Berita

Melanggar Perlembagaan, tarik balik rang undang-undang APA

KUALA LUMPUR, 25 Nov – “Apa itu protes jalanan? Perhimpunan aman itu sudah menunjukkan ia adalah satu protes.”

Persoalan itu dibangkitkan oleh Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah untuk mempertikaikan rang undang-undang Akta Perhimpunan Aman (APA) yang tidak demokratik.

Jelas beliau, istilah ‘protes jalanan’ hanyalah definisi yang digunakan kerajaan bagi melindungi tindakan untuk menyekat perhimpunan aman.

Katanya, Malaysia juga menjadi negara pertama di dunia yang menghalang rakyatnya dari megadakan perhimpunan aman berdasarkan umur.

“Ia tidak seharusnya berlaku, dan jika tidak bersetuju, berundinglah dahulu. APA harus disamaratakan diantara undang-undang dan rakyat,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menghantar memorandum membantah rang undang-undang APA di pejabat Suhakam di sini semalam.

Antara wakil Pakatan yang hadir ialah Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen PKR Subang Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen PKR Ampang Zuraidah Kamaruddin.

Menurut Fong, kerajaan sepatutnya menarik balik APA kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan BN perlu mendapatkan dahulu pandangan rakyat Malaysia termasuk wakil-wakil rakyat Pakatan sebelum melaksanakannya,” katanya.

Mahfuz pula meminta Suhakam lebih agresif menunjukkan pendirian dalam mempertahankan hak rakyat, selaras dengan portfolionya menjamin perlindungan hak asasi manusia.

“Kita pohon agar Suhakam mengambil berat kerana ia bukan sahaja mengenai perhimpunan dan demonstrasi aman yang diadakan sekadar beberapa kali setahun tetapi juga berkaitan kekangan untuk mengadakan ceramah harian yang masih dicengkam undang-undang tidak demokratik,” katanya. – Roketkini.com