Berita

DAP boleh tubuh kerajaan pusat dengan bertanding 20 peratus kerusi Parlimen?

GEORGETOWN, 4 DIS – Bagaimana DAP mahu menubuhkan kerajaan pusat bersendirian jika ia hanya bertanding tidak lebih 50 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam pilihan raya umum?

Persoalan itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini sebagai menjawab tohmahan para pemimpin UMNO yang cuba membohongi rakyat kononnya orang Melayu akan hilang kuasa jika DAP dan Pakatan Rakyat menang dalam PRU ke-13 akan datang.

Guan Eng berkata, sepanjang perhimpunan agung UMNO yang berakhir semalam, para pemimpin dan perwakilan parti itu telah memainkan isu perkauman dengan mensasarkan DAP.

“Mereka cuba menakutkan rakyat bahawa DAP nak tuntut jadi Perdana Menteri,  sungguh pun DAP bertanding bilangan kerusi Parlimen yang paling kecil dalam Pakatan Rakyat.

“Dalam pilihan raya umum 2008, DAP bertanding 47 kerusi Parlimen, PAS 66 kerusi dan PKR 97 kerusi,” katanya sewaktu merasmikan kongres Wanita DAP Pulau Pinang yang pertama di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan logik hujah pemimpin UMNO yang memperlekehkan minda orang Melayu yang mendakwa DAP yang hanya bertanding 47 kerusi boleh memimpin Pakatan serta menguasai pemerintahan negara secara bersendirian.

“Jelas ini adalah permainan perkauman bahaya untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan orang Mekayu terhadap DAP dan rakyat Malaysia yang bukan Melayu,” ujarnya.

Minggu lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa orang Melayu sebagai amsyarakat majoriti di Malaysia akan kekal berkuasa dan terus menikmati segala hak di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Katanya, keseluruhan kerusi yang ditandingi pemimpin-pemimpin bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat hanya sekitar 60, iaitu tidak sampai 30 peratus keseluruhan jumlah kerusi Parlimen.

“Dalam geografi politik Malaysia, bilangan kerusi ditandingi DAP pada masa sekarang hanya 40 berbanding 222 kerusi. (Jadi) bagaimana DAP, jika pun ia menang kesemua kerusi, akan mengambil alih? Ia tidak betul.

“Campur dengan PKR, kerusi (bukan Melayu) hanya 60 daripada 222 dan yang baki kerusi Melayu… jadi ia sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya dipetik oleh portal berita The Malaysian Insider.

Selain tuduhan DAP mahu kuasai politik negara, beberapa pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melemparkan tuduhan-tuduhan bart yang tidak masuk akal seperti kononnya DAP mahu mengetepikan Raja-Raja Melayu serta menubuhkan republik.

Sejak penubuhannya 45 tahun lalu, DAP sentiasa berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin kedudukan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. – Roketkini.com