Rencana

Reformasi polis baik untuk rakyat, negara – Oleh Adil Mat Selamat

21 NOVEMBER – Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta masyarakat mengemukakan idea atau cadangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia bagi mencegah dan mengawal kadar jenayah yang sedang berleluasa.

Memang kita menyambut baik kenyataan KPN ini. Malah sememangnya rakyat dan pihak berkuasa harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam membendung dan mengawal kegiatan jenayah. Tidak hanya satu pihak saja terbeban.

Beban tugas polis

Kita juga simpati dengan tanggungjawab polis yang semakin besar dan berat. Kalau dahulu, tugas utama polis ialah mencegah jenayah sahaja, sekarang merangkumi layanan karenah dan kehendak pemimpin negara dan para pemimpin politik parti pemerintah.

Faham-faham sajalah di Malaysia ini, politik UMNO dilihat lebih berkuasa daripada institusi awam seperti PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Malah, kumpulan-kumpulan pinggiran UMNO dengan politik perkauman mereka pun seolah-olah lebih berkuasa daripada agensi-agensi kerajaan.

Sejak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi, kita sudah mendengar isu yang berlingkar tentang penguatkuasaan undang-undang dan pencegahan jenayah termasuk isu penguatkuasaan dan kredibaliti pihak berkuasa.

Jenayah sememangnya akan terus wujud kerana pelakunya adalah manusia seperti kita yang mempunyai kehendak dan kemahiran serta alasan yang boleh jadi munasabah tetapi biasanya tidak masuk akal dan lemah.

Tidak kira baik di negara Islam atau pun negara sekular, jenayah tetap akan wujud. Jenayah wujud selagi ada masalah sosial, persaingan kuasa ekonomi, dan “peluang-peluang” melakukan jenayah termasuk rasuah, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan sebagainya.

Jenayah bukan lagi sekadar mencuri pensil, kambing atau cangkul jiran, sebaliknya dalam dunia moden jenayah semakin canggih. Kes rompakan bukan lagi sekadar menggunakan senapang atau pistol, sebaliknya boleh saja dilakukan dengan menggodam sistem maklumat.

Lebih menyukarkan pihak berkuasa mengesannya adalah seperti kes salah guna kuasa menteri, pengarah atau ketua jabatan menerusi wang peruntukan, wang jabatan atau wang kementerian. Kesemua ini adalah jenayah dan ia tetap suatu rompakan.

Namun jenayah kekerasan tetap terus berlaku; pecah rumah, ragut, samun, rogol, culik dan buli masih berleluasa.

Justeru kita sedar bahawa permintaan KPN merupakan dilema jabatan dan anggota keselamatan dan penguatkuasa undang-undang seperti PDRM.

Mengapa polis mesti berubah

Kita tahu, ramai polis yang benar-benar jujur dan profesional, namun, budaya korup dalam masyarakat kita tidak mengizinkan pegawai dan anggota yang jujur ini melaksanakan kerja mereka dengan penuh amanah dan berani.

Kita juga harus sedar bahawa polis juga manusia, sama seperti kita sebagai rakyat, malah sama seperti manusia yang memilih untuk menjadi penjenayah. Yang membezakan polis dan penjenayah, selain pakaian seragamnya, adalah tugas, tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

Maksud itu jelas bahawa sebelum polis sebagai pelaksana yang menguatkuasakan undang-undang, mereka juga terikat dengan undang-undang dan wajib mematuhinya, bukan sekadar slogan tetapi harus dilihat bersih setiap masa.

Menzahirkan niat, cara dan iltizam sebagai anggota penguatkuasa harus dapat dilihat sejelas-jelasnya. Mereka ini bukan soldadu upahan, mereka adalah Polis Diraja Malaysia.

Imej ini juga bukan sekadar kosmetik luaran semata-mata, sebaliknya harus dilihat wibawa dengan rekod dan prestasi yang bagus. Jika tidak, perompak pun tak hormat polis!

Untuk itu, sambil kita mencari jalan yang terbaik dalam menangani jenayah, PDRM terlebih dahulu harus direformasikan – dasarnya, sistem kerjanya, prosedur standard yang tetap untuk setiap penyiasatan, agihan tugas yang sekata, etika ketika menjalankan tugas dan sistem kenaikan pangkat yang lebih adil. Semua ini mesti dilihat sebagai satu pakej reformasi yang menyeluruh.

Di pihak rakyat pula, jika PDRM ikhlas mahu melaksanakan reformasi ini, ia perlu diberi sokongan penuh. Tidak perlu mengutuk asalkan pelaksanaan reformasi jelas menuju arah perubahan yang lebih baik.

Jika ini dapat dilakukan, kita percaya apa jua idea atau cadangan untuk menangani hal jenayah akan menjadi lebih mudah dilaksanakan. Mencari ubat harus juga melihat bagaimana ubat itu boleh memujarabkan.

Pada 2007 sewaktu pentadbiran Abdullah sebagai Perdana Menteri, sudah dicadangkan beberapa mekanisme untuk menambah baik mutu, pretasi dan kredibaliti PDRM.

Hasilnya, kerajaan pada masa itu bersedia untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Dan kita tahu, banyak cadangan yang bernas telah dikemukakan. Ia bukan untuk ‘menghambakan’ pihak polis, sebaliknya untuk menambaik baik supaya polis lebih dihormati, bukan dibenci atau ditakuti.

Namun sehingga kini, kita tidak mendengar apa-apa tentang IPCMC. Sebaliknya polis terpaksa mengikut kehendak Datuk Seri Najib Razak pula dengan idea baru Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), seperti mana jabatan dan kementerian yang sedia ada.

Seolah-olah polis itu sama saja tugas mereka dengan birokrat kerajaan. Ini mungkin menambah lagi beban kerja polis yang selama ini sudah ditekan dengan perkara lain yang sepatutnya ditumpukan kepada pencegahan dan tindakan terhadap jenayah serta penjenayah.

Yang lebih menyeramkan kita lagi, dalam isu IPCMC, ada menteri menyatakan bahawa IPCMC tidak boleh menyiasat SPRM kerana SPRM merupakan agensi penguatkuasa bagi suruhanjaya tersebut.

Jika polis tidak boleh menyiasat SPRM, siapa pula yang berhak melakukan siasatan ke atas SPRM itu? Bukankah SPRM pula boleh menyiasat PDRM?

Lihalah kepincangan sistem yang kononnya ditubuhkan untuk memperbaiki sistem yang korup. Hasilnya tetap korup.

Reformasi polis akan menjadikannya badan yang dihormati

Penat-lelah polis mengawal jenayah, susah-payah kita beri cadangan dan idea, tetapi akhirnya semua ini akan menjadi sia-sia jika sistem yang lemah dan terdedah kepada penyelewengan tidak direformasikan.

Justeru, dalam kita mencari jalan atau kaedah demi membendung jenayah, jangan lupa bahawa pihak berkuasa – sebagai pemegang amanah yang diberi kuasa oleh rakyat dan sepatutnya menunjukkan teladan – harus berubah terlebih dahulu.

Jika imej polis sebagai pihak yang kalis rasuah, pasti penjenayah rompak, ragut dan rogol serta  penjenayah kolar putih tidak akan berani melakukan jenayah serta korupsi.

Malaysia tidak unik dari segi jenayah dan korupsi. Di dunia Barat pun telah wujud korupsi polis, malah ada yang bersekongkol dengan penjenayah. Tetapi kebanyakan gejala buruk itu semakin terhakis kerana masyarakat madani Barat serta negara-negara matang demokrasi telah berani bangkit menuntut reformasi polis.

Apabila polis tegas dan berani tanpa rasuah, jenayah dalam apa bentuk pun lebih mudah ditangani.

Pembuat undang-undang yang tertinggi di Malaysia adalah Parlimen yang merupakan tiang seri demokrasi negara. Walau pun demokrasi kita mungkin cacat, ia tetap demokrasi. Maknanya ruang untuk memperbaiki dan mereformasikannya masih luas terbentang.

Adalah lebih baik jika semua agensi keselamatan dan badan penguatkuasaan undang-undang diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen. Bukankah Parlimen itu suara yang mewakili semua rakyat Malaysia?

Barangkali UMNO-BN takut jika polis benar-benar profesional, mereka juga kena mohon permit untuk Najib berceramah! Atau lebih berat lagi, Jabatan Siasatan Komersil PDRM dengan SPRM yang direformasikan akan sibuk dengan fail-fail kewangan para menteri dan keluarga mereka. – Roketkini.com