Berita

Tarik balik rang undang-undang zalim APA!

KUALA LUMPUR, 29 NOV – DAP dan Pakatan Rakyat hari ini menggesa kerajaan Barisan Nasional menarik kembali serta-merta Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 (APA) yang patut digelar “rang undang-undang perhimpunan haram”.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ini adalah kerana APA lebih kepada mengharamkan hak berhimpun secara aman dan memberi kuasa mutlak kepada polis yang memihak kepada BN yang akan menghakiskan lagi hak asasi manusia di Malaysia.

“Jangan cemarkan imej Malaysia dengan meluluskan rang undang-undang ini.

“APA harus ditarik balik dengan serta-merta dan digubal semula…ini tidak boleh diselamatkan dengan apa-apa pembetulan atau pindaan,” katanya ketika membahas pembentangan APA di Dewan Rakyat Parlimen hari ini.

Tambah Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, tidak ada mana-mana negara demokratik dalam dunia ini yang melarang sama sekali protes jalanan.

“Namun di Malaysia, sesiapa yang mengambil bahagian dalam protes jalanan akan didenda RM10,000,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan memberi contoh negara demokrasi seperti United Kingdom yang langsung tidak mempunyai kewajipan memberi pemberitahuan awal kepada polis.

“APA yang dicadangkan ini telah mengambil petikan-petikan yang berbunyi merdu dari negara demokratik itu dan (kerajaan) telah memutar-belitkannya untuk menindas rakyat.

“Saya ingin bertanya sama ada APA ini diciplak daripada model Queensland Peaceful Assembly Act 1992 (Australia)? Sekiranya benar, mengapa tidak mengikuti keseluruhannya yang berteraskan hak asasi manusia?

“Sebaliknya yang baik tidak diikuti. APA ini telah mengambil yang keruh, buang yang jernih pula,” katanya.

Guan Eng  turut menyindir kerajaan BN kerana dari jangkaan hasil denda RM10,000 itu kemungkinan akan digunakan bagi melunaskan hutang kerajaan yang kian meningkat.

“Bayangkan, jka kesemua 50,000 peserta Bersih 2.0 didenda, kerajaan dapat mengumpul sebanyak RM500 juta.

“Tidak cukupkah dengan GST yang akan diperkenalkan sehinggakan rakyat yang hendak berhimpun pun terpaksa dikenakan cukai?” katanya.

Berhubung notis awal yang dikurangkan dari 30 hari kepada 10 hari perlu diberikan kepada pihak polis, Guan Eng berkata ia merupakan muslihat yang kotor.

“Walau pun dikurangkan kepada 10 hari, ia adalah 10 hari yang terlalu panjang,” katanya. – Roketkini.com