Berita

Rakyat perlu pilih di antara rasuah dan reformasi kerajaan

KUALA LUMPUR, 2 DIS – Rakyat perlu memilih sama ada mahu menyokong Barisan Nasional yang telah mencuri masa depan kita sejak 54 tahun atau untuk menolak BN untuk menyelamatkan anak-anak kita pula daripada menjadi mangsa.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat perlu membuat keputusan itu kerana pestasi terburuk Malaysia selama 10 tahun membuktikan Datuk Seri Najib Razak gagal mencapai matlamat anti-rasuahnya.

Katanya, laporan Indeks Persepsi Rasuah 2011 oleh Transparency International (TI) telah membuktikan kegagalan Perdana Menteri mencegah rasuah walau pun telah mencanangkan ke seluruh pelusuk negara melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Analisis terhadap Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia telah menurun untuk tiga tahun berturut-turut, iaitu 4.3 bagi tahun ini berbanding 4.4 pada tahun lepas.

Lebih teruk, kedudukan Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-56 daripada 178 negara pada tahun lepas.

Pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelima, Malaysia berada di tangga ke-37 dalam kaji selidik tersebut yang merangkumi 146 negara.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kaji selidik TI mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi-institusi yang paling korup dalam negara.

“Dakwaan yang begitu berat oleh TI jelas menerangkan serangan ganas UMNO terhadap DAP dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berkisar pada perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor.

“Serangan UMNO terhadap sasaran mudah seperti Kristian, Cina, Pengerusi Bersih S. Ambiga, dan DAP sebagai penindas orang Melayu yang kononnya hendak menguasai negara, sampai penyokong DAP dilabel sebagai bangsat, merupakan tindakan terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan UMNO untuk menangani masalah-masalah seperti rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan agung UMNO tidak berani untuk membincangkan isu-isu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 termasuk perbuatan terlebih belanja RM3.7 bilion oleh jabatan-jabatan kerajaan. – Roketkini.com