Budaya

Erah – Oleh Mazir Ibrahim

CERPEN

Bahagian Pertama

Suasana di sebuah kampung pada awal tahun 1980-an di sebelah petang selalunya dingin. Di sebelah muara yang dipenuhi dengan hutan bakau akan terasa nyaman kerana bayu laut yang lembut menghembus dari laut yang membiru, dan di sebelah hulu, angin yang turun dari celah-celah bukit masuk mencelah ke segenap pelusuk kampung sambil menyapu bersih bumbung-bumbung rumah penduduk.

Kampung Erah

Petak-petak rumah kampung Sungai Kelah ini begitu tersusun. Hilir kampung ini dipagari pantai selut yang dipenuhi bakau dan di hulu kampung itu berdindingkan dua buah bukit dan hutan tebal.

Antara pantai dan kampung hanya dipisahkan oleh sebatang jalan raya besar yang menghubungkan Bandar Kuchai dan Bandar Pengeran. Ketika kampung Sungai Kelah ini baru dibuka, kelilingnya dipenuhi dengan hutan tebal. Napuh dan rusa masih banyak berkeliaran. Pernah juga penduduk kampung gempar apabila anak harimau sebesar kambing tersesat masuk kampung ini.

Kini ladang getah banyak ditanam di sebelah hulu kampung. Di sebelah laut, kebanyakan rumah nelayan memenuhi pantai. Kini suduh berdiri tegak beberapa kedai jualan barang laut dan beberapa warung minum.

Parit-parit kecil cukup banyak, mata airnya berpunca dari dua buah bukit, Bukit Puteri dan sebuah lagi bernama Bukit Bulan. Air yang mengalir dari dua buah bukit ini akan memeta keseluruh kampung Sungai Kelah. Ia menjadi lokasi budak-budak memancing dan menjaring anak-anak ikan.

Dari baruh kampung hinggalah ke simpang parit besar, semua tempatnya sesuai untuk memancing. Pokok-pokok kangkung hidup subur melata ditepi-tepi parit itu. Jika tidak memancing, budak-budak kampung yang agak dewasa sedikit itu akan memetik pucuk-pucuk kangkong buat ulam ketika makan dirumah.

Anak Erah

Begitulah kerja budak-budak kampung pada setiap hari, termasuk Jamsari. Setiap petang selepas pulang dari sekolah, dia akan duduk mencangkung di dagu parit bersama Saadon, Anton dan Asri untuk memancing. Di kalangan mereka ini, Jamsari lebih mahir memancing puyu dan keli. Kumpulan budak-budak ini akan riuh bersorak jika ada keli menyambar mata kail mereka.

Pernah sekali Anton dan Saadon merajuk kerana seharian memancing hanya mata pancing Jamsari sahaja yang disambar ikan. Asri pula memang suka melihat, tidak pandai memancing kerana takut cacing, katanya. Sejak itu Asri sering disakat oleh Anton, Saadon dan Jamsari. Terjerit-jerit Asri bila disuakan cacing kemukanya, mereka yang lain ketawa terbahak-bahak.

“Nah Ri, ambik ni,” kata Anton sambil mencampakkan cacing kepada Asri.

Terlompat-lompat Asri mengelak dari terkena cacing yang mengerekot sambil suaranya terjerit-jerit kegelian.

“Kau ni macam budak perempuan la Ri…hahaha,” sindir Anton sambil ketawa mengekeh.

“Kalau kau campak kat aku lagi, aku patahkan joran kau,” dengus Asri kepada Anton dengan muka yang merah.

“Woi, korang ni, dah la. Jangan kacau Ri,” celah Jamsari mententeramkan suasana.

Kemeriahan persahabatan ini begitu jelas kelihatan.

Anak-anak di kampung Erah

Bagi mereka, menjadikan cacing sebagai umpan adalah satu perkara menyeronokkan walau pun, puas sudah orang-orang tua menegahnya kerana cacing itu kotor. Mereka disuruh menggunakan umpan roti, tetapi budak-budak ini degil kerana lebih suka bermain dengan cacing. Lagi pun manalah budak-budak ini ada duit nak membeli roti setiap kali ingin memancing. Lama-lama orang-orang tua di kampung sudah malas menegur mereka.

Bagi budak-budak ini, setiap kali memancing biasanya ikan yang mereka perolehi akan dibawa pulang, jika terlalu kecil saiznya, maka budak-budak ini akan pelihara, ada kolam kecil di belakang rumah Saadon, di situlah dipeliharanya ikan-ikan yang mereka perolehi. Jika besar saiznya maka mereka akan makan malam berlaukkan ikan yang dipancingnya itu.

Kegiatan ini hanyalah hobi dan permainan bagi budak-budak ini, mereka bukanlah nelayan atau pemancing yang menyara hidup dengan kerja itu. Kadangkala Jamsari akan dihambat oleh ibunya Erah keliling rumah jika baju dan seluar Jamsari habis kotor dan basah kerana mandi di parit.

Kadang kala, memancing tidak dapat ikan, kena pula ketika cuaca tengah panas terik, memang menjadi kegilaan budak-budak ini akan terjun ke parit berendam menyejukkan badan. Mereka tidak peduli tentang apa-apa sekali pun ibu bapa budak-budak ini selalu menegah kerana ada bahayanya mandi di parit itu, walau pun ia tidak lebar dan dalam, kadangkala air parit ini keruh dan kotor berkuman.

Pernah seorang budak perempuan mandi di parit itu, bila pulang ke rumah terus mengalami demam yang kuat, dan selang beberapa waktu, meninggal dunia. Ada juga orang kampung yang percaya terdapat penunggu di parit-parit itu. Namun semua ini tidak pula dapat disahkan. Hanya bomoh sesekali menyemah parit dengan kemenyan. Entah sebab apa, tidak pula diceritakan.

Kerana itu Erah akan mengamuk jika dapat tahu Jamsari mandi di parit. Apatah lagi Jamsari itu anak tunggalnya. Jika ada apa-apa yang terjadi kepada Jamsari, siapa pula akan dapat membantunya.

“Jam, jangan buat mak macam ni. Mak takut kalau Jam sakit ke, siapa nak tolong kita nanti kalau kita susah,” pesan Erah kepada Jamsari dalam nada suara penuh kerisauan.

“Ye lah mak, Jam tau. Janganlah risau, Jam kan hero,” jawab Jamsari.

Sungguh pun Jamsari baru berumur sepuluh tahun, kepetahannya bercakap menunjukkan yang dia seorang budak yang bijak. Erah tersenyum mendengar kata-kata anak tunggalnya itu.

Erah seorang balu

Tinggal di kampung dengan hidup berdua bersama anaknya, agak menyukarkan kehidupan Erah. Suami Erah telah meninggal dunia ketika usia Jamsari masuk tujuh tahun, tidak sempat mengelai ayahnya dengan lebih rapat. Sejak itu Erah menjanda hingga sekarang.

Pernah juga beberapa lelaki cuba melamar Erah, tapi dia enggan. Dia bimbang keperluan Jamsari akan terabai, dia amat maklum dengan kehidupan perkahwinan di zaman sekarang. Tidak ada jaminan akan hidup kekal bahagia. Apatah lagi dia yang sudah punya seorang anak dan dia sendiri tidak berpelajaran tinggi. Tentu mudah saja diperlakukan oleh suami yang baru. Baginya, biarlah dia bersendirian menyara Jamsari dengan memotong getah sambil mengambil upah menjahit baju, dia lebih rela begitu.

Malah Erah masih ingat dengan pesanan arwah suaminya sebelum dia meninggal dunia agar dia menjaga Jamsari dengan baik dan penuh kasih sayang. Janji itulah yang membuat hati Erah tawar untuk berkahwin lain. Wan Milah, ibu Erah, pun terus mendesaknya mengakhiri zaman jandanya.

Ibu Erah

Suatu petang ketika Erah sedang mencuci pisau getahnya, Wan Milah datang menegur.

“Mak ni entah bila la lagi Erah. Tak kan begini aje kau, tak kesian kat Jam?” suara Wan Milah berterus-terang. “Hari-hari nak menoreh, hari-hari nak mencuci pisau getah kau tu.”

“Mak jaga saja kesihatan mak. Erah masih boleh sara Jam,” begitulah ungkapan Erah setiap kali Wan Milah bersuara tentang keadaannya.

Wan Milah sentiasa bimbang dengan nasib anak dan cucunya itu. Anak-anaknya yang lain sudah berkeluarga dan hidup senang. Hanya tinggal Erah sahaja yang masih tidak lengkap.

Wan Milah tahu memang sukar nak menyara anak seorang diri, lebih-labih lagi dengan hanya melakukan kerja-kerja kampung. Berapa sen sangat upahnya. Dia pula semakin hari semakin lemah dengan usia yang sudah mencecah tujuh puluh dua tahun, entah berapa hari saja lagi dia dapat melihat anak dan cucunya itu.

Erah pula bukanlah tua sangat, usianya baru tiga puluh dua tahun. Bagi bujang-bujang di kampung, dalam diam-diam ada yang menaruh hati pada Erah. Cuma, fikir Wan Milah, anaknya itu kena pandai menghias diri. Jika ada sedikit wang, ingin sekali Wan Milah belikan baju baru dan berdandan sedikit, tentu bujang-bujang bergaji tetap terjegil biji mata jika melihat Erah berdandan rapi.

Tetapi, Wan Milah sedar sejak kematian suami, Erah sudah tidak begitu mengendahkan dirinya. Sudah lapan tahun Erah bertungkus lumus menyara Jamsari seorang diri. Arwah suaminya pula tidak meninggalkan apa-apa harta buat Erah. Ini menambah kesedihan Wan Milah tentang nasib anak dan cucunya itu.

Nak mengharap pada abang-abang dan kakak-kakak Erah, susah sekali. Mereka juga telah ada keluarga dan tanggungan sendiri. Erah sendiri tidak suka meminta-minta. Pernah beberapa kali kakak-kakaknya membelikan baju baru tetapi diambil dan diberikannya kepada orang lain.

Itulah sikap Erah. Kadangkala sikapnya itu membuatkan keluarga Wan Milah berkecil hati. Mereka mungkin tidak faham sikap Erah yang tidak mahu dilihat susah. Tetapi, hati orang, sekali pun adik-beradik sendiri, belum tentu memahami dan menerimanya. – Roketkini.com

BERSAMBUNG…