Berita

Rakyat, peguam bantah APA

KUALA LUMPUR, 29 NOV –  Lebih 1,000 rakyat Malaysia prihatin termasuk Majlis Peguam, aktivis dan golongan muda hari ini telah menyertai perhimpunan menuntut pembatalan rang undang-undang Perhimpunan Aman 2011 (APA) yang kini meletakkan Malaysia sebagai negara yang tidak lagi demokratik di dunia.

Perhimpunan aman anjuran Majlis Peguam atas nama “Walk for freedom of walk” itu bermula jam 11 pagi di Taman Tasik Perdana dan mula berarak ke Parlimen sekitar jam 12 tengah hari.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee menjelaskan bahawa banyak peruntukan dalam APA itu hanya akan terus menyekat kebebasan individu.

“Adalah harapan kami agar Ahli-Ahli Parlimen membantah undang-undang itu mengikut ketetapan parti politik masing-masing,”katanya kepada pemberita sebelum perhimpunan bermula.

Sekitar jam 1 petang, Lim telah menyerahkan draf rang undang-undang alternatif Perhimpunan Aman yang disediakan Majlis Peguam dan nota bantahan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng yang turut berada bersama, mengecam APA sebagai tidak demokratik, dan bakal membawa Malaysia jauh ketinggalan berbanding Myanmar yang hanya memerlukan lima hari untuk mengadakan perhimpunan aman.

“Oleh itu, APA harus mendengar orang ramai melalui Jawatankuasa Parlimen bagi mengkaji semula,” katanya kepada Roketkini.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah menuntut agar kerajaan menurunkan had umur kepada 15 tahun agar selari dengan Konvensyen Kanak-kanak sedunia.

“Perkara (had umur 21 tahun ditetap APA) itu tidak mengikut konvensyen tersebut dan Malaysia mengambil langkah yang bercanggah,” katanya kepada pemberita.

Antara kumpulan aktivis yang menyertai ialah Perhimpunan Rakyat Kuala Lumpur – sekumpulan anak muda dari OccupyDataran.

Selain Majlis Peguam dan aktivis serta rakyat Malaysia lain, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang berpakaian hitam  siap dengan slogan anti-LGBT melaungkan kata-kata kesat kepada Majlis Peguam dan aktivis lain.

Antara kata-kata kesat mereka ialah, “Kami bantah seks bebas,” dan “main bontot tak boleh berak,” sebelum membakar kain kuning – simbol diraja. Tidak diketahui apa motif sebenar mereka. – Roketkini.com