Rencana

Apabila para peneroka Felda marah… – Oleh Daing Yahya

30 NOVEMBER – Sepanjang kewujudan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), hasil gabungan Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) dengan Lembaga Pendaftaran dan Pelesenan Minyak Kelapa Sawit (PORLA), ia telah memberi impak besar terhadap kuantiti pengeluaran, mutu dan pasaran minyak sawit.

Sejak itu, Malaysia mencatat pengeluaran eksport minyak sawit antara yang terbesar di dunia.

Kejayaan awal ini jelas membuktikan bahawa peranan kerajaan dalam membuka peluang dan aktiviti pertanian, perniagaan dan kegiatan ekonomi kepada masyarakat, amat penting untuk memastikan kejayaannya.

Peranan MPOB dan kerajaan dengan penyertaan peneroka Felda adalah tiga elemen yang menjadi faktor kejayaan pengeluaran sawit. Peneroka Felda generasi pertama yang kesemuanya Melayu berasal daripada keluarga miskin dan kurang berpendidikan. Dengan wujudnya Felda maka nasib warga ini terbela.

Tidak menghairankan hari ini ramai anak-anak peneroka Felda yang sudah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Setidak-tidaknya, penat lelah dan nasib ibu bapa mereka akan terbela suatu hari nanti.

Dari segi sejarahnya, ketiga-tiga elemen ini – MPOB, kerajaan dan peneroka – telah memain fungsi peranan yang betul dan mantap.

Apabila kerajaan memberi ruang dan peluang yang secukupnya kepada peneroka, maka para peneroka Felda ini dapat bekerja dan mendapat pulangan yang setimpal, produktiviti mereka juga meningkat.

Akhirnya pemain utama dalam industri seperti MPOB akan mudah melaksanakan tanggungjawabnya, iaitu menghasilkan produk yang bermutu.

Jika salah satu dari tiga elemen ini menimbulkan masalah, sudah pasti ia memberi impak yang besar terhadap produk tersebut, kesannya adalah kepada pasaran dan pulangan. Maknanya semua pihak akan rugi. Cita-cita pun terbengkalai.

Oleh itu, apa yang berlaku pada masa ini terutamanya yang membabitkan peranan kerajaan dan masyarakat Felda tidak harus dipandang ringan. Ini pasti akan merugikan semua pihak, lebih-lebih lagi kerajaan yang memerintah.

Apa yang sedang dan bakal berlaku

Isu yang masih terus menjadi kontraversi hingga hari ini ialah yang membabitkan pihak pengurusan Felda yang di belakangnya adalah kerajaan dan satu lagi pihak peneroka Felda. Kini setelah 55 tahun Felda diwujudkan, dimensi sosial, ekonomi, budaya yakni persekitarannya telah berubah sama sekali.

Keperluan masyarakat Felda semakin tinggi, anak semakin ramai dan semakin membesar, generasi kedua pula agak kurang berkemahiran kerana latihan yang diberi tidak memadai, subsidi pula semakin mengecil.

Ini bukan sekadar menjadi rungutan pihak peneroka, malah ia sudah menjadi krisis yang besar. Kita agak hairan hingga hari ini masih wujud beberapa kawasan Felda terutamanya di sebelah utara pantai timur Semenanjung, keadaan asas yang amat daif seperti ketiadaan bekalan air bersih.

Sungguh pun kes ini dianggap agak terpencil, bagi masyarakat Felda yang berpuluh-puluh ribu orang itu merasa terhina dengan keadaan ini.

Masalah Felda kini sudah bertukar menjadi krisis apabila sektor korporat Felda yang dipimpin oleh elit Melayu yang juga kroni UMNO menguasai pengurusan dan hasil titik peluh peneroka Felda.

Asalnya Felda ditubuhkan untuk meningkat ekonomi kaum Melayu, yang kemudian disesuaikan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971. Namun kini, matamat dan fungsinya sudah berbeza sekarang.

Hasil penat lelah para peneroka Felda kini dikumpul dan dijadikan modal niaga oleh pimpinan UMNO kepada ahli-ahli korporat yang tidak menumpahkan titik peluh seperti mana peneroka

Kita boleh memahami jika dasar Felda itu diubah suai untuk disesuaikan dengan keadaan zaman ini, tetapi isu pokoknya ialah wang keuntungan Felda ini gagal diurus dengan cekap untuk memastikan kualiti kehidupan masyarakat Felda terbela. Malah dengan hasil keuntungan itu juga, peneraju Felda gagal meningkatkan tahap produktiviti para peneroka.

Kedudukan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang mempunyai reputasi korupsi sewaktu aktif bersama UMNO sehingga digantung keahlian parti pada pertengahan tahun 2005 juga goyangs sekarang.

Isu saman-menyaman antara peneroka, Felda dan kerajaan, isu keperluan asas peneroka Felda, isu pendidikan dan sosial generasi ketiga Felda hanya menunjukkan pentadbiran yang kelam-kabut kerana matlamat asas demi kebaikan dan kebajikan peneroka semakin diabaikan.

Pengerusi Felda hina peneroka

Dalam isu terbaru, Isa telah didakwa oleh peneroka Felda memberi ucapan tidak warasnya berkaitan bantahan terhadap perlantikannya serta isu penyenaraian Felda Global Ventures yang semuanya kini semakin meleret-leret.

Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Shamsuddin Othman yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda telah mendakwa Isa menghinanya semata-mata kerana pihak peneroka membantah proses penyenaraian tersebut.

Menurut laporan media, Isa dituduh pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada 12 November lalu telah menghina Shamsuddin dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.

JKPP diiktiraf secara rasmi oleh Felda dan ia mewakili 120,000 peneroka dengan 1.6 juta jumlah anggota keluarga di seluruh negara.

Melihat dari kesemua keadaan ini, jelas menunjukkan satu trend penguncupan tahap produktiviti peneroka dan Felda itu sendiri. Trend ini bakal terjadi sekiranya krisis Felda terus berlarutan.

Cara menyelesaikan krisis

Penyelesaian yang terbaik atau yang boleh menjadi salah satu mekanisme penyelesaian adalah yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga.

Asasnya mudah, pemansuhan Felda Plantation adalah bertujuan untuk mengembalikannya kepada peneroka Felda atau warisnya. Selain dari latihan dan pembangunan yang akan diberikan, status tanah ini akan dapat membantu meningkatkan keyakinan diri peneroka dalam survival hidup mereka.

Apa yang sedang berlaku ini tidak menunjukkan bahawa golongan peneroka dan Felda yang kini dikuasai oleh elit UMNO tidak berada di landasan yang baik untuk memastikan cita-cita ini tercapai.

Bagi agensi seperti MPOB, ia tetap bergantung kepada daya pengeluaran peneroka Felda. Tanpa pengeluaran yang baik, adalah mustahil bagi mereka untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Kata dua yang diberikan oleh JKPP kepada Perdana Menteri jelas menunjukkan bahawa peneroka Felda sudah tidak tahan lagi dengan mainan politik yang didalangi oleh segelintir elit dan kroni UMNO.

Sama ada UMNO berubah atau akan diubah. Masanya akan tiba juga. – Roketkini.com