu lagi penganiayaan politik yang tak henti-henti terhadap Anwar.

“Permulaan pusingan baru ini harus dikutuk oleh semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras.

“Ia juga adalah bukti Dasar Transformasi Nasional oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulihkan Malaysia tidak bermakna sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mengulas siasatan terbaru polis terhadap Anwar berasaskan laporan oleh pegawai polis DSP S. Shanmugan Moorthy yang mendakwa kononnya member maklumat palsu dalam kes video seks itu, dan dengan itu dikaitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, tindakan polis itu menjadi satu lagi contoh kenapa orang ramai tidak yakin terhadap polis yang sepatutnya bebas, tidak berat sebelah, profesional dan demokratik.

“Polis Malaysia tidak akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia selagi  ‘bermain politik’ kerana jelas dilihat kelakuan polis terhadap perhimpunan aman Bersih 2.0 dan salah guna kuasa dalam Ordinan Darurat yag mengakibatkan Ahli Parlimen Sungai Siput M Jeyakumar dan aktivis PSM ditahan,” katanya.

Beliau menambah bahawa perubahan yang dilaungkan Najib terpaksa membawa Malaysia mengharungi jalan yang panjang bagi memulihkan kebebasan, integriti dan profesionalisme institusi negara. – Roketkini.com