Rencana

Propaganda BN: Salah siapa jika kita percaya – Oleh Pena Binari

21 NOVEMBER – Sebenarnya sangat-sangat membosankan apabila melihat segala keseragaman politik di Malaysia, terutamanya yang melibatkan perkataan ‘usaha,’ ‘subsidi,’ ‘bantu rakyat,’ dan sebagainya yang secara automatik menimbulkan rasa kurang ajar sesebuah badan politik itu terhadap maruah diri kita sebagai manusia yang dilahirkan bebas.

Dalam masa sama perasaan bosan itu membesar menjadi rasa benci, keji dan jijik serta hina terhadap badan-badan politik yang bertungkus lumus berlawan menunjukkan hasrat dan perihatin terhadap rakyat Malaysia dengan cara terlampau plastik yang melampau-lampau.

KR1M ejen pemangkin IKS?

Sebagai contoh, tujuan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan kata-kata, ia akan menjadi “ejen pemangkin untuk pembangunan industri kecil tempatan menerusi penyumberan bekalan daripada perusahaan kecil dan sederhana dalam negara.”

Hendak membantu industri kecil dan sederhana? Tidak nampak pun usaha ke arah itu. Yang nampak melalui KR1M itu cuma ruang putih yang dicat logo dan slogan kerajaan sahaja adalah.

Mana perginya logo dan ayat pemanis produk industri kecil dan sederhana? Jika sekurang-kurangnya ada produk peneroka Felda, produk pak cik mak cik di kampung, tak mengapa juga. Tetapi yang selalu kerap disebut hanya Mydin sahaja.

Siapa pengilangnya? Siapa yang menghasilkan label paling kreatif di dunia itu? Segalanya setakat ini, kesemua rahsia termasuk ketelusan telah disimpan di bawah karpet, yang juga berkemungkinan karpet dari label ‘1Malaysia.’

Jadi adalah tidak mustahil, selain berlawan minum susu dan lawan harga dengan syarikat swasta gergasi dan membuang masa bergimik sana sini, kerajaan Malaysia yang diselia oleh parti yang mengangkat diri sebagai pejuang rakyat, Barisan Nasional, dilihat sedang membunuh industri-industri kecil dan sederhana dengan memberikan harga yang tidak adil dan peluang yang tidak sama rata.

Sudahlah padang tidak rata, saiz gol tidak ikut Fifa, bola pun terlampau berat untuk disepak ke dalam gol.

Sebenarnya jauh dari itu, kerajaan telah merendahkan maruah dan mengecilkan kemampuan rakyat melalui pakej yang digelar ‘1Malaysia.’

Propaganda basi

Terang lagi bersuluh ianya adalah propaganda murahan dan ketinggalan zaman, malah lebih menghina rakyat yang sepatutnya mempunyai rasa hormat yang tinggi.

Walhal disebalik helah ‘membantu rakyat’ ia lebih kepada ‘membantu parti dan kerajaan’ dan dalam masa sama, keuntungan ekonomi dan politik jangka panjang akan dinikmati kroni-kroni mereka.

Apa yang membantu rakyat miskin di kota di hina dengan diwujudkan sebuah kedai seragam dengan harga, kualiti, dan pengiklanan yang bukan sahaja meragukan, malah dalam masa sama sebagai bahan jenaka buat rakyat yang mempunyai jati diri.

Melihatkan barisan pelbagai produk yang tersusun – putih, logo politik ‘1Malaysia’ dan ianya tidak jauh dari meremangkan bulu roma.

Malah, untuk merasai pengalaman seram itu, lagu tema filem Psycho oleh Bernard Herrmann adalah antara muzik yang patut diiringi apabila melalui barisan produk-produk KR1M. Atau jika sudah terlalu tak masuk akal, gunakan saja lagu dalam filem Pusaka Pontianak yang dilakonkan oleh ‘kugiran’ Ahmad Daud, Aziz Sattar, Ahmad Nefsu dan Ibrahim Pendek.

Kesan sekatan kebebasan

Dengan tidak adanya kebebasan dan demokrasi pasaran yang tertutup di bawah karpet-karpet korup, kerajaan Malaysia melalui KR1M dilihat hanya mahu bersaing dengan industri-industri kecil sahaja, daripada bersaing di peringkat antarabangsa.

Kerana tidak memahami, takut hilang undi, malah tidak berniat pun memajukan pembangunan negara dan rakyat dari pelbagai sudut masalah seperti ekonomi, politik dan budaya, maka hasil yang dapat dilihat ialah dengan adanya keseragaman, produk kurang bermutu dan slogan-slogan murahan yang tertera di produk-produk ‘murah’ di KR1M.

Daripada membuka kebebasan dan ruang demokrasi, sebaliknya BN mengambil pendekatan pintas dengan terus mencengkam rakyat secara halus dan nyata.

Jika setakat ini sahaja kemampuan kerajaan BN yang mempunyai kuasa dan pengalaman lebih 50 tahun mentadbir sesebuah negara, maknanya Malaysia sebagai sebuah negara merdeka sedang diambang kecelaruan identiti.

Namun, itu memang permainan politik BN. Jika rakyat merelakannya, jangan dituding jari kepada orang lain pula selepas itu.

Adalah lebih demokratik apabila rakyat menggunakan segala ruang yang dibenarkan Perlembagaan dengan menghasilkan ‘karya baru’ dari lopak-lopak yang dibiarkan BN selama ini, iaitu menebarkan jala kebebasan buat generasi sekarang, atau setidak-tidaknya yang akan datang. – Roketkini.com