Berita

Siasat segera barang makanan Kedai 1Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 NOV – Bakteria merbahaya E.Coli dan Coliform yang melebihi had yang sepatutnya, makanan yang dicemari, label palsu dan tidak mematuhi standard serta kualiti yang rendah, adalah antara perkara yang didakwa ada dalam barangan di beberapa Kedai Rakyat 1Malaysia.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, ia adalah isu kesihatan yang perlu segera diambil tindakan oleh Menteri Kesihatan untuk memastikan rakyat tidak menjadi mangsa keracunan makanan.

“Ini bukan isu politik. Ini isu kepentingan kita semua sebagai pengguna.

“Apa yang Menteri Kesihatan telah buat sejak lima bulan kedai 1Malaysia beroperasi dengan produk-produk yang tidak mengikuti undang-undang yang berada di bawah Kementerian Kesihatan?” katanya.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menjelaskan bahawa beliau telah menjalankan ujian makmal terhadap beberapa produk Kedai Rakyat 1Malaysia.

Melalui laporan ujian dari dua makmal yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan itu, beliau menyatakan bahawa bakteria E.Coli dan Coliform telah dijumpai di dalam susu segar 1Malaysia.

E.Coli merupakan bakteria merbahaya yang tidak sepatutnya berada dalam makanan, manakala Coliform yang dijumpai pula berada pada tahap yang tidak sepatutnya.

Dalam sidang media yang diadakan di Kedai Rakyat 1Malaysia Bandar Tun Razak itu, Pua yang ditemani Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, turut mendedahkan label yang tidak sama dengan isi kandungan barangan makanan.

Selain susu segar, lapan produk yang didedahkan beliau ialah sos tiram, jem nenas, ais krim, susu sejat, krimer pekat manis, minyak sapi, sardin, dan kari ayam.

Katanya, kesemua produk ini telah melanggar klausa 13, 13B, 14, 15 dan 16 menurut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Adakah mereka telah buat ujian sama ada sesuai untuk digunakan orang ramai, atau tidak buat kerja sebab ada percanggahan kepentingan? Saya tuntut menteri kesihatan menjalankan siasatan dengan segera. Jangan tidur,” katanya. – Roketkini.com