Berita

MCA hina rakyat Malaysia di luar negara

KUALA LUMPUR, 14 NOV – Tindakan MCA yang tidak mahu membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi merupakan langkah yang terkebelakang, malah menghina rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, cadangan MCA itu melambangkan mentaliti feudal parti itu yang jelas tidak melambangkan nilai demokratik.

“Mereka (MCA) memperlakukan rakyat lebih teruk dari kanak-kanak, seolah-olah rakyat tidak tahu berfikir untuk diri sendiri dan tidak tahu apa-apa.

“Orang yang tidak tahu apa-apa tentang apa yang berlaku di Malaysia bukanlah mereka yang berada di luar negara. Yang tidak tahu apa-apa ialah mereka berada di dalam negara dan terus mengundi Barisan Nasional kerana media di Malaysia memang dikawal ketat oleh BN,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian mengulas bantahan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Ei Kim Hock yang tidak bersetuju agar rakyat Malaysia yang berada di luar negara dibenarkan mengundi.

Menurut laporan Malaysiakini, Ei dipetik sebagai berkata, “Pengundi yang menetap di luar negara tidak patut dibenarkan mengundi. Kita melihat perkara ini dengan serius kerana mereka yang tinggal di luar negara tidak mengetahui dan tidak benar-benar memahami keadaan di Malaysia.”

Justeru Guan Eng yang juga Adun Air Puteh berkata, setiap rakyat yang memegang pasport Malaysia tetap merupakan rakyat Malaysia dan berhak untuk mengundi.

“Cadangan MCA itu sangat menghina, dan ianya perlu dikutuk. Adakah semua rakyat Malaysia yang memegang pasport Malaysia tidak setia pada negara?

“Jika begitu, mereka (MCA) patut tanya (Menteri Pelancongan MCA Datuk Seri Dr) Ng Yen Yen. Dulu beliau pernah ada status pemastautin tetap di Australia…Adakah ini bermaksud beliau bukan rakyat Malaysia?” katanya. – Roketkini.com