Berita

Projek terowong, jalan raya hubungkan Pulau Pinang dan tanah besar akan dibina

KUALA LUMPUR, 14 NOV – Pulau Pinang terus maju selangkah lagi dengan bakal wujudnya terowong bawah tanah menyambungkan Semenanjung dengan tiga jalan utama baru di pulau mutiara itu menjelang tahun 2020.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, ini merupakan projek pembangunan terbesar oleh kerajaan Pulau Pinang yang bakal menjadikan negeri itu sebagai bandar pintar tidak sampai satu dekad lagi.

“Projek ini bukan sahaja khusus kepada Pulau Pinang kerana ianya juga akan membuka peluang perniagaan, pelaburan, pelancongan dan sebagainya kepada keseluruhan kawasan utara Semenanjung, termasuk dengan Thailand,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Empat projek itu yang dianggarkan bernilai di antara RM5 bilion dan RM8 bilion dijangka bermula pada pertengahan 2015 adalah:

i) Terowong bawah tanah Butterworth – Georgetown, sepanjang 6.5 kilometer,

ii) Jalanraya Gurney Drive – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, sepanjang 4.2 kilometer,

iii) Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu – Bandar Baru Air Itam, sepanjang 4.6 kilometer, dan;

iv) Jalan Berkembar Jalan Tanjung Bungah – Teluk Bahang sepanjang 12 kilometer.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, matlamat utama projek itu ialah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas memandangkan Pulau Pinang merupakan negeri yang pesat membangun dengan kedatangan pelancong yang meningkat setiap hari.

“Selain itu, kita mahu menjaga negeri sebagai tapak warisan UNESCO, dan dalam masa sama kita juga mementingkan kepentingan penduduk dengan adanya perjanjian pertukaran tanah dengan mereka,” katanya.

Jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, projek itu, sebagaimana yang biasa diamalkan di bawa pentadbiran Pakatan Rakyat, akan diadakan secara tender terbuka untuk semua syarikat tempatan mahu pun antarabangsa.

“Kerajaan Pulau Pinang tidak berminat untuk menjadi kerajaan berniagaan… Biarlah ahli perniagaan yang buat kerja mereka. Yang penting kerajaan negeri akan memastikan semuanya dilaksanakan secara cekap, akauntabel dan telus,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga tidak mahu kepada “syarikat dua ringgit’ tetapi memerlukan syarikat yang benar-benar serius, selari dengan amalan CAT.

Behubung usaha mengekalkan Pulau Pinang sebagai negeri warisan, Guan Eng berkata beliau tidak berminat untuk mengadakan monorel seperti di Melaka kerana ia akan merosakkan pemandangan negeri yang semula jadinya indah.

Sistem monorel Melaka yang bermula setahun lalu menimbulkan kontroversi kerana telah digantung perkhidmatannya selama sebulan berikutan pihak berkuasa mendapati ia menimbulkan bahaya kepada pengguna. – Roketkini.com