Berita

APA adalah penghinaan kepada Perlembagaan, rakyat

KUALA LUMPUR, 23 NOV – Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 (APA) dan penerusan amalan tahanan tanpa bicara adalah satu penghinaan kepada Perlembagaan serta bertentangan dengan jaminan Perdana Menteri untuk memberi kelonggaran dan menghormati hak rakyat.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, cadangan APA yang dibentangkan itu adalah satu lagi langkah ke belakang yang tidak akan menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi.

“Ia tidak demokratik terhadap Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun.

“Cara pencegahan itu sangat tidak demokratik, penuh dengan karenah birokrasi dan bakal membuka peluang kepada penyalahgunaan kuasa.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menguburkan harapan indah yang beliau cipta dua bulan lalu berhubung mahu jadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia,” katanya mengulas pembentangan APA dan pengumuman kerajaan Barisan Nasional untuk mengekalkan tahanan tanpa bicara dalam dua akta baru bagi menggantikan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata bahawa kerajaan yang akan membubarkan ISA akan tetap mengekalkan tahanan tanpa bicara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang sibuk memperkenalkan undang-undang zalim di kala masyarakat global sedang bangun memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia.

“Siapa yang umum mahu jadikan Malaysia negara demokrasi terbaik? Siapa yang perkenalkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011?  Itulah kerajaan Malaysia.

“Prinsipnya bertentangan dengan apa diumumkan,” katanya.

Justeru, beliau mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan membentangkan memorandum kepada Suhakam esok agar mendesak kerajaan menarik balik APA dan mengkaji semula pengekalan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara. – Roketkini.com