Berita

Ikut telunjuk BN tidak munabasah

Gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

GEORGETOWN, 23 NOV – Cabaran supaya negeri-negeri Pakatan Rakyat mengikut telunjuk Barisan Nasional untuk mengadakan pilihan raya secara bersama dalam masa terdekat ini, kononnya untuk menjimatkan wang rakyat, adalah satu pendirian yang tidak munasabah, tidak demokratik dan tidak bertanggungjawab.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan pusat BN yang sepatutnya menunaikan janji-janji ‘trasformasi’ terlebih dahulu, terutamanya melaksanakan cadangan-cadangan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) bagi menambah baik sistem pilihan raya.

Katanya, buat masa ini PSC masih lagi bermesyuarat dan sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak, dan kerana itu, tidak munasabah jika PRU diadakan sebelum jawatankuasa tersebut mengemukakan cadangan-cadangannya.

“Rakyat telah pun menegaskan pendirian yang lantang dan jelas pada perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu yang menuntut proses demokrasi dan pilihan raya yang bersih.

“Kewujudan PSC selepas Bersih 2.0 menunjukkan BN tidak dapat menidakkan suara rakyat. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memenuhi tuntutan rakyat,” katanya.

Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata demikian mengulas Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong yang mencabar Pakatan supaya tidak membazirkan wang rakyat dengan membubarkan DUN Pulau Pinang apabila Najib menetapkan tarikh PRU ke-13 nanti.

Tempoh penuh Parlimen dan semua DUN, kecuali Sarawak yang mengadakan pilihan raya negeri pada April lalu, berakhir sebelum pertengahan tahun 2013.

Justeru itu, Chow mempersoalkan sama ada PRU yang lebih awal terpaksa diadakan oleh BN kerana Najib sudah tidak yakin dengan kewibawaan UMNO dan BN untuk memerintah sehingga tamah tempohnya.

“Adakah gula-gula yang diberikan dalam Bajet 2012 bulan lalu yang akan dijadikan kayu ukur persembahan BN? Bagaimana pula dengan salah laku jentera kerajaan dalam pilihan raya?” katanya. – Roketkini.com