Rencana

APA yang zalim, kejam dan bersifat komunis – Oleh Daing Yahya

23 NOVEMBER – Demokrasi bukan sekadar menggalakkan, malah memastikan setiap individu dan masyarakat terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam proses membuat dasar.

Secara objektifnya, demokrasi mengizinkan sesiapa jua yang mewakili mana-mana pihak termasuk institusi untuk memberi pandangan dan menuntut sesuatu hal dilaksanakan.

Namun, pentadbiran Malaysia yang mengakui mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan hanya mampu menjual cerita tentang demokrasi kepada pemimpin-pemimpin negara asing.

Dari segi amalannya, rakyat Malaysia semakin hari semakin kehilangan hak. Bukan sahaja hak ekonomi dan peluang saksama semakin terhapus, hak kebebasan yang selama ini dicengkam, terus dikekang.

Satu lagi undang-undang kuku besi

Tanpa banyak bicara atau perbahasan umum, tiba-tiba negara dikejutkan dengan pengumuman bahawa kerajaan Barisan Nasional telah membentangkan satu rang undang-undang bernama Akta Perhimpunan Aman (APA) 2011 di Dewan Rakyat semalam.

Antara kandungan penting APA yang dicadangkan itu:

* Notis awal 30 hari untuk berhimpun, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dtetapkan oleh Menteri Dalam Negeri.

* Selepas memaklumkan, perhimpunan boleh diteruskan, kecuali terdapat bantahan daripada polis

* Tiada protes jalanan dibenarkan.

* Tiada protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat.

*  Polis dibenarkan mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal mengadakan perhimpunan diserahkan kepada polis.

* Polis dibenarkan mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000

* Individu bawah umur 21 tidak dibenar menganjurkan perhimpunan; dan

* Mereka yang berumur 15 tahun ke bawah tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam perhimpunan, termasuk acara berkaitan kebudayaan dan keagamaan seperti perarakan jenazah, walau pun perhimpunan itu telah diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri.

Seksyen 15 APA menyatakan bahawa polis boleh mengenakan sekatan ke atas suatu perhimpunan bagi maksud keselamatan atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain.

Seksyen 15(2)(h) pula membenarkan Ketua Polis Daerah membuat keputusan mengenai:

  • Tarikh, masa dan tempoh perhimpunan, tempat perhimpunan.
  • Cara perhimpunan.
  • Kelakuan peserta semasa perhimpunan.
  • Pembayaran kos pembersihan akibat daripada mengadakan perhimpunan.
  • Apa-apa faktor alam sekitar, sensitiviti budaya atau agama dan kepentingan sejarah yang ada pada tempat perhimpunan, kebimbangan dan bantahan orang yang mempunyai kepentingan.
  • Atau apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu atau suai manfaat oleh pegawai yang menjaga daerah polis berhubung dengan perhimpunan itu.

Mereka yang melanggar sekatan dan syarat boleh didenda tidak melebihi RM10, 000.

Selama ini rakyat prihatin dan masyarakat sivil telah menuntut supaya Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang mengekang kebebasan berhimpun secara aman kerana ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sekarang ialah mencabul dengan lebih kasar lagi jaminan Perlembagaan kepada rakyat. Cebis-cebis kebebasan yang ada pada rakyat, yang telah disekat oleh Akta Polis, kini ditutup sama sekali.

Inilah amalan lazim yang diamalkan di semua negara komunis, sama ada pada zaman empayar Soviet Union atau yang masih diamalkan sekarang di Korea Utara dan Cuba, serta sewaktu pemerintahan kuku besi fasis Jerman dan Itali dahulu.

Malah penjajah British pada zaman Malaya dahulu tidak tergamak untuk bertindak sebegitu zalim terhadap jajahannya kecuali kepada gerila komunis dan konco-konco mereka. Inilah warisan penjajah yang terus diamalkan oleh kerajaan BN yang kononnya anti-penjajah.

Menutup mata, mulut dan minda rakyat

Jelas ia menunjukkan bahawa kerajaan BN dengan sewenang-wenangnya memberi kuasa tambahan kepada polis. Yakni kuasa yang tidak terhad kepada polis untuk bertindak keras kepada rakyat sendiri jika berani mengamalkan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

APA pada hakikatnya bertujuan untuk menghalang warga Malaysia dari menyatakan apa jua protes atau bantahan dalam apa jua isu.

Paling jelas, ia akan mematikan sebarang usaha untuk mengadakan perhimpunan aman seperti Bersih dan Bersih 2.0 yang sebelum ini telah mendedahkan kepincangan sistem pilihan raya kepada seluruh rakyat.

Mengapa APA begitu tergesa-gesa mahu diluluskan sebagai undang-undang? Tentunya kerana pilihan raya umum ke-13 sudah semakin hampir. Kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tidak sanggup lagi menerima hakikat dan kenyataan bahawa rakyat Malaysia sudah berani untuk memperkatakan yang benar melalui perhimpunan aman secara beramai-ramai.

Untuk menutup mata, mulut dan minda rakyat, maka dibuat APA bagi memastikan rakyat kembali kecut perut dan rela dicucuk hidung seperti yang dialami oleh rakyat di negara-negara komunis dan fasis.

UMNO-BN dibogelkan, rakyat ditelanjangkan

Inilah ‘transformasi’ yang sebenar Datuk Seri Najib Razak. Daripada slogan 1Malaysia yang kononnya mahu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, ia diperluaskan kepada transformasi politik, ekonomi dan kerajaan. Akhirnya rakyat yang ditelanjangkan dan UMNO-BN dibogelkan.

Apa tidaknya, kalangan rakyat yang menaruh harapan terhadap ‘reformasi’ Najib kini hanya mampu menggigit jari. Segala janji bukan sahaja tidak dikotakan, malah dicabuli. Yang diminta oleh rakyat, dibuang ke dalam ting sampah. Yang ditolak rakyat, itu yang dibawakan.

Selepas ini, tiada lagi perhimpunan Bersih, tiada lagi perhimpunan PPSMI, tiada lagi perhimpunan menuntut hak, tiada lagi perhimpunan perpaduan ummah, tiada lagi perhimpunan membantah kenaikan harga minyak dan harga barang, tiada lagi perhimpunan anti-rasuah, tiada lagi perhimpunan anti-Israel di hadapan masjid.

Yang mungkin ada hanya polis berhimpun untuk memastikan tiada perhimpunan, dan jika ada pun, untuk menangkap penganjur dan orang-orang yang menyertai perhimpunan aman.

Malah jelas perkataan “aman” dalam APA menunjukkan kerajaan UMNO-BN bukan lagi sekadar mahu bertindak terhadap perhimpunan “haram”, sebaliknya mahu menghapuskan perhimpunan halal yang “aman”.

Kini “aman” menjadi satu lagi perkataan kotor dalam kamus kerajaan UMNO-BN yang telah menambah kosa kota yang diharamkan untuk rakyat seperti “perhimpunan”, “hak asasi manusia”, “demokrasi”, “kebebasan” dan banyak lagi.

Walau pun kerajaan UMNO-BN telah dibogelkan atas kelucahan mereka mencabul Perlembagaan Persekutuan, rakyat akan tetap ditelanjangkan jika menerima sahaja pencabulan hak ini. Jika UMNO-BN terus kekal berkuasa selepas PRU ke-13 nanti, ia mencerminkan rakyat rela hidup di bawah pemerintahan zalim yang hampir sama dengan amalan kuku besi regim komunis dan fasis.

Pembunuh demokrasi

APA yang bakal dikuatkuasakan ini adalah alat untuk membunuh demokrasi. Ia juga akan menjadi senjata licik untuk menghukum rakyat dan merampas hak rakyat.

Kerajaan UMNO-BN sudah sedar bahawa jika rakyat dibiarkan mengamalkan hak dan kebebasan, mereka mungkin menolak pemerintahan yang ada untuk membuka jalan kepada kerajaan yang baru dalam PRU akan datang.

Kita semua sedar bahawa sebelum APA digubal, kuasa polis dalam hal-ehwal hak dan kebebasan rakyat sudah terlalu besar. Cadangan-cadangan yang baik seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) telah terkubur, hingga imej dan kredibiliti polis masih di takuk lama.

Yang patut menjadi keutamaan plis – mencegah jenayah – seperti rompakan, ragut, bunuh, rogol dan jenayah kolar putih jarang diberi perhatian. Yang sering didengar berlaku adalah kehilangan barang bukti kes, tahanan lepas lari, salah guna kuasa dan rasuah yang masih gagal dibendung.

Kini, dalam keadaan polis yang masih belum meyakinkan prestasi pencegahan jenayah dan mesra rakyat, akan diberi pula kuasa tambahan untuk bertindak terhadap rakyat yang hanya mahu mengamalkan hak yang diberikan di bawah Perlembagaan.

Polis adalah agensi awam yang bertanggungjawab kepada rakyat dan memegang amanah rakyat. Imej polis akan terus terhakis kerana terpaksa mengikut telunjuk kerajaan Najib. Kuasa yang ada pada mereka hanya digunakan untuk merampas demokrasi dari rakyat.

Hakikatnya, segala program ‘transformasi’ dan ‘reformasi’ Najib hanya menuju ke satu arah sahaja – membunuh demokrasi, mengekang dan menindas hak rakyat sendiri.

Dan undi dalam pilihan raya pula akan ditagih daripada rakyat yang ditindas ini. Inilah ‘kehebatan’ Najib dan kerajaan UMNO-BN. – Roketkini.com