Berita

Najib terima pecacai siber kaki fitnah, petanda PRU kotor, penuh penipuan

KUALA LUMPUR, 21 Nov –  Apabila Datuk Seri Najib Razak secara rasminya mengiktiraf pencacai siber kaki fitnah pro-UMNO, ia  jelas membuktikan Barisan Nasional  terlibat dalam kempen politik kotor yang penuh dengan fitnah dan penipuan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri akhirnya mengakui BN bukan sahaja memaafkan tindakan keji pecacai siber pro-BN, malah menggalakkan mereka meneruskan kerja-kerja kotor itu.

“Najib menyokong pencacai siber yang telah menyebarkan fitnah dan penipuan liar bukan sahaja terhadap Pakatan Rakyat, malah termasuk pemimpin-pemimpinnya dan kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian sebagai mengulas pelancaran Sukalerawan Media Sosial 1Malaysia (myVO1CE) oleh Najib yang ditubuhkan bagi menerangkan dan mempertahankan dasar kerajaan BN melalui internet kelmarin.

Guan Eng adalah antara mangsa utama yang kerap difitnah, dikecam dan diserang tanpa sebarang bukti oleh para pemimpin UMNO dan BN serta blogger upahan mereka.

Malah sejak mengambil alih pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas PRU 2008, beliau menjadi mangsa fitnah lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, hampir setiap hari dengan disokong oleh media umum termasuk TV dan radio kawalan UMNO-BN.

Dalam fitnah terbaru terhadap Guan Eng bulan lalu, anak lelakinya yang masih bersekolah menjadi mangsa oleh pencacai siber UMNO-BN. Mereka memfitnah anak lelakinya mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan sekolahnya, walhal perkara itu telah dibuktikan bohong dan tidak berlaku, malah dinafikan sendiri oleh pengetua sekolah itu.

“Seorang pemimpin UMNO Pulau Pinang Dr Novandri Hasan Bari adalah blogger yang terlibat menyiarkan fitnah terhadap anak lelaki saya… Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang turut mengikut sama dengan kata-kata kotor dan memalukan terhadap anak saya itu, juga hadir ketika pelancaran ‘tentera siber’ oleh Najib itu,” katanya.

Beliau meramalkan PRU ke-13 nanti akan menjadi yang paling kotor dalam sejarah berasaskan sejarah dan sifat semula jadi pecacai siber UMNO-BN yang tidak berhati perut dan bersikap keji itu yang akan menjadi ‘tentera siber’ Najib. – Roketkini.com