Berita

Pilihan raya di Pulau Pinang keputusan bersama Pakatan Rakyat

SRI KEMBANGAN, 21 NOV – Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bercadang untuk mengadakan pilihan raya tahun ini jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu membubarkan Parlimen dalam masa dua bulan ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan hanya berbincang mengenai pilihan raya peringkat negeri, secara musyawarah awal tahun depan.

“Tahun depan kita perlu berbincang dahulu sama ada kita akan buat bersama atau tidak.

“Jika pilihan raya mengejut diadakan tahun ini juga, kita tidak akan mengadakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor di sini semalam.

Beliau menjelaskan, pendekatan menentukan tarikh pilihan raya Pulau Pinang tidak sama dengan kerajaan Palatan Selangor.

“Saya mahu buat keputusan berdasarkan rundingan bersama dengan rakan-rakan Pakatan apabila sampai masanya,” katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada Khamis lalu berkata Selangor mungkin tidak mengadakan pilihan raya bersama dengan PRU ke-13 jika ia diadakan sebelum Jun 2012 agar dasar dan pelan dalam bajet negeri dilaksanakan terlebih dahulu.

Ketua Menteri atau Menteri Besar berhak membubarkan Dewan Undang Negeri masing-masing untuk mengadakan pilihan raya selepas mendapat perkenaan Sultan atau Yang Dipertua Negeri masing-masing. – Roketkini.com