Berita

Kementerian Kesihatan akui ada bahan makanan 1Malaysia tak ikut undang-undang

PUTRAJAYA, 2 DIS – Kementerian Kesihatan Malaysia akhir mengaku memang ada label dan isi kandungan produk-produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang tidak melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, beliau telah dimaklmumkan tentang perkara itu oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Hasan Abdul Rahman yang telah pun mengakui kesilapan itu.

“Kita akan lihat apa tindakan mereka seterusnya, dan saya berharap mereka melakukan kerja sejujurnya dengan membuat ujian-ujian makmal,” katanya kepada pemberita setelah mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, dalam dialog tertutup dengan pihak kementerian, mereka telah membincangkan perkara yang melibatkan tujuh produk KR1M:

1. Aiskrim 1Malaysia.

Pua berkata, Kementerian Kesihatan mengakui bahawa aiskrim itu dijual dengan isi kandungan kurang dari yang ditetapkan undang-undang, iaitu 10 peratus.

Dengan itu, pihak terbabit telah pun menukar label produk itu sebagai ‘frozen convenience’ dan bukan lagi sebagai ais krim, walau pun melalui resit pembelian kita pada 8 November dan iklan di laman web, masih lagi menggunakan nama yang sama.

2. Jem buah-buahan.

Kata Pua: “Kita dapat tahu pihak kementerian kata jem ini tiada masalah, tetapi sebenarnya, mereka belum pun melakukan ujian makmal. Mereka hanya meninjau kilang dan audit kilang.,”

Sedangkan bagi pihak Pakatan Rakyat, Pua telah menyerahkan laporan ujian makmal beliau kepada kementerian dan memberi maklumat bagaimana ujian makmal itu dibuat.

Kini Kementerian Kesihatan bersetuju untuk melakukan ujian makmal dan seterusnya mengkaji berdasarkan apa yang diserahkan beliau.

3. Susu sejat

Kandungan minima bagi susu sejat mengikut undang-undang ialah 8 peratus tetapi ditulis di sebagai 6 peratus sahaja. Mereka akui ini sebagai krimer sejat yang mana memang minima lemak dalam krimer sejat ialah 6 peratus, kata Pua.

Oleh itu, beliau menasihati kementerian dan KR1m agar label itu ditukar dari susu sejat kepada krimer sejat supaya tidak mengelirukan rakyat.

4. Krimer manis

“Kita buat dua ujian di dua makmal yang berlainan dan mengesahkan bahawa kandungan lemak kurang dari 10 peratus seperti yang ditetapkan undang-undang dan pihak Kementerian Kesihatan juga menunjukkan bahawa ujian sama dengan kita,” kata Pua.

5. Sardin dalam tin.

Jelas Pua, Kementerian Kesihatan menakui ujian makmal tidak konsisten kerana setiap tiga dari lima tin yang diuji, memang mempunyai masalah dan tidak selari dengan undang-undang.

6. Kari ayam dalam tin

“Mereka setuju pendapat kita bahawa kari ayam jika mengikut undang-undang, sekurang-kurangnya mengandungi 90 peratus ayam. Tetapi, kalau kari ayam bersama kentang beratnya boleh turun kepada 45 peratus ayam.

“Masalahnya di tin tersebut dilabel kari ayam sahaja. Maknanya labelnya salah, dan perlu diperbetulkan sebagai ‘kari ayam dan kentang,’” kata Pua.

7. Susu tumbesaran

Berkaitan kandungan vitamin A yang tinggi dalam susu itu, Pua berkata kementerian mengakui akan hal tersebut. Bagaimana pun, jelasnya, secara undang-undang kementerian tersebut tidak dapat membuat apa-apa dan akan menasihati pihak pengeluar supaya merendahkan vitamin A.

Menurut Pua, kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun memerlukan maksimum sekurangnya 1,800 IU sehari, tetapi melalui pakej KR1M itu menunjukkan 3,300 IU sehari.

Vitamin A bagi kanak-kanak yang ditetapkan oleh Institute of Medicine, National Academy of Science menyatakan bahawa kanak-kanak yang berumur satu hingga tiga tahun memerlukan maksimum 1,800. – Roketkini.com